Browsing Category

Personaliti

Personaliti,

Ibn Hazm hasilkan teori peredaran darah yang tepat 300 tahun lebih awal daripada sarjana Barat!

KEBANYAKAN sejarawan Eropah berpendapat, usaha keras yang dilakukan oleh para ilmuan Islam dalam bidang perubatan pada zaman keemasan Islam sekitar kurun ke-8 hingga ke-13 dianggap tidak lebih daripada pemeliharaan khazanah ilmu dari tamadun Yunani.

Dalam perihal sains anatomi jantung, paru-paru dan peredaran darah, tokoh perubatan Yunani yang dijadikan rujukan utama pada tempoh tersebut ialah Galen. Justeru, mana-mana manuskrip Arab yang mengkritik pendapatnya atau mengemukakan teori baharu, akan ditolak mentah-mentah.

Dalam teori peredaran darah, Galen antara lain merumuskan bahawa darah yang sampai ke bahagian kanan jantung mengalir melalui liang-liang halus (yang tidak dapat dilihat dalam septum jantung) ke bahagian kiri jantung yang bercampur dengan udara yang kemudiannya terus ke seluruh tubuh.

Ribuan tahun lamanya pandangan berkenaan diterima, sehinggalah muncul beberapa penyelidik perubatan seperti Michael Servetus, Realdo Colombo, Andreas Vesalius dan William Harvey yang menyangkal teori liang halus Galen.


Bagaimanapun, dunia perubatan disifatkan ketinggalan kerana seorang pakar perubatan Islam, Ibn al-Nafis atau nama sebenarnya, Ala-al-din Abu al-Hassan Ali ibn Abi-Hazm al-Qarshi al-Dimashqi merupakan individu pertama yang menjelaskan sistem peredaran darah paru-paru (pulmonari) secara tepat, kira-kira 300 tahun lebih awal daripada semua tokoh Barat itu.

Ibn Al-Nafis menerusi karya agungnya bertajuk Syarah al Tashreeh al Qanoon telah menjelaskan bahawa septum iaitu dinding antara dua ruang ventrikel jantung ialah otot pembahagi yang pejal dan tidak mempunyai rongga atau bukaan untuk membenarkan aliran darah menembusi antara dua ruang jantung.


Sebagaimana yang dinyatakan oleh cendekiawan tersohor tersebut, aliran darah adalah dari ventrikel kanan ke paru-paru, yang mana udara bertemu dengan darah. Darah itu kemudian meninggalkan paru-paru dengan mengikuti arteri, lalu masuk ke dalam ventrikel kiri jantung sebelum disebarkan ke seluruh badan.

Komentar ilmuan Islam tersohor berserta bukti saintifik itu menunjukkan bahawa Ibn Al-Nafis ialah individu paling ke hadapan dalam melangkaui kebenaran teori Galen.

Meskipun penemuannya begitu menggemparkan, sejarah dunia perubatan sebenarnya tidak benar-benar mengenali beliau. Hanya pada tahun 1924, seorang ahli perubatan Mesir, Muhyo Al-Deen Altawi menemui manuskrip figura tersohor itu di Perpustakaan Negeri Prussia, Berlin, Jerman.


Kemudian, hal tersebut telah sampai ke pengetahuan tokoh sejarah perubatan terkenal, Profesor Max Meyerhof.

Kemudian, Meyerhof telah mengiktiraf Ibn Al-Nafis sebagai individu pertama yang merungkaikan sistem peredaran darah paru-paru menerusi lukisan proses yang tepat.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

 

Pemikiran yang terkehadapan

Menyingkap historiografinya secara ringkas, tokoh yang sentiasa merendah diri itu dilahirkan di Damsyik, Syria pada tahun 1213. Beliau dikenali tidak hanya sebagai pakar perubatan, tetapi seorang ahli teologi, sasterawan dan ulama Mazhab Syafie yang terkenal.

Pada usia 16 tahun, Ibn Al-Nafis telah mempelajari bidang perubatan di Hospital Nuri di Damascus selama lebih 10 tahun, sebelum berpindah ke Mesir pada tahun 1236 atas permintaan Sultan Al-Kamil, pemerintah kerajaan Islam Ayubbiyah. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Perubatan di Hospital A-Naseri.

 


Sepanjang kehidupannya yang merentasi era kejatuhan Baghdad di tangan Mongolio dan juga kebangkitan kerajaan Mamluk, cendekiawan itu telah menghasilkan banyak buku yang merentasi pelbagai topik termasuk undang-undang, falsafah dan alam sekitar, selain perubatan.

Sesungguhnya, sumbangan Ibn Al-Nafis telah menunjukkan betapa ke hadapannya para cendekiawan Islam dalam meneroka ilmu pengetahuan. Sayangnya, pandangan yang meremehkan mereka telah membantutkan kemajuan yang sepatutnya dapat dicapai lebih awal.

 

Sumber: https://www.ncbi.nlm.nih.gov, Wikipedia Commons, https://www.bibalex.org/, https://www.encyclopedia.com/science/encyclopedias-almanacs-transcripts-and-maps/ibn-nafis-and-pulmonary-circulation

Foto: Unsplash & Tara Winstead/Pexels

20627668_xxl
Personaliti,

Sahabat Nabi SAW Tempuhi Perjalanan Sejauh 1,472 KM Demi Sepotong Hadis

no comment

SEBAGAI umat Islam, kita dituntut untuk sentiasa menuntut ilmu walaupun jaraknya jauh dan perlu berjauhan dengan keluarga. Kita juga tidak digalakkan untuk bermalas-malas dalam mencari ilmu dan dinasihatkan untuk tidak cepat berasa puas atau bangga dengan ilmu yang dimiliki.

Jika diperhatikan atau diselusuri sirah Islam sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW, kita akan mendapati bahawa golongan sahabat sangat mencintai ilmu lebih daripada diri sendiri.

Menerusi perkongsian oleh pendakwah bebas, Ustaz Elyas Ismail yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook page viralkuliahsuraukerjaraya, beliau berkata, orang-orang dahulu sangat teruja dalam mencari ilmu walaupun untuk mendapatkan sepotong hadis.

Menurut agamawan itu, sirah telah merekodkan seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Abu Ayyub Al-Ansari RA sanggup berjalan dengan merentas lautan sehingga 1,472 kilometer (KM) demi untuk mendapatkan sepotong hadis daripada baginda.

“Perjalanan dari Madinah ke Mesir ini jika dihitung sekarang adalah bersamaan 17 jam tanpa lampu isyarat. Betapa kuatnya semangat Abu Ayyub Al-Ansari RA, sungguh berkobar-kobar dalam menuntut ilmu.

“Hadis yang dituntut daripada Nabi Muhammad SAW itu bermaksud: “Sesiapa yang menutup aib sseeorang yang beriman maka ALLAH akan menutup aibnya di akhirat nanti,” katanya.

Ujar Ustaz Elyas, cara orang terdahulu dalam mencari ilmu sungguh berbeza dengan kaedah yang kita gunakan hari ini.

Justeru, beliau mengakui ilmu-ilmu orang terdahulu berkatnya sampai hari akhirat kerana perolehan ilmu itu diraih dengan penuh kesungguhan tanpa mengenal erti penat dan lelah.

“Sungguh! Perjuangan jihad mereka terhadap ilmu sungguh luar biasa. Kita yang perlu bermuhasabah dengan kegigihan mereka mendapatkan ilmu,” ujarnya lagi.

103199000_172189350996463_8357880004672966776_n
Personaliti,

Wanita Muslim Bertudung Pertama Dilantik Sebagai Hakim di UK

PENERIMAAN masyarakat terhadap Islam semakin di terima kebanyakan negara di dunia khususnya di negara barat. Agama yang membawa kepada pengertian kehidupan dan keadilan yang sebenarnya telah memberi keyakinan kepada masyarakat amnya.

Begitu juga yang terjadi di United Kingdom (UK) apabila buat kali pertama seorang wanita Muslim yang memakai tudung, Raffia Arshad, 40 dilantik menjadi Hakim mahkamah di negara itu.

Sudah tentu situasi itu akan mendorong lebih ramai wanita Muslim ingin mengejar cita-cita mereka berlandaskan ajaran agama yang menuntut seseorang Islam itu untuk menjaga aurat dan tingkah laku akhlak mereka.

Kejayaan dirinya bukan untuk pencapaian peribadinya.

Raffia Arshad telah menjadi inspirasi ribuan wanita Muslim yang berpendapat bahawa dengan memakai tudung, masyarakat di barat tidak lagi akan memandang serong terhadap wanita Islam apatah lagi dia yang memiliki jawatan yang besar di dalam negara.

Sejak kecil, Raffia sangat berminat untuk menceburi bidang hukum dan memutuskan untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang Undang-Undang dan kini dia telah berjaya mencapai cita-cita itu.

Menurut Raffia yang juga ibu kepada tiga anak, berkata, kejayaannya dilantik sebagai hakim bukan hanya mengenai dirinya semata, tetapi untuk semua wanita khususnya Islam.

“Saya tidak hanya melihatnya sebagai pencapaian peribadi, malah ia lebih besar daripada itu. Saya ingin ingin menjadi inspirasi untuk memimpin wanita Islam berjaya dalam undang-undang.

“Saya dibesarkan di West Yorkshire dan dilahirkan dalam sebuah keluarga Islam. Di barat kehidupan sebagai seorang Muslim tidak sama dengan negara-negara lain. Kita akan sentiasa berasa bimbang terhadap penerima masyarakat luar yang memandang serong terhadap kita.

“Sentimen perkauman terhadap keluarga Muslim itu biasa dan telah saya lalui sejak kecil apabila memakai tudung ketika pergi ke sekolah.

“Sehinggakan pernah suatu ketika apabila saya ingin pergi menghadiri temuduga untuk mendapatkan biasiswa di Inns of Court School Of Hukum, keluarga menasihati saya agar tidak memakai tudung ketika temuduga itu di buat,” katanya.

Raffia Arshad yang kini menyertai anggota St Mary’s Chambers di Nottingham, menerima surat pelantikannya sebagai hakim pada tahun lalu.

“Pada awalnya saya merasa hampir ingin berputus asa diatas kemampuan diri saya, namun memaksa diri untuk menjadi kuat dan menghabiskan pengajian saya dalam bidang undang-undang. Saya juga sedar, kejayaan saya nanti akan pasti menjadi inspirasi kepada orang lain, tidak kira latar belakang mereka,” katanya.

Raffia turut menasihati golongan wanita Muslim agar jangan bimbang dengan penampilan anda, jangan bimbang tidak sesuai dengan acuan, pecahkan tradisi itu dan capai apa yang anda mahukan dalam hidup.

 

Sumber: BBC/Muslim News Online

Al-Farghani
Personaliti,

Hasilkan Alat Ukur Ramalan Banjir, Tentukan Waktu Solat dan Arah Makkah. Kebijaksanaan Al-Farghani Dikagumi

no comment

SEAWAL abad ke-9 lagi, masyarakat sudah mengetahui ukuran diameter bumi yang tepat. Lebih membanggakan apabila ilmuwan Islam sendiri yang menemui fakta berkenaan.

Tokoh yang dimaksudkan itu ialah Al-Farghani, ahli astronomi paling masyhur pada zaman berkenaan. Bayangkan walaupun teknologi ketika itu mungkin tidak secanggih pada zaman milenial ini, namun figura hebat itu berjaya merungkai bahawa diameter bumi adalah 6,500 batu, selain penemuan jarak antara bumi dengan planet lain.

Pemilik nama penuh Abu Al-Abbas bin Muhammad bin Khatir Al-Farghani itu dilahirkan di Farghana, Transoxiana iaitu sebuah kota di tepi sungai Sardaria, Uzbekistan sekitar tahun 798 Masihi.

Hasil pembacaan Sinar Islam Plus, tidak banyak cerita tentang riwayat kehidupannya pada masa kecil. Namun, popularitinya melonjak ketika Al-Farghani berkhidmat pada zaman pemerintahan al-Ma’mun (813-833 Masihi) yang merupakan seorang khalifah Kerajaan Bani Abbasiyyah di Baghdad hingga zaman al-Mutawakkil (847-881 Masihi).

Memetik portal Republika, Al-Farghani yang dikenali di dunia Barat sebagai Alfraganus cukup bertuah kerana hidup pada era ilmu pengetahuan Islam sedang mencapai kemuncak. Bahkan, khalifah pada zamannya juga merupakan pencinta ilmu pengetahuan.

Pembinaan Akademi al-Ma’mun merupakan antara salah satu bukti kecintaan khalifah terhadap ilmu. Di akademi itu jugalah Al-Farghani mula mengkaji tentang hal berkaitan astronomi.

Berkat kesungguhannya, di samping sokongan pemerintah memberikan peralatan melihat bintang yang canggih untuk menentukan ukuran bumi, cendekiawan Islam itu dapat manghasilkan laporan ilmiah berdasarkan penemuan yang mengagumkan.

Al-Farghani

PENEMUAN ukuran planet ilmuan Islam ini antara salah satu penemuan luar biasa pada zamannya.

Ilmuwan hebat tersebut kemudian berjaya menyelesaikan penyelidikan untuk menentukan diameter bumi dan jarak antara bumi dengan planet lain.

Bukan itu sahaja, beliau juga membantu Darul Hikmah al-Ma’mun mengambil bahagian dalam projek mengukur garis lintang bumi, menerangkan jarak dan diameter beberapa planet. Ia merupakan satu pencapaian yang luar biasa pada masa itu.

Penemuan ulung

Semasa pemerintahan al-Makmun juga, lapor nomad4now.com, Al-Farghani menukilkan karya hebatnya, The Elements of Astronomy (Kitab fi Jawami Ilm Nujum) yang merupakan risalah terkenal tentang prinsip matematik astrolab.

Baca juga Wanita Hebat Pelopor Sistem GPS

Malah, astrolab kajiannya menjadi sangat maju pada abad ke-9 dan sangat berharga dalam dunia Islam untuk menentukan waktu solat dan arah Makkah.

Menjadi resam seorang ilmuwan untuk berhijrah. Demikianlah yang dilakukan oleh Al-Farghani. Beliau telah berpindah ke Kaherah, Mesir. Di situlah tokoh hebat itu mencipta sejarah baharu apabila berjaya memperbaiki dan mengawasi pembinaan nilometer (alat mengukur paras air untuk ramalan banjir) pada tahun 861 Masihi.

Nilometer berkenaan wujud sejak zaman Pharaonic, Umayyah (dinasti Arab pertama) sekitar tahun 715 Masihi. Dek sumbangannya itulah, sebuah tugu Al-Farghani dan nilometer didirikan di Kaherah pada tahun 2007.

Sementara itu, encyclopedia.com melaporkan, Al-Farghani juga menulis tentang jam matahari, selain ulasan mengenai Claudius Ptolemy, seorang ahli astronomi dan pakar matematik terkemuka abad ke-2.

“Namun sayangnya, kebanyakan karyanya itu hilang. Hanya karya astronomi agung garapannya, The Elements of Astronomy yang masih tinggal. Ia kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sebanyak dua kali dan menjadi rujukan yang sangat popular,” kata laman web berkenaan.

Selain terkandung cara menghitung arah dan waktu, monumental agung tersebut juga merangkumi 30 bab tentang cakerawala yang ditulis sekitar tahun 833 Masihi.

Al-Farghani

TUGU Al-Farghani dibina di Kaherah, Mesir sebagai tanda penghargaan atas sumbangannya kepada dunia.

The Elements of Astronomy telah dianggap sebagai deskriptif yang kompeten oleh Almagest Ptolemy. Beliau dikatakan telah menggunakan penemuan dan menyemak semula dapatan ahli astronomi Islam terdahulu.

Pada abad ke-15 pula, Christopher Columbus menggunaan perkiraan ukur lilit bumi Al-Farghani sebagai asas perjalanannya ke Amerika Syarikat.

Sumbangan dan penemuan intelektual Islam itu sangat dihargai dan disebabkan itu, sebuah kawah bulan telah dinamakan sebagai Al-Farghani sebagai tanda penghargaan kepada figura terulung berkenaan.

PROFIL

Nama penuh: Abu Al-Abbas bin Muhammad bin Khatir Al-Farghani

Gelaran: Al-Farghani dan Alfraganus

Asal: Farghana, Transoxiana

Tahun kelahiran: 798 Masihi

Tahun kematian: 865 Masihi

Sumbangan: Penemuan ukuran diameter bumi iaitu 6,500 batu, prinsip matematik astrolab dan menambah baik nilometer

Karya agung: The Elements of Astronomy

Foto: islamidia.com, en.wikipedia.org, republika.co.id & loc.gov

 

Haly Abbas
Personaliti,

Haly Abbas Doktor Islam Pertama Kesan Penyakit Kuning

no comment

HALY ABBAS, merupakan satu lagi tokoh Islam yang terkenal dengan kepakarannya dalam bidang perubatan dan psikologi.

Ilmuwan abad ke-10 tersebut begitu berpengaruh dan terkenal dengan karyanya, Kitab Kamil al-Sina’ah al-Tibbiyah atau dikenali sebagai The Royal Book (Kitab al-Maliki) pada tahun 980 Masihi.

Monumental berkenaan disifatkan sebagai teks perubatan paling teratur yang menjadi rujukan kebanyakan doktor di dunia. Naskhah hebat berkenaan antara lain mengandungi topik-topik seperti anatomi, fisiologi, rawatan perubatan sendiri dan ubat-ubatan.

Menjejaki sisi peribadinya, tidak banyak maklumat dijumpai tentang salasilah Haly Abbas. Cuma difahamkan, pemilik nama penuh Ali Ibn Abbas Al-Majusi itu dilahirkan di Ahvaz, Parsi Tenggara pada tahun 930 Masihi.

Memetik laporan portal berpengaruh di Indonesia, Republika, cendekiawan itu menimba ilmu daripada Syeikh Abu Maher Musa Ibn Sayyar.

Beliau juga merupakan seorang daripada tiga orang doktor terhebat pada era khalifah Islam bahagian Timur ketika zamannya.

Baca juga Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun

Barangkali kerana kehebatan dan kemasyhuran yang dimilikinya itu menyebabkan Haly Abbas diangkat menjadi doktor di Istana Amir Adhad al-Dowleh Fana Khusruw, penguasa dari Dinasti Buwaih (949 hingga 983 Masihi). Beliau juga pernah mendirikan sebuah hospital di Shiraz, Parsi dan Hospital al-Adud di Baghdad sekitar tahun 981 Masihi.

Bahkan karya agung Kitab al-Maliki itu ditulis ketika Haly Abbas masih berkhidmat dengan pemerintah Dinasti Buwaih. Monumental itu dianggap sebagai karya yang sistematik dan lebih ringkas berbanding ensiklopedia perubatan yang sedia ada.

Haly Abbas

MONUMENTAL agung Haly Abbas berjudul Kitab Kamil al-Sina’ah al-Tibbiyah begitu berpengaruh kerana menjadi karya Arab pertama yang memberikan arahan terperinci tentang pembedahan.

Menurut Encyclopedia.com, The Royal Book yang dinukilkan Haly Abbas merupakan karya Arab pertama yang memberikan arahan terperinci tentang pembedahan.

”Sebilangan besar bahan dalam rujukan berkenaan adalah berdasarkan tulisan doktor Yunani yang berpengaruh, Galen (tahun 130-200). Beliau mengatur maklumat yang dikumpulkan oleh Galen dalam bentuk yang mudah digunakan oleh para doktor.

”Selain itu, Al-Majusi (Haly Abbas) juga menggunakan buku perubatan terkenal Al-Razi berjudul Hawi sebagai sumber utamanya.

”Oleh sebab buku berkenaan tidak begitu tersusun dan terlalu lama pada pandangannya, beliau menyusun semula, selain memasukkan penemuan dan pemerhatiannya dalam karya agungnya,” kata laman web berkenaan.

Kitab al-Maliki yang ditulis olehnya juga dikatakan menjadi rujukan yang digunakan di universiti-universiti di Eropah hingga abad ke-18 sebagaimana dilaporkan Researchgate.net.

Bukan itu sahaja, menurut People.utm.my, ensiklopedia berkenaan turut diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan judul Liber Regius, selain diterbitkan di Venice pada tahun 1492 Masihi serta di Lyon (1523 Masihi).

”Haly Abbas juga juga dianggap sebagai tokoh pertama yang mengusulkan adanya satu sistem pembuluh darah (kapilari) ketika membincangkan tentang ruang-ruang halus antara salur nadi dan salur darah.

”Beliau yang mendapat jolokan sebagai Bapa Farmakologi itu juga menjadi tokoh pertama menganjurkan bahawa ketika proses bersalin, bayi tidak akan keluar sendiri secara pasif.

”Sebaliknya ditolak keluar oleh daya kecutan (kontraksi) daripada uterus,” kata laman web berkenaan.

Haly Abbas

SALAH satu halaman daripada salinan Kitab al-Maliki pada tahun 1725 di Perpustakaan Perubatan Nasional Amerika Syarikat.

Ternyata tokoh itu merupakan seorang ilmuwan hebat yang berjaya merungkai banyak penemuan terbaharu ketika zamannya.

Antaranya Ncbi.nlm.nih.gov melaporkan, Haly Abbas menjadi doktor pertama yang memperkenalkan penemuan tentang penyakit kuning.

”Sastera moden sering menunjukkan bahawa Albrecht von Haller sebagai individu pertama yang menggambarkan penyakit kuning pada tahun 1764.

”Namun, hasil penyiasatan kami berjaya menemui bahawa Haly Abbas telah membincangkan penyakit jaundis dalam bahagian bertajuk al-Bab-o al-Salis wa al-Salasoun; fi Elal al-Marareh, wa Asbabaha wa Alamataha (Subseksyen 33; Mengenai Keadaan yang Mempengaruhi Pundi Hempedu, Sebab dan Manifestasi mereka) menerusi The Royal Book,” kata penulis dalam Ncbi.nlm.nih.gov.

Sesungguhnya, sebelum cendekiawan bijaksana itu meninggalkan dunia bukan dengan tangan kosong, sebaliknya memberi banyak input berguna kepada dunia perubatan hari ini.

Baca juga Kenali Al-Jazari, Bapa Robot Abad Pertengahan. Begitu Banyak Ciptaannya Yang Kita Manfaatkan Sehingga Hari Ini

PROFIL

Haly Abbas

ILUSTRASI HALY ABBAS

Nama penuh: Ali Ibn Abbas Al-Majusi

Gelaran: Haly Abbas, Al-Majusi dan Bapa Farmakologi

Asal: Ahvaz, Parsi

Tahun kelahiran: 930 Masihi

Tahun kematian: 994 Masihi

Sumbangan: Mengarang kitab yang menjadi karya perubatan paling sempurna, mengusulkan sistem pembuluh darah dan pelopor penyakit kuning.

Karya agung: Kitab Kamil alSina’ah al-Tibbiyah

Foto: https://www.bibalex.org, https://alchetron.com/ & https://www.ncbi.nlm.nih.gov/

Reddit
Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Kemenangan Manzikert: Bagaimana Pertempuran Mengubah Nasib Islam dan Kristian

no comment

SETIAP tahun, pada 26 Ogos, dunia Islam akan merayakan ulang tahun kemenangan Manzikert iaitu ketika orang-orang Turki Seljuk, yang dipimpin oleh Sultan Muhammad Alp Arslan (1029-1072), mengalahkan Empayar Rome yang dipimpin oleh Kaisar Romanos IV pada tahun 1071 Masihi (463H).

Kemenangan Manzikert merupakan salah satu kemenangan paling berpengaruh dalam sejarah Islam. Paling istimewa, ia juga telah mempengaruhi sejarah agama Kristian.

Kepentingan kemenangan di Manzikert bukan hanya daripada fakta bahawa ia membuka jalan bagi penaklukan Turki di Anatolia tetapi juga membawa perubahan politik, geografi, ekonomi dan demografi di wilayah Anatolia.

Ilustrasi yang menggambarkan Sultan Alp Arslan, yang terletak di Muzium Istana Topkapi. Gambar: Wikimedia

Punca perang
Selepas kematian Sultan Seljuk Tughrul Bey, perebutan kuasa terus meletus. Anak saudaranya Alp Arslan menyelesaikan konflik dengan bantuan wazir terkenal, Nizam al-Mulk pada tahun 1063.

Alp Arslan bekerja selama beberapa tahun untuk mendirikan kerajaannya di wilayah-wilayah yang menjadi miliknya sebelum membuat penaklukan baharu dan kemudian bergerak untuk memperluaskan wilayah negara itu melalui penaklukannya.

Pada tahun 1071, Alp Arslan menyiapkan tentera yang besar dan pergi ke Mesir untuk menyingkirkan pemerintahan Fatimiyyah. Dalam perjalanan, dia menguasai Diyarbakir dan Aleppo. Dia juga mengetahui bahawa Kaisar Rom Timur, Romanos Diogenes telah muncul sebagai ketua pasukan besar yang bermaksud untuk menghapuskan negara Seljuk dan mengakhiri keberadaannya. Orang Turki di Iran dan Anatolia Timur kemudian menuju ke Baghdad.

Maharaja Romanos menginginkan kemenangan ketenteraan yang hebat, di mana dia akan membuktikan dirinya maharaja dan memperkuat asas pemerintahannya untuk meyakinkan rakyatnya dan para bangsawan bahawa dia berhak memerintah. Ini kerana dia bukan keturunan maharaja tetapi dinobatkan sebagai maharaja selepas perkahwinannya dengan Permaisuri Eudocia Macrembolitissa iaitu janda Maharaja Constantine X Doukas.

Syiling dicetak atas nama Alp Arslan dengan gelaran Shahanshah. Gambar: Daily Sabah

Alp Arslan pergi bersama tenteranya ke Timur Efrat dan memerintahkan demobilisasi sebahagian besar kekuatan yang telah musnah. Dia terus berbaris dengan sekelompok kecil tentaranya menuju Kota Khoy (di Azerbaijan) sementara dia menghantar isterinya dan menterinya Nizam al-Mulk ke Hamadan.

Sejarawan Al-Isfahani menyebut dalam bukunya ‘Sejarah Keluarga Seljuk’ bahawa Sultan Alp Arslan tinggal bersama 15,000 kesatria elit daripada tenteranya, dengan masing-masing menunggang kuda dan menarik kuda di sebelahnya, sementara tentera Empayar Rom Timur dianggarkan lebih daripada 300,000 askar daripada pelbagai bangsa.

Terdapat perbezaan sumber mengenai jumlah kedua-dua tentera, tetapi beberapa penyelidikan akademik baru-baru ini menunjukkan bahawa tentera Seljuk berada dalam lingkungan 50,000 tentara, dibandingkan dengan 200,000 tentara Rom Timur yang sebahagian besar adalah tentera upahan.

Kedua tentera itu, menurut Ibn al-Jawzi dalam bukunya ‘The Regular in the History of Kingdoms and Nations,’ berkemah dekat Manzikert (terletak di perbatasan provinsi Muş di timur Turki) dan Sultan Alp Arslan mengirim utusan kepada maharaja yang menawarkannya gencatan senjata, tetapi yang terakhir menolak dan mempersenda tentera Sultan dengan berkata, “Tidak ada gencatan senjata, kecuali di Ray (ibu kota negara Seljuk yang kini terletak di Teheran),” yang bererti dia hanya akan bersetuju untuk berdamai setelah dia mengambil alih seluruh Kerajaan Seljuk.

Ibn al-Atheer menyebutkan di dalam al-Kamil bahawa Syeikh Muhammad bin Abd al-Malik al-Bukhari al-Hanafi, guru Alp Arslan, menasihatinya untuk memulakan serangannya terhadap orang-orang Rom Timur pada hari Jumaat ketika para pendakwah di mimbar menyerukan kemenangan para mujahidin, itulah yang dibalas oleh Sultan Alp Arslan.

Setelah sultan memimpin tentaranya dalam solat Jumaat, mengenakan jubah putihnya dan memanggil para perajurit, sambil berkata,

“Jubah putih ini adalah kafan saya! Entah saya akan menang atau saya akan masuk syurga sebagai syahid. Anda semua yang memilih untuk mengikuti saya. Di sini tidak ada sultan yang memerintah dan tidak ada tentera yang diperintahkan. Hari ini saya adalah salah seorang daripada anda. Saya seorang veteran (Ghazi) yang berperang dengan kamu,”katanya.

Alp Arslan mengesyorkan agar puteranya Malik Shah dilantik selepasnya, dengan mengatakan, “Sekiranya saya mati syahid, Tuhan adalah saksi saya, saya menghendaki agar anak saya Malik Shah menggantikan tempat saya dan anda harus mematuhinya,” katanya.

Kedua-dua tentera bertemu dan perang sengit berlaku di antara mereka yang berlangsung hingga matahari terbenam.

Ibn al-Atheer menyebut bahawa Sultan Alp Arslan menegur Maharaja kerana menolak gencatan senjata dan lebih suka memerangi umat Islam. Namun, dia memaafkannya sebagai ganti Maharaja untuk menebus dirinya dengan 500,000 ribu dinar, mengirim tentera Rom kepada sultan apabila dia meminta untuk membebaskan setiap tawanan Rom. Setelah itu, sultan menjadi tuan rumah Maharaja di sebuah khemah dan mengirimnya 10,000 ribu dinar untuk melengkapkannya.

Namun, keluarga Dukas di Constantinople menentang kaisar dan menggulingkannya daripada takhta ketika mereka mengetahui berita kekalahan dan penangkapannya.

Berita kemenangan umat Islam di Manzikert tersebar ke seluruh dunia Islam, dan sampai kepada Khalifah Abbasiyah di Baghdad. Menurut buku ‘Akhbar Negara Seljuk’ karya Sadr al-Din Abu al-Hasan Ali, khalifah mengucapkan tahniah kepada Sultan Alp Arslan dan menamakannya sebagai ‘Sultan terhebat, Raja Arab dan Bukan Arab dan Sultan Rumah Muslim’.

Sumber: Daily Sabah

Daily Telegraph
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Bintang Ragbi Muslim, Sonny Bill Williams Kecam Penentangan Pembinaan Masjid di Sydney

no comment

BINTANG ragbi dunia, Sonny Bill Williams mengecam tindakan pelaku ‘ketakutan rasis’ yang cuba menghalang pembinaan masjid baharu yang ingin dibina di selatan Sydney.

Tapak masjid yang bakal dibina dalam kawasan perumahan bangunan lama Carlton telah kelihatan tanda-tanda awal protes oleh penduduk tempatan dengan alasan rumah ibadah itu akan membawa kesesakan lalu lintas yang tinggi.

Namun Williams yang memeluk Islam pada tahun 2009 percaya aduan penduduk itu hanya kerana perkauman dan ketaksuban semata.

“Rasisme hidup dengan baik di Botany St, Carlton Sydney. Insya-ALLAH kami akan solat 365 hari, 5 kali setiap hari di Masjid baharu kami tidak lama lagi. Semoga perkauman dapat dihindari daripada masyarakat kita,” kata Williams, 36, menerusi laman Instagramnya di samping gambarnya duduk bersebelahan papan tanda di hadapan tapak pembinaan masjid.

Williams dan rakan pasukan Ofa Tuungafasi meluangkan masa untuk berdoa sebelum perlawanan Ragbi Piala Dunia antara New Zealand All Blacks menentang Ireland pada 2019.

Williams yang bermain bersama pasukan All Blacks serta liga dengan Canterbury Bulldogs dan Sydney Roosters mengatakan bahawa pengalamannya tinggal dan bekerja dalam komuniti Islam selama empat musim bersama Bulldogs antara faktor dia memeluk Islam.

Williams bersama isterinya Alana dan anaknya, Imaan, 5, Aisha, 3, dan Zaid, 2, percaya bahawa aduan penduduk tempatan terhadap masjid itu adalah berdasarkan perkauman dan ketaksuban.

Ibunya, Lee dan saudara lelakinya, John termasuk isterinya yang juga model popular, Alana, 28, juga telah memeluk Islam.

“Saya dibesarkan sebagai orang Kristian dan jujur saya selalu merasa sedikit tidak selesa. Umat Islam adalah orang yang sama seperti kita, mereka manusia tetapi agama Islam, apabila anda benar-benar memandangnya ia sesuatu yang indah,” katanya yang mengakui dalam sebuah podcast Islam dua tahun lalu.

Menurutnya, adalah perkara yang sukar untuk membicarakan berkaitan isu perkauman dan kebencian kerana banyak negara Barat dilahirkan atas rasa perkauman dan kebencian.

Williams yang tinggal di daerah Carlton, mengatakan perancangan pembinaan masjid di kawasan itu sudah lama tertangguh untuk komuniti Muslim tempatan. Sebelum ini dia dan masyarakat Islam lain terpaksa melakukan perjalanan jauh ke seberang kota untuk bersolat.

Masjid ini juga akan menjadi pusat penjagaan warga emas dan mampu menampung 120 orang untuk solat bermula jam 5 pagi hingga 10.30 malam dalam tujuh hari seminggu.

Dia menolak tuntutan penduduk mengenai peningkatan lalu lintas dengan mengatakan bahawa sudah ada sekolah di jalan yang sama dan kemudahan yang lain berdekatan.

Williams sering bersama komuniti Islam di kawasan kejiranannya. Gambar: NZ Herald

“Ada ribuan keluarga Muslim di daerah ini dan kami tidak memiliki tempat untuk pergi beribadah, sayangnya ini adalah ketakutan sahaja.

“Masyarakat Islam telah berada di kawasan Carlton sejak tahun 1950-an dan tidak pernah mempunyai masjid.

“Dalam masa yang sama semakin banyak tempat ibadat lain seperti gereja Kristian, rumah ibadat Yahudi dibina. Dengan adanya masjid di kawasan itu dapat membuat saya rasa gembira kerana saya tahu orang-orang diajar moral dan etika yang baik,” kata Williams kepada Daily Telegraph.

Presiden Persatuan Sungai Georges Benjamin Wang, menafikan penentangan penduduk tempatan terhadap masjid itu bersifat perkauman.

“Kami tidak mengemukakan bantahan ini atas dasar bangsa atau agama. Hujah kami berkisar pada isu-isu teknikal yang menunjukkan tempat ibadat awam berada di lokasi yang tidak sesuai dan bukan untuk kepentingan masyarakat,” katanya ketika rancangan itu dibuat di hadapan Majlis Georges River.

Bagaimanapun, laporan dewan mendapati terdapat kekurangan tempat ibadat Muslim di kawasan Carlton.

“Masjid yang diusulkan itu menyediakan kemudahan yang sangat diperlukan bagi masyarakat Islam tempatan untuk menjalankan amalan agama,” menurut laporan itu.

Sumber: Daily Mail

The Guardian
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Mesej ‘Hands off my hijab’ untuk Kerajaan Perancis dan Persekutuan Bola Sepak

no comment

PASUKAN bola sepak Les Hijabeuses telah menghantar mesej ‘Hands off My Hijab’ (Lepaskan tudung saya) kepada Persekutuan Bola Sepak Perancis agar tidak menghalang minat mereka dalam sukan berkenaan.

Pasukan bola sepak Les Hijabeuses akan memperjuangkan hak bertudung di dalam sukan bola sepak.

Hawa Doucoure dan rakan sepasukannya menghantar mesej itu dengan mengharapkan dalam masa yang sama kerajaan Perancis turut peka tuntutan mereka.

“Kami kuat bersama dan kami akan berjuang hingga ke akhirnya. Kami akan memperjuangkan sehingga setiap wanita dapat kebebasan dan keselesaan terhadap sukan yang ingin setiap mereka mainkannya,” kata Doucouré, 19, kepada ABC News.

Hawa Doucoure akan memastikan suara mereka di dengar oleh kerajaan.

Les Hijabeuses adalah kumpulan bola sepak wanita Perancis yang telah ditubuhkan tahun lalu dan berjuang untuk dimasukkan ke dalam pertandingan rasmi.

Kata Doucoure, walaupun Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah membenarkan pemakaian tudung ketika pertandingan sejak 2014, namun Persekutuan Bola Sepak Perancis tetap melarangnya dalam pertandingan kelab mahupun peringkat antarabangsa.

“Ini adalah tuntutan untuk mempromosikan dan mempertahankan nilai-nilai sekularisme agar semua masyarakat dapat hidup bersama, tidak berkecuali dan memerangi semua bentuk diskriminasi,” tambahnya.

Permintaan kumpulan itu adalah untuk perubahan yang menjadi sebahagian daripada gerakan terhadap larangan negara yang melarang simbol, pemakaian, niqab dan burqa.

Terbaharu kerajaan Perancis ingin melakukan pindaan terhadap undang-undang dengan mencadangkan larangan kepada kanak-kanak di bawah umur tidak dibenarkan memakai tudung di khalayak ramai.

Perancis ketika ini juga melarang pekerja awam dan pelajar sekolah memakai simbol agama, kecuali di universiti. Cadangan itu juga dibahas termasuk larangan ibu Muslim yang memakai jilbab untuk menghantar anak ke sekolah dan wanita Muslim yang memakai burkini di kolam awam. Begitupun cadangan itu ditolak mengikut perundangan antarabangsa.

Rim-Sarah Alouane, seorang peguam dan penyelidik kebebasan beragama yang tinggal di Toulouse, menyatakan, ‘topik itu akan terus dimainkan’.

“Ketika Perancis mengadakan salah satu sambutan upacara pembukaan, sekumpulan wanita Perancis telah mengelilingi seorang wanita Muslim yang memakai tudung. Mereka memaksa wanita itu untuk menanggalkan tudungnya dengan paksaan, lalu mereka berkata, “sekarang anda diterima dalam masyarakat kita”, kata Alouane.

Tudung dibenarkan di kebanyakan negara selagi tidak mengganggu fokus pertandingan.

Pada masa ini tidak ada undang-undang di Perancis secara khusus melarang tudung dalam pertandingan sukan. Les Hijabeus mengatakan bahawa mereka belum mendapat maklum balas dari Persekutuan Bola Sepak Perancis mengenai mengapa ia melampaui peraturan undang-undang untuk menyekat pemakaian tudung dalam pertandingan sukan rasmi walaupun FIFA mengizinkannya.

Kerajaan Perancis mengatakan bahawa undang-undang itu atas faktor keselamatan dan sekularisme. Undang-undang tersebut memperkuat kemampuannya untuk mematuhi prinsip-prinsip berkecuali dalam institusi kerajaan.

Namun, pengkritik berpendapat bahawa undang-undang itu akan terus menimbulkan perkauman dan diskriminasi di Perancis yang merupakan ‘rumah’ bagi penduduk Muslim terbesar di Eropah Barat.

Pakaian burkini bagi wanita Islam yang nampak sopan dan menyerlahkan lagi gaya penampilan mereka.

Negara itu telah menyaksikan kenaikan golongan Islamfobia yang membimbangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh serangan pengganas oleh pelampau Islam baru-baru ini dan pengukuhan politik sayap kanan.

Doucouré dan rakan sepasukannya adalah sebahagian daripada pergerakan atlet wanita di seluruh dunia yang mencabar norma patriarki untuk berpakaian dengan cara tertentu semasa pertandingan.

Banyak negara telah membenarkan atlet mereka bebas untuk berpenampilan dalam sukan kegemaran mereka.

Pada Sukan Olimpik Tokyo, pasukan gimnastik wanita Jerman mengenakan seluar panjang dan bukannya pakaian ketat yang biasa digunakan sebelum ini. Sementara itu, pasukan bola baling wanita Norway memakai seluar pendek dan bukannya bikini di pertandingan Beach Handball EURO 2021.

Pasukan gimnastik wanita Jerman telah mematuhi peraturan yang ada di bawah Persekutuan Gimnastik Antarabangsa dan dengan itu tidak menghadapi akibatnya. Pasukan bola baling wanita Norway, bagaimanapun, didenda 1,500 euro (kira-kira USD 1,700) oleh Suruhanjaya Tatatertib Bola Baling Pantai EURO 2021 kerana ‘pakaian yang tidak sesuai’.

Sumber: ABC News

Piri Reis
Personaliti,

Piri Reis Rujuk Lebih 30 Sumber Hasilkan Peta Dunia Yang Menakjubkan

no comment

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

APABILA Ahmed Muhiddin Piri Mehmet melakar peta dunia yang disifatkan paling terperinci dan lengkap di atas sepotong kulit rusa berukuran 90×65 sentimeter pada tahun 1513, ramai para sejarawan Barat terkesima.

Mereka tidak menyangka seorang tokoh ilmuwan Islam dapat menghasilkan model pemetaan yang serupa apabila dibandingkan dengan pemotretan menggunakan satelit moden.

Siapakah cendekiawan hebat yang berasal dari Gallipoli, Turki itu? Ahmed Muhiddin atau lebih dikenali sebagai Piri Reis merupakan seorang pelayar, jurumudi, ahli geografi, laksamana dan ahli kartografer.

Menurut Historical Dictionary of the Ottoman Empire, beliau ialah anak saudara kepada pelaut terkenal, Kamal Reis yang merupakan satu nama penting dalam historiografi Empayar Uthmaniah, Turki.

Sejak berumur 12 tahun lagi, Piri telah menghabiskan keseluruhan masanya mengikuti Kamal mengharungi pelbagai ekspedisi penting. Kredibiliti beliau terserlah sebaik dirinya dilantik sebagai kapten perang pada tahun 1494.

Figura tersebut juga mengambil bahagian dalam pelayaran laut di Granada, Inebahti Sanjak, Moton, Koron, Navarin, Lesbos dan Rhodes (1495 hingga 1510).

Baca juga Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun

Penjelajahan Piri yang luas telah mendorong beliau menulis segala peristiwa yang dilaluinya termasuk ketika merentas Laut Mediterranean dan Laut Tengah.

Piri Reis

PIRI merujuk lebih 30 sumber berbeza bagi menghasilkan satu peta dunia yang sempurna dan menakjubkan.

Ilmuwan itu kemudian telah membukukan segala catatannya dalam Kitab i-Bahriye (1521) yang merupakan buku panduan pertama maritim di dunia yang terkandung pelbagai ilmu seperti bagaimana memahami jalur laut, profil lautan, karakteristik angin, iklim dan banyak lagi.

Berbalik kepada kehebatannya menyiapkan satu peta yang sempurna, Piri dikatakan telah melakukannya dengan merujuk lebih 30 sumber yang berbeza.

Antaranya 20 peta dari zaman Alexander The Great, lapan peta daripada karya ahli geografi Muslim, peta dari Portugis dan satu peta yang dilukis oleh Christopher Columbus yang tidak pernah ditemuinya.

Peta yang dinamakan sebagai Peta Piri Reis itu antara lain memuatkan informasi mengenai Amerika Syarikat, Lautan Atlantik, Eropah dan pantai-pantai Afrika yang ketika itu masih belum dijejaki penjelajah Eropah.

Pada tahun 1528, beliau telah menggambarkan peta dunia kedua dengan menggunakan 20 peta asing dan mappa mundi (merangkumi rantau Arab, Sepanyol, Portugal, China, India dan Greek) termasuk peta milik Columbus. Memetik penulisan Mysteriesrunsolved.com, pada tahun 1929, sebahagian fragmen daripada peta agamawan itu telah ditemui di Istana Topkapi, Turki.

Penemuan berharga tersebut telah membangkitkan pendebatan hangat di seluruh dunia. Mengapa? Ini kerana ia dikatakan sebagai satu peta terawal AS (pada abad ke-16) yang menunjukkan Amerika Selatan dalam kedudukan membujur dengan kedudukan tepat.

Namun, aspek yang paling menjadi tanda tanya adalah ketelitiannya memeta pantai di Antartika.

“Peta tersebut tidak hanya menunjukkan daratan di Antartika, tetapi turut menggambarkan topografi Antartika yang tidak ditutupi oleh ais secara terperinci.

“Menurut penulisan sejarah, penampakan pertama Antartika disahkan hanya pada tahun 1820 oleh Mikhail Lazarev dan Fabian Gottlieb von Bellingshausen. Antartika juga telah ditutup dengan ais sekitar 6,000 tahun lamanya,“ tulis laman web berkenaan.

Piri Reis

LAKARAN Venice dalam Kitab i-Bahriye hasil karya Piri.

Sementara itu, Nationalgeographic.grid.id pula berkata, dunia Barat sendiri menemui Antartika pada 1773 menerusi James Cook.

“Justeru, banyak pihak mengemukakan persoalan, bagaimana seorang laksamana Turki dari zaman dulu mampu dan berjaya memetakan topografi benua yang telah ditutupi dengan ais selama ribuan tahun?“ kata laman web itu yang kagum dengan kebolehan Piri.

Difahamkan, Peta Piri Reis kini disimpan di Perpustakaan Istana Topkapi, tetapi tidak dipamerkan untuk tontonan umum.

Tokoh hebat itu meninggal dunia pada umur 90 tahun. Beliau dihukum pancung kerana enggan menyokong Gabenor Basra, Kubad Pasha. Pemergiannya bukan dengan tangan kosong, tetapi meninggalkan warisan paling bernilai untuk dunia.

PROFIL

Nama penuh: Ahmed Muhiddin Piri Mehmet

Gelaran: Piri Reis

Asal: Gallipoli, Turki

Tahun kelahiran: 1465

Tahun kematian: 1553

Sumbangan: Menghasilkan peta dunia yang digunakan pada hari ini.

Karya agung: Kitab i-Bahriye

Foto: https://mysteriesrunsolved.com dan https://muslimheritage.com/

The Australian
Berita Semasa, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Bekas Senator Diperintah Buang catatan di Facebook dan Twitter Kerana Menghina Islam

no comment

BEKAS senator Australia, Fraser Anning telah diperintahkan oleh Mahkamah Queensland untuk membuang 141 kandungan daripada media sosialnya kerana mendapati melanggar undang-undang anti diskriminasi dengan menghina Islam.

Antara catatan yang menghasut dan menghina Islam. Gambar: Daily Mail

Catatan berbaur perkauman itu dikongsi di Twitter dan Facebook ketika dia menjadi senator antara tahun 2017 hingga Julai 2019.

Ini termasuk ketika dia ditemuramah dan berkongsi pautan di media sosialnya dan menyeru untuk melarang Islam di Australia serta mengkritik kem latihan AFL untuk pemuda Muslim.

Anning juga diperintahkan untuk menghapus siaran akhbar yang dikeluarkan pada hari pembunuhan di Christchurch yang menyalahkan imigran Muslim atas pertumpahan darah itu.

Kenyataan itu dikeluarkan hanya beberapa jam selepas seorang lelaki Australia bersenjata membunuh 51 orang di dua masjid di bandar Christchurch di New Zealand. Tindakan itu mendapat kecaman oleh Senat atas komennya.

Tribunal Sivil dan Pentadbiran Queensland (QCAT) mendapati Anning telah melanggar undang-undang negara yang melarang menghasut kebencian, penghinaan serius atau ejekan yang teruk keatas agama.

Tindakan undang-undang itu dibuat organisasi hak sivil Australian Muslim Advocacy Network (AMAN) dan Majlis Islam Queensland.

Tulisannya beberapa jam selepas peristiwa pembunuhan di Christchurch .Gambar: Joe.ie

Dalam laporan itu, mereka mengambil salah satu catatan dari laman Facebook Anning yang mendapat hampir 8,000 komen dan menjangkau hampir 315,000 capaian.

Turut disertakan juga komentar daripada pengikut laman sosial Anning yang menyokong dengan menghasut keganasan terhadap orang Islam Australia.

Penasihat AMAN, Rita Jabri-Markwell, mengatakan dia kecewa dengan tindakan Anning terhadap pembunuhan besar-besaran di Christchurch dan mengharapkan dia mendapat hukuman yang setimpal.

“Kami sudah merasa sedih dan kecewa dengan kes pembunuhan di Christchurch,  tetapi apabila kami melihat media sosial dengan apa yang ditulis Anning itu ia menambahkan kemarahan dan ia adalah perbuatan yang sangat kejam.

“Ia membuatkan kita merasa seperti tidak berharga, seperti Anning bukan sebahagian daripada rakyat Australia,” kata Rita.

Dia mengatakan keputusan pengadilan akan ‘memperbaiki banyak luka’ dan berpesan kepada ahli politik untuk tidak menggunakan komuniti apa pun sebagai alat penghasut.

“Ahli politik sering menganggap mereka mempunyai lesen percuma untuk mengatakan apa yang mereka mahukan.

“Itu dapat mendorong seseorang untuk bertindak menyerang individu dari latar belakang migran secara fizikal atau menyerang mereka di dalam talian,” tambahnya.

AMAN juga menyeru pihak Facebook dan Twitter untuk menghapus akaun yang berkaitan dengan Anning.

Ia mahu memberi lebih banyak tekanan kepada kerajaan Australia untuk menambahbaik sistem perundangan yang memberi hak kesamarataan kepada semua warga Australia tanpa mengira bangsa dan agama.

 

Sumber: abc.net.au