Browsing Category

Berita Semasa

trending
Antarabangsa,

Lelaki buat kecoh dalam pesawat kerana ingin solat, fahami tatacara sebenar solat atas kapal terbang

Lelaki buat kecoh dalam pesawat kerana ingin solat…

TULAR menerusi satu hantaran di laman Twitter, apabila seorang penumpang lelaki mencetuskan gangguan ketika berada di dalam pesawat sehingga terpaksa berpatah balik.

Menerusi video yang viral itu, dipercayai dirakam oleh individu yang didakwa berada di dalam penerbangan yang sama memaparkan penumpang berkenaan turut menyoal penumpang lain sehingga menimbulkan suasana tegang.

“Nama saya Mohammad. Saya adalah hamba ALLAH.”

“Adakah kamu hamba ALLAH? Katakan… katakan!”

Dalam klip video berasingan pula, penumpang lelaki berkenaan juga dilihat sedang bersolat di laluan antara tempat duduk penumpang, dengan kru penerbangan mengawasi keadaan.

Terdahulu, media melaporkan penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH122 dari Lapangan Terbang Sydney pada pukul 1.40 petang Isnin (waktu tempatan) tetapi berpatah balik semasa berada di New South Wales, sebelum mendarat semula di lapangan terbang berkenan pada pukul 3.47 petang.

Baca Juga Perihal solat secara duduk yang anda perlu tahu

Malaysia Airlines dalam kenyataan memaklumkan, keputusan untuk berpatah balik dibuat atas faktor keselamatan.

“Keselamatan dan keselesaan kru serta penumpang kami adalah paling penting bagi Malayisa Airlines,” katanya sambil menambah, pihak berkuasa tempatan sedang menilai situasi tersebut.

Pemilik akaun Twitter yang membuat perkongsian tersebut dalam pada itu turut melontarkan pujian kepada kru penerbangan kerana berjaya mengawal situasi dan memastikan keselamatan penumpang lain sebelum pihak berkuasa tiba.

Sementara itu memetik kenyataan daripada Australian Federal Police (AFP), penumpang lelaki berusia 45 tahun itu berjaya diberkas dan dibawa keluar daripada pesawat, sebaik mendarat.

 

Bagaimana cara solat ketika berada dalam kapal terbang?

Tindakan lelaki yang tular untuk menjaga solat tidaklah dipersalahkan akan tetapi tempat dan keadaan haruslah dilihat terlebih dahulu sebelum bertindak melakukan sesuatu.

Sebagai seorang musafir, walau di mana pun kita berada sebagai seorang hamba-NYA menunaikan solat fardu adalah wajib hukumnya dan berdosa sekiranya kita meninggalkan dengan sengaja.

Bahkan bagi mereka yang sakit terlantar di katil juga Islam ada mengajarkan tatacara solat khusus agar tetap dapat mendirikan solat.

Pendakwah Bebas iaitu Ustazah Asma’ Harun sebelum ini ada berkongsi di laman Facebook rasmi beliau mengenai tatacara solat di atas kapal terbang khas buat mereka yang sedang bermusafir dalam perjalanan yang panjang.

Baca Juga Ini tatacara solat fardu atas kapal terbang yang ramai terlepas pandang

Jelasnya, perlu difahami tidak semua kapal terbang ada menyediakan ruang yang besar dan selesa.

“Jika ada maka kita bersyukur, jika tidak ada ambillah inisiatif untuk tetap mendirikan solat walaupun ruang terhad, cukuplah apabila ruang tersebut memadai untuk kita menunaikan solat.

“Jika dilihat situasi sekarang, boleh saja jika kita solat dalam keadaan duduk di kerusi. Bukanlah ruang menjadi alasan untuk kita tidak mendirikan solat.

TERUTAMA bagi mereka yang bermusafir dengan kapal terbang. Pelbagai alasan yang diberikan dek kerana ruang yang agak sempit di atas kapal terbang itu sehingga ada yang tidak solat dengan alasan akan qada sesudah sampai ke destinasi.

Menurut Ustazah Asma’ lagi, dalam hal ini kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:

1. Bagi kapal terbang yang besar, jika terdapat ruang untuk dirikan solat seperti biasa dan kawasan yang bersesuaian untuk melakukannya, maka pilihlah untuk melaksanakan solat secara berdiri supaya lebih banyak rukun fi’li yang dapat kita lakukan dengan lebih sempurna.

2. Sebaliknya, jika kapal terbang itu bersaiz kecil dengan bilangan penumpang yang padat serta seseorang itu tidak boleh berdiri bagi menunaikan solat, maka dibolehkan untuknya solat di tempat duduknya sahaja.

Artikel Berkaitan 

Imam Nawawi berkata dalam karyanya, Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab:

Maksudnya: “Ada pun orang yang sedang menaiki kapal maka wajib ke atas dirinya menghadap kiblat dan menyempurnakan segala rukun sama ada kapal tersebut berhenti atau sedang berlayar kerana sesungguhnya tiada kesukaran padanya dan ini telah disepakati para ulama.”

Tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu diraikan. Antaranya:

– Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari awal solat hingga selesai.

– Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu.

– Segala rukun qauli (bacaan yang wajib) hendaklah dilaksanakan dengan sempurna.

– Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan sebaik mungkin.

 

 

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Berita Semasa,

Dr Zulkifli kongsi panduan pilih calon terbaik dalam PRN

ESOK merupakan tarikh penting bagi enam buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan yang bakal membuang undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Persaingan yang agak sengit dalam PRN kali ini telah menyebabkan ramai individu yang masih keliru untuk memilih siapa calon yang tepat dan sesuai untuk menjadi wakil mereka.

Oleh sebab itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi panduan umum bagaimana mahu memilih calon.

Baca Juga 8 ciri pemimpin berwibawa idaman ummah

Pertama sekali, beliau mengatakan pengundi perlu mengundi calon yang memiliki sifat sabar dan berpegang pada prinsip.

Perkara ini telah dinyatakan dalam Surah as-Sajdah, ayat 24.

”Dan KAMI jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama KAMI , selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan KAMI .”

PILIHAN RAYA NEGERI 2023. 

Selain itu, pengundi perlu memilih calon yang kompeten, faham tugas, dan berintegriti. Terdapat dua petikan ayat al-Quran berkenaan perkara ini.

”Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kompeten, lagi berintegriti”. (Surah al Qasas ayat 26)

”Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan, lagi mengetahui cara mentadbirkannya” (Surah Yusuf ayat 55)

Artikel Berkaitan 

“Dalam dunia politik moden, sudah pasti sukar mencari “Musa” dan “Yusuf” sebegini. Ada pemimpin yang berpengalaman dan ada kepakaran tetapi memiliki integeriti yang lemah.

“Manakala, ada juga pemimpin yang mempunyai tahap integriti yang tinggi tetapi lemah dari sudut kemampuan dan kelayakannya untuk memegang sesuatu portfolio.

BEKAS Menteri di Jabatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyarankan pengundi mengundi calon yang mampu menjaga agama dan prihatin kepada rakyat bawahan.

“Buat masa sekarang, saya berpandangan setiap parti dan jajaran ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Maka, pilihlah calon daripada parti yang mampu membentuk koalisi yang mantap dan paling kurang mudaratnya,” jelasnya.

Seterusnya, bekas Menteri di Jabatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyarankan pengundi mengundi calon yang mampu menjaga agama dan prihatin kepada rakyat bawahan.

laitu mereka (umat Islam) yang jika KAMI berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi ALLAH jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj ayat 41)

Baca Juga Tindakan tegas kepada pihak yang tunggang agama

Tambahnya, pengundi juga perlu memilih calon yang tidak dikenali sebagai penipu.

‘‘Dari Ma’qil bin Yasar, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa diberi tanggungjawab oleh ALLAH untuk memimpin rakyatnya lalu dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya ALLAH mengharamkan syurga atasnya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Berpolitik
Berita Semasa,

Sematkan sirah Nabi Muhammad SAW ketika berpolitik

Sematkan sirah Nabi Muhammad SAW ketika berpolitik

MERIAH sungguh pemandangan sana sini dengan kibaran poster parti dan gambar calon-calon ketika musim pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri yang akan menemui kemuncaknya esok.

Wajah sebenar rakyat Malaysia benar-benar kelihatan ketika hampirnya PRN. Tergores rasa sedih dihati apabila melihat keadaan di Malaysia yang koyak akhlak ketika PRN apabila calon-calon dan masyarakat menjadi boomerang yang pantang diejek dengan ucapan dan dibalas balik, tidak seperti pokok apabila dibaling batu, dibalas buah yang ranum.

Alangkah cantiknya sekiranya kita kembali kepada sirah Rasulullah SAW ketika berdakwah ke Taif. Ketika itu baginda diejek dan disakiti di kiri kanan jalan sehingga kedua-dua belah kasutnya lencun dibasahi darah.

Zaid Bin Harithah cuba melindungi nabi tetapi kepalanya juga berdarah terkena lontaran batu. Melihat kegetiran yang ditempuh itu, Malaikat Jibril menawarkan diri untuk membinasakan mereka tetapi nabi menolaknya dan berkata: “Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Baca juga Kita tak boleh kawal mulut orang, sebaliknya bacalah doa ini apabila dicaci maki 

Begitulah mulianya hati Nabi Muhammad SAW. Walaupun dihina, malah dicederakan, baginda tetap mendoakan agar umat yang menganiayainya memperoleh kebaikan. Refleksi daripada sirah agung itu, ditambah dengan suasana umat Islam masih lagi dalam bulan Muharam, mengapa tidak bersama-sama meneladaninya?

Berpolitik

TELADANI sikap Rasulullah SAW yang begitu tinggi akhlak dan budi bahasanya lebih-lebih lagi dalam berpolitik dan suasana kempen PRN. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

Budi bahasa jadi pedoman

Tuntasnya, adab budi bahasa yang ditunjukkan oleh Rasulullah begitu luar biasa yang sepatutnya sentiasa menjadi pedoman kepada umatnya, lebih-lebih lagi dalam suasana kempen PRN.

Adab akhlak dan kesantunan budi bahasa Melayu mengajar kita untuk sentiasa sopan ketika berbicara. Hal itu penting agar tidak menjauhkan Islam daripada mereka yang belum Islam.

Rasulullah bersabda yang mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum masuk iman ke dalam hatinya, janganlah kamu semua mengumpat orang-orang Islam dan janganlah pula mencari kecelaan dan kesalahan mereka. Dari kerana sesungguhnya siapa yang mencari-cari kecelaan dan kesalahan saudara seagamanya maka pasti ALLAH akan mencari kecelaan dan kesalahannya pula. Dan siapa yang ALLAH mencari kesalahannya, maka pasti ALLAH akan memalukannya sekalipun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Sayugia dalam semarak gendang perang pilihan raya, calon-calon yang bertanding dan para jenteranya yang beragama Islam juga mesti sentiasa berhati-hati dalam berkempen agar tidak mencaci serta memfitnah pihak lawan.

Rasulullah bersabda yang mafhumnya: “Janganlah kalian saling mendengki, saling memfitnah, saling membenci, dan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba ALLAH yang saling bersaudara.

Baca juga Hilangnya amal ketika lidah dirajai nafsu

“Muslim yang satu dengan Muslim yang lainnya adalah bersaudara, tidak boleh menyakiti, merendahkan ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya). Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama Muslim. Muslim yang satu dengan yang Iainnya haram darahnya. hartanya, dan kehormatannya” (Hadis Riwayat Muslim)

Tiada guna taasub berlebihan

Begitu juga dengan aspek terlampau taasub dan berlebih-lebihan dalam fahaman politik sehingga bercerai-berai, putus saudara dan bermusuhan dalam kalangan masyarakat akan menyebabkan hancurnya negara.

Berpolitik

JANGAN kerana perbezaan fahaman politik atau pilihan pemimpin menyebabkan masyarakat bercerai-berai, putus saudara dan bermusuhan yang menyebabkan hancurnya negara. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

ALLAH SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali ALLAH dan janganlah kamu berpecah belah.”

Baca juga Taasuber, tidak perlu fanatik melampau kepada individu, tetapi taasublah kepada kebenaran

Imam al-Qurtubi Rahimahullah dalam tafsirnya ke atas ayat ini menyebut: “Janganlah kamu berpecah belah di dalam agama kamu seperti berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka.”

Kemudian beliau berkata lagi: “Boleh juga ia membawa erti jangan kamu berpecah belah dengan mengikuti hawa nafsu dan kehendak yang berbeza, dan jadilah bersaudara di dalam agama ALLAH. Maka yang demikian itu akan menghalang kamu daripada berpecah belah dan saling bermusuhan dan berpegang teguhlah kamu dengan tali ALLAH (Rasulullah, khulafa’ ar-Rasyidin dan Ulil amri) dalam jemaahnya dan janganlah kamu memutuskannya (memisahkan diri).”

Alangkah baiknya jika budaya bijak berpolitik yang saling hormat menghormati antara satu sama lain dihidupkan semaksimum mungkin dalam membina negara.

Masyarakat Malaysia yang terkenal sebagai bangsa berdaulat dan mempunyai budi bahasa luhur mestilah sentiasa mempertahankan kasih sayang serta hormat menghormati sesama kita walaupun berbeza fahaman politik, sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesiapa yang tidak menghormati (menyayangi) orang lain, tidak akan dihormati (disayangi)”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Esok adalah tarikh keramat untuk anda membuang undi. Berpeganglah kepada manifesto calon yang mengutamakan pencapaian dan pembangunan agama, material serta menjulang keharmonian negara tercinta.

***Artikel ditulis oleh Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman, yang juga Kaunselor Berdaftar Kementerian Wanita, Keluarga & Masyarakat

Sheikh as-Sudais
Antarabangsa,

Syeikh Sudais dilantik ketua badan bebas Hal Ehwal Agama Dua Kota Suci

KERAJAAN Arab Saudi pada Selasa mengumumkan perlantikan Syeikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais sebagai Ketua Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bertaraf Menteri.

Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan, perlantikan Sudais disepakati selepas Majlis Kabinet bersetuju mengenai penubuhan ‘Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram Dan Masjid Nabawi, iaitu sebuah badan bebas yang bernaung di bawah institusi DiRaja Saudi bagi menyelia urusan dan pengajaran agama di dua Kota Suci umat Islam itu.

Selain itu, majlis Kabinet juga memutuskan untuk mengubah nama Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi kepada Badan Am bagi Urusan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Baca Juga Syeikh Ibn Baz Jelaskan Keharusan Membaca Lafaz Bismillah

Majlis Kabinet turut sepakat menamakan Dr.Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, yang juga Menteri Haji dan Umrah, sebagai Pengerusi badan am baharu itu.

Fungsi badan ini akan tertumpu kepada menguruskan perkhidmatan, operasi, penyelenggaraan dan pembangunan di kedua-dua masjid.

Lembaga pengarah dan anggota pertubuhan itu akan dilantik menerusi titah diraja.

SYEIKH Dr Abdul Rahman Al-Sudais.

Jom kenali Syeikh Dr Abdul Rahman As-Sudais

Nama sebenar beliau ialah Syeikh Abdurrahman bin Abdul Aziz bin Muhammad As-Sudais Al-Najdi namun, lebih dikenali sebagai Abdurrahman As-Sudais. Dilahirkan pada 10 Februari 1960 di Riyadh, Arab Saudi.

Menurut rekod, Abdurrahman As-Sudais merupakan keturunan kabilah Anza dari salasilah Abu Abdul Aziz bin Abdul Aziz bin Abdullah bin Abdul Aziz bin Muhammad bin Abdullah.

Baca Juga Nasihat emas Syeikh Umar al-Afriki kepada penuntut ilmu

Abdurrahman As-Sudais dilantik menjadi Imam dan Khatib Masjidil Haram, Mekah al-Mukarramah merangkap Ketua Umum Pengurus Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada tahun 1404H dan mengimamkan solat buat pertama kalinya pada 22 Syaban 1404H.

Pada 15 Ramadan 1404H, beliau menyampaikan khutbah di Masjidil Haram buat pertama kalinya dan menjadi sejarah penting dalam kelendar Islam.

As-Sudais juga amat terkenal di setiap pelosok dunia dengan bacaan al-Quran yang lunak dan merdu, malah tajwid bacaan beliau juga sangat sempurna sehinggakan umat Islam terpesona dengan setiap alunan ayatnya.

SYEIKH As-Sudais dilantik menjadi Imam dan Khatib Masjidil Haram, Mekah al-Mukarramah merangkap sebagai Ketua Umum Pengurus Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada tahun 1404H.

Sejak berumur 12 tahun, Syeikh As-Sudais telah menghafal 30 Juzuk al-Quran dan telah berguru dengan ramai para ulama qiraat di Riyadh.

Di antara para ulama yang pernah menjadi guru beliau termasuklah Syeikh Abdurrahman bin Abdullah Alu Faryan, Syeikh Al-Muqri Muhammad Abdul Majid Zakir dan Syeikh Muhammad Ali Hasan.

Sebelum dilantik menajdi Imam Masjidil Haram, Syeikh Abdurrahman As-Sudais bekerja sebagai seorang Pembantu Profesor di Universiti Riyadh dan dalam masa yang sama merupakan seorang tenaga pengajar di Akademi Al-Dawa Al-Ilmi.

Baca Juga Ini kisah tragedi Karbala yang terjadi pada 10 Muharam

Turut Disyorkan Syeikh Abdullah Fahim, ulama dinamik yang menentukan tarikh kemerdekaan

Sehingga hari ini, di antara Mutiara Kata Syeikh Abdurrahman As-Sudais yang paling terkenal ialah:

Berakhlaklah dengan akhlak al-Quran, sepertimana riwayat Aisyah RA, ‘Akhlak Rasulullah adalah al-Quran’. Seterusnya, amalkan al-Quran sehingga nilai-nilai al-Quran hidup di tengah-tengah masyarakat. Segala permasalahan hendaklah dirujuk dengan al-Quran dan berubatlah dengannya.”

 

Sinéad O’Connor
Antarabangsa,

Penghormatan terakhir buat muslimah bernama Sinéad O’Connor

PENGEBUMIAN penyanyi dan aktivis tersohor Irish, Sinéad O’Connor disempurnakan mengikut pegangan agama Islam yang dianutinya sejak 2018.

Lebih 3,000 orang berkumpul di kampung halamannya, di Bray, County Wicklow, selatan Dublin pada hari ini, Selasa (8 Ogos) jam 10.30 pagi (waktu Ireland) atau 5.30 petang (waktu Malaysia) bagi memberi penghormatan terakhir.

Ketua Imam di Pusat Islam Ireland, Syaikh Dr Umar Al-Qadri memberitahu MailOnline bahawa keluarga O’Connor mengadakan pengebumian bintang legenda itu mengikut cara Islam yang merupakan agama terakhir yang dianutinya, dan merujuk beliau dengan nama Islamnya, Shuhada Sadaqat.

Baca Juga Lagi serangan dan penodaan terhadap al-Quran, kali ini kitab suci itu ‘dicincang’ dan ‘diparut’

Al-Qadri kemudiannya memberitahu agensi berita PA: “Pengebumian Sinéad jelas sekali adalah bersifat peribadi (untuk) keluarga dan ia adalah upacara yang sangat mengharukan; dan saya fikir ia benar-benar mencerminkan personaliti indah Sinéad.

“Ia penuh kerohanian dan mencerminkan identiti Irelandnya serta identiti Muslimnya. Jadi, saya bersama-sama ahli masyarakat Islam di Ireland dan kami menunaikan solat jenazah, iaitu solat jenazah untuk orang Islam ke atas Sinéad.”

Sinéad O’Connor

Beliau juga memberitahu bahawa bahawa O’Connor ‘tidak pernah beranjak pegangannya daripada Tuhan (ALLAH SWT)’, tidak seperti orang lain yang mengalami ‘kesukaran dan ujian’ dalam hidup mereka.

“Dikurniakan vokal yang menggerakkan generasi muda, mampu membuatkan sesiapa yang mendengarnya mengalirkan air mata.

“Suara beliau dibawanya dengan nada penuh harapan, untuk mencari jalan pulang,” katanya.

Artikel Berkaitan 

Sebelum ini media antarabangsa melaporkan penyanyi legenda dan aktivis masyarakat, Sinéad O’Connor menghembuskan nafas terakhir pada usia 56 tahun.

Berita pemergian selebriti kelahiran Ireland diumumkan ahli keluarganya dalam satu kenyataan pada 26 Julai 2023 yang lalu.

Kehilangan O’Connor amat dirasai rakan-rakan seperjuangan. Cat Stevens, kumpulan UB40 dan Bryan Adam antara yang menyatakan kesedihan pemergian penyanyi wanita itu.

PENGEBUMIAN Sinéad O’Connor dijadualkan pada 10.30 pagi ini, Selasa, 8 Ogos 2023 (waktu Ireland) di Bray, County Wicklow, Dublin, Ireland. -Foto : Billboard

“Sedih mendengar pemergian Shuhada Sadaqat, juga dikenali sebagai Sinéad O’Connor. Dia berjiwa lembut, semoga ALLAH YANG MAHA PENGASIH memberinya kedamaian abadi. Inna lillahi wa inna ilayhi rajiuon. Sesungguhnya kami milik ALLAH dan sesungguhnya kepada-NYA kami kembali.” – Cat Stevens

“Bersemadilah Sinéad O’Connor. Saya suka bekerja dengannya, menjalani sesi fotografi dan melakukan persembahan gig di Ireland bersama-sama. Salam takziah kepada keluarganya.” – Bryan Adams

Baca Juga Jangan terpedaya kononnya pakej Islamik pengebumian haiwan peliharaan, ini cara sebenar Islam ajarkan

“Sangat sedih mendengar pemergian penyanyi dan aktivis Sinead O’Connor pada usia 56 tahun. Dia adalah ikon, sentiasa berani dan lantang. Tenanglah di sana Sinéad.” – UB40

Pemergian penyanyi ini meninggalkan tiga cahaya mata iaitu Jake, 36, Roisin, 28, dan Yeshua, 17.

Seorang anaknya, Shane meninggal dunia pada tahun 2022.

Berpolitik
Berita Semasa,

Haram menjatuhkan orang lain ketika berkempen?

TEMPOH berkempen Pilihan Raya Negeri membabitkan enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan tamat pada tengah malam hari Jumaat ini.

Dalam kerancakan suasana tersebut, adakalanya calon-calon mahupun parti yang bakal bertanding membuka segala cela dan noda yang ada pada pihak lawan masing-masing.

Walaupun tujuan utamanya sekadar untuk meraih sokongan dan undian, namun pendekatan itu tetap kurang manis dipandang.

Masakan tidak, cara itu seolah-olah mahu menjatuhkan pihak lawan atau orang lain secara terang-terangan.

Sedangkan dalam Islam, membuka aib sendiri lagikan tidak boleh, apatah lagi jika melibatkan pekung orang lain.

Namun, bagaimana pula pendekatan tersebut digunakan ketika berkempen? Adakah boleh menjatuhkan orang lain pada masa itu?

Menjawab persoalan itu menerusi slot Hukum-Hakam Pilihan Raya menerusi laman sosial Facebook Majlis Ulama Isma (MUIS), Pengarah Sekretariat Majlis itu, Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa menjelaskan, secara asasnya, Islam tidak membenarkan perbuatan saling menjatuhkan sesama Muslim.

USTAZ AHMAD SYAMIL

Perkara itu dapat dilihat menerusi hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hal politik, Ustaz Syamil menjelaskan, ia bukan sekadar soal pergaulan sesama Muslim sahaja, tetapi lebih besar daripada itu kerana berkait rapat dengan pemilihan pemimpin terbaik yang dapat menjaga kemaslahatan agama Islam.

“Begitu juga soal pemimpin yang bebas daripada fitnah seperti salah guna kuasa, perbuatan khianat, pemikiran liberal dan sebagainya.

“Oleh itu, menjadi keperluan untuk memberitahu masyarakat sekadar untuk faham siapakah yang sepatutnya dipilih dan siapa yang sepatutnya ditolak,” terangnya.

Begitupun, ujar pendakwah itu, terdapat batas-batas tertentu yang ditetapkan oleh syariat.

Sekiranya ia merupakan hal peribadi atau keluarga yang tiada kaitan, maka ia tidak dibolehkan, ungkapnya.

“Sepatutnya seseorang itu ‘naik’ dengan kelebihan atau kemampuan yang dia boleh tawarkan kepada masyarakat dan bukannya dengan menjatuhkan pihak lawan,” tegas beliau.

Berkempen

BERKEMPEN dengan cara sewajarnya dan tidak menjatuhkan pihak lawan dengan cara begitu mengaibkan. Seorang pemimpin itu sepatutnya ‘naik’ dengan kelebihan dan kemampuan yang boleh ditawarkan kepada masyarakat dan bukannya dengan menjatuhkan pohak lawan. -Foto: 123rf

Seandainya sesuatu berita atau peristiwa yang dibangkitkan itu sudah diketahui umum seperti kes jenayah, pemikiran yang berlawanan dengan Islam atau pendirian yang memusuhi Islam dan sebagainya, maka Ustaz Syamil menjelaskan, ia dibolehkan.

“Tujuannya adalah sebagai bentuk kewaspadaan (tahzir) kepada masyarakat agar lebih peka dalam memilih pemimpin,” katanya.

Larangan mencari kesalahan orang lain

Sememangnya manusia biasa membuat kesilapan. Tiada insan yang selama-lamanya benar dan salah. Demikianlah fitrah penciptaan kita di muka bumi ini.

Meskipun kita semua adalah sama, namun terdapat sebilangan orang yang gemar mencari kesalahan dan menjatuhkan orang lain sama ada sengaja ataupun tidak.

Hakikatnya, ALLAH SWT menutup aib hamba-hamba-NYA sehingga pada hari perhitungan kelak. Malangnya, ada orang yang tergamak membuka aib sendiri mahupun orang lain tanpa segan silu.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada berprasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menyukai memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH MAHA PENERIMA TAUBAT, lagi MAHA PENYAYANG.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Berkempen

JAUHI sikap suka mengumpat, mencari kesalahan orang lain atau membuka aib seseorang bukan sahaja ketika berkempen untuk pilihan raya, tetapi pada bila-bila masa sahaja. -Foto: Freepik

Berdasarkan kalamullah tersebut, jelaslah perbuatan mencari salah orang lain itu sama seperti memakan bangkai saudaranya sendiri. Ia wajib dihindari.

Memetik artikel disiarkan portal Kumparan.com, Islam begitu menjunjung tinggi rasa perdamaian kerana ia sifat agama suci itu sendiri.

Perkara tersebut dapat dilihat menerusi firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Tetapi jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka terimalah dan bertawakallah kepada ALLAH. Sesungguhnya, DIA MAHA MENDENGAR, lagi MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-Anfal, ayat 61)

Sebagai umat Islam yang bertakwa, jangan sesekali mencetuskan konflik dan memutuskan hubungan sesama saudara di muka bumi ini.

“Sentiasalah bertolak ansur dengan menghormati hak peribadi orang di sekeliling.

“Seperkara lagi, jangan campuri perkara yang bukan urusan kita terutama perbuatan yang merenggut hak peribadi dan aib setiap manusia. Salah satunya adalah tajassus atau mencari kesalahan orang lain,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Kumparan.com.

***Foto: Freepik 

Qari OKU
Berita Semasa,

Qari OKU wakili Malaysia dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa

QARI orang kurang upaya (OKU) dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi bersama tiga lagi peserta bakal mewakili negara dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 Tahun 1145 Hijrah/2023 Masihi yang berlangsung pada 19 hingga 24 Ogos ini.

Muhammad Qayyim Nizar yang juga johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M bakal menyertai majlis tilawah bersama dengan Nor Hidayah Abd Rahman, qariah dari Terengganu.

Baca juga Hilang penglihatan bukan halangan Qayyim jadi juara

Sementara itu, acara hafazan menyaksikan Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan dari Johor dan Dian Karisma Mohd Japar (Sabah) akan menyaingi peserta dari negara lain dalam majlis yang diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur nanti.

Bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, acara tersebut bakal menampilkan 76 peserta keseluruhannya dari 52 buah negara.

Qari OKU

DR MOHD NA’IM -Foto: Facebook Dato’ Setia Dr. Na’im

Katanya, mereka bakal diadili seramai 20 orang hakim dari pelbagai negara. 

“Semua peserta itu telah melalui sesi ujian saringan yang diadakan pada Mei dan Julai lalu, masing-masing di Terengganu serta Melaka,” katanya dalam satu kenyataan sempena sidang media majlis pra pelancarannya di ibu negara pada Selasa.

Jelas beliau, Malaysia sememangnya terkenal dengan penganjuran MTHQA sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sejak dianjurkan buat pertama kalinya pada 8 Mac 1960.

Malah katanya, negara pernah menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Al-Quran Terbaik 2016 oleh Kuwait International Prize of Holy Quran.

Baca juga Malaysia johan qariah, naib johan qari Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2022

“Penganjuran acara tahunan oleh Kerajaan Malaysia ini adalah sebagai manifestasi bagi menzahirkan komitmen pihak kerajaan dalam menerapkan budaya minat membaca al-Quran dan memahami inti patinya serta mengaplikasikan tuntutan serta larangan Yang MAHA ESA dalam amalan kehidupan kita,” ujarnya.

Qari OKU

PADA majlis pra pelancaran MTHQA itu, YaPEIM memberikan sumbangan tajaan emas kepada johan qari dan qariah masing-masing bagi kategori tilawah serta hafazan. -Foto: Facebook Dato’ Setia Dr. Na’im

Majlis perasmian MTHQA ke-63 bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Ogos ini, jam 8.45 malam.

Pada 24 Ogos ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat untuk perasmian penutupan dan pengurniaan hadiah kepada para pemenang.

Selain tunai daripada kerajaan, johan bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan bakal menerima tajaan emas oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berserta hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu boleh disaksikan secara langsung menerusi RTM 1 bermula dari jam 8.45 malam hingga 11.30 untuk kategori tilawah dan TV AlHijrah bagi acara hafazan (9 pagi hingga 12 tengah hari).

Taman al-Quran Dubai
Antarabangsa,

Pamer pelbagai tumbuhan disebutkan kitab suci, anda wajib lawati Taman al-Quran Dubai

Pamer pelbagai tumbuhan disebutkan kitab suci, anda wajib lawati Taman al-Quran Dubai

SEBUT sahaja Dubai, negara Arab itu seringkali dikaitkan dengan destinasi percutian mewah dan eksklusif.

Namun, selain bangunan pencakar langit tertinggi di dunia Burj Khalifa, ada satu lagi tempat menarik yang wajib anda lawati sekiranya anda berkunjung ke Dubai, iaitu ‘Quranic Park’ atau Taman al-Quran.

Baca juga Jika berpeluang ke Mekah anda wajib melawat Ma’radh Wahyi, ini alasannya

Taman hijau berkeluasan 64 hektar itu merupakan taman al-Quran pertama di dunia berkonsepkan peristiwa-peristiwa dalam kitab suci ALLAH.

Sebagai destinasi tarikan pelancong, taman itu memberi peluang kepada pengunjung mempelajari lebih lanjut tentang tumbuhan dan keajaiban yang disebut dalam al-Quran secara interaktif.

Taman al-Quran Dubai

JIKA berkunjung ke Dubai, anda wajib melawat Taman al-Quran. Foto: mybayut

Baca juga Diinspirasikan Asmaa ul-Husna, masjid di Sulawesi ini ada 99 kubah indah

Memetik portal rileklah.com, taman Islamik itu mempunyai 12 kawasan berbeza yang penuh dengan tanaman hijau dan bunga-bungaan yang selalu disebutkan dalam al-Quran seperti buah zaitun, ara, Habbatus Sauda dan buah delima.

Uniknya, segala penerangan mengenai keistimewaan tumbuhan tersebut ada dijelaskan menerusi tulisan kaligrafi Arab yang ada pada pohon-pohon di taman berkenaan.

GUA Mukjizat memberi peluang kepada pengunjung mempelajari tentang Islam dan al-Quran secara interaktif. Foto: mybayut

Selain itu, ‘The Cave of Miracles’ atau Gua Mukjizat turut menjadi tumpuan pengunjung hadir ke taman.

Sepanjang menyelusuri Gua Mukjizat itu, pengunjung bakal menikmati pengalaman menyeronokkan sambil mempelajari Islam serta kisah para Nabi dalam al-Quran dengan cara interaktif hasil penerangan menggunakan peta berteknologi 3D dan hologram.

Turut disyorkan Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

Taman al-Quran Dubai

PAMERAN dalam Gua Mukjizat menggunakan teknologi canggih seperti 3D dan hologram. Foto: mybayut

Baca juga Didiami lebih 20 ribu huffaz, Kampung Matar Tares masyhur seantero Mesir

Lebih menarik di taman itu juga dibina sebuah tasik buatan seakan terbahagi dua yang melambangkan peristiwa perjuangan Nabi Musa AS membelah Laut Merah dengan tongkatnya atas perintah ALLAH SWT.

Kawasan itu diberi nama ‘Al Khawaneej Pond Park’.

TAMAN itu juga mempunyai sebuah tasik buatan manusia sempena peristiwa Nabi Musa AS membelah laut. Foto: mybayut

Turut disyorkan Ini 7 makanan kegemaran Rasulullah SAW kita amalkan tanpa sedar

Bagi mendidik pengunjung terutama anak-anak kecil mengenai buah-buahan sunnah, taman ini juga ditanam dengan pelbagai jenis buah-buahan yang pernah disebutkan namanya di dalam al-Quran seperti anggur, delima, buah tin, pisang dan zaitun.

Kesemua pokok buah-buahan tersebut ditanam di sebuah tempat yang dinamakan sebagai ‘Glass House’ atau Rumah Kaca.

Malah, pengunjung juga dapat mempelajari fungsi buah-buahan kegemaran Nabi tersebut yang kaya dengan khasiat dari segi perubatan dan kesihatan manusia seperti mana yang difirmankan ALLAH di dalam kitab suci tersebut.

Baca juga Lawatan ke lokasi bersejarah di Tanah Suci mampu tingkatkan takwa

Taman al-Quran Dubai

PELBAGAI tanaman pernah disebutkan oleh al-Quran ada dalam Rumah Kaca. Foto: mybayut

Untuk pengetahuan, bayaran masuk ke Taman al-Quran adalah percuma.

Namun, caj minimum dikenakan jika pengunjung mahu ke tempat tarikan utama seperti Glass House dan Cave of Miracles iaitu masing-masing sebanyak AED 5 atau kira-kira RM5.60 setiap seorang.

Taman al-Quran tersebut dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Sumber: rileklah.com & mybayut

Foto: mybayut

TVET
Berita Semasa,

Program TVET Tahfiz, aset ummah masa depan

PROGRAM Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diperkenalkan di pusat tahfiz berupaya memperkasakan pengetahuan dan kemahiran pelajar serta memberi peluang kerjaya yang lebih luas kepada mereka pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Ts Mustapha Sakmud berkata pelajar yang mengikuti bidang TVET bukan sahaja boleh berkecimpung dalam bidang kerjaya berkaitan agama tetapi juga bidang lain sesuai dengan kemahiran yang dimiliki.

“Kita boleh lahirkan bukan sahaja hufaz yang boleh menghafal al-Quran, tetapi pada masa yang sama mereka yang berkemahiran dan kita jenamakan mereka sebagai teknokrat MADANI sesuai dengan gagasan negara kita Malaysia MADANI”.

Baca Juga ‘Ulama boleh tegur kerajaan’ – Anwar

“Ini yang kita mahu, bukan sahaja mereka boleh menjadi imam nanti, bukan sahaja boleh menjadi guru agama atau terlibat dalam pengurusan masjid, tetapi mereka boleh menjadi juruelektrik dan sebagainya“, katanya kepada media selepas merasmikan Tahfiz Vokasional Ahmadiah Rakan Kongsi Strategik Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas pada Ahad.

Turut hadir Mudir Tahfiz Vokasional Ahmadiah, Ustaz Fadzil Noor Sahani.

Dalam pada itu, Ustaz Fadzil Noor berkata Tahfiz Vokasional Ahmadiah mendapat sokongan daripada ILP Kepala Batas bagi menjalankan jurusan mekanikal untuk pelajar di pusat tahfiz berkenaan.

HARAPAN yang disandarkan kepada seorang bergelar hufaz bukan semata-mata menghafal al-Quran tetapi berharap agar mereka juga menjadi golongan profesional seperti doktor, jurutera, akauntan dan lain-lain.

“Kita mendapat kebenaran pentauliahan pusat sebagai tempat yang bukan hanya menawarkan sijil kemahiran kepada pelajar tahfiz namun turut dibuka kepada individu lain yang berminat“, katanya.

Lahirkan hufaz profesional

Perkataan huffaz adalah merujuk kepada penghafaz-penghafaz al-Quran. Cabaran dalam melahirkan seorang hufaz bukan semudah yang digambarkan.

Apatah lagi harapan yang disandarkan kepada seorang bergelar hufaz bukan semata-mata menghafal al-Quran tetapi berharap agar mereka juga menjadi golongan profesional seperti doktor, jurutera, akauntan dan lain-lain.

Artikel Berkaitan 

Seperti dilaporkan berita tempatan sebelum ini, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) merupakan politeknik pertama yang memperkenalkan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran Jakim-Politeknik dengan kerjasama Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah PSA Dr Mohd Zahari Ismail berkata, pada peringkat awal pelaksanaannya, program ini hanya ditawarkan kepada pelajar Program Diploma Pengajian Perniagaan bagi pengambilan sesi Jun 2017.

Majlis Perasmian Tahfiz Vokasional Ahmadiah. 

Namun, pada 2019 menurutnya, program itu diperluas kepada tiga lagi program pengajian iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Elektrik.

Melalui program ini, graduan yang tamat pengajian akan memperoleh Diploma Politeknik serta Sijil Tahfiz al-Quran Politeknik-Jakim.

Menurutnya, bagi mencapai tujuan dan objektif program yang menggabungkan kemahiran TVET dan menghafaz al-Quran itu, PSA berjaya merangka model Techno-Huffaz yang menjadi acuan kepada graduan TVET yang global dan holistik.

Turut Disyorkan Demi sebar dakwah, ustazah Asma’ Harun gigih dapatkan tauliah setiap negeri

“Model itu merangkumi empat prinsip yang menjadi teras melahirkan pelajar Techno-Huffaz di PSA iaitu teknologis-i, keusahawanan, kompeten dan holistik.

“Selaras dengan nama Techno-Huffaz, menerusi teras teknologis-i, PSA mampu melahirkan teknokrat Islam dalam bidang kepakaran masing-masing di samping berlatar belakang seorang penghafal al-Quran.

“Teras ini mengambil ibrah kisah Zulqarnain yang diabadikan dalam surah al-Kahfi, seorang teknokrat yang beriman kepada ALLAH menggunakan kepakaran dalam pembinaan untuk menyelamatkan ummah daripada kejahatan serta mengekang kezaliman dan keganasan daripada terus merosakkan bumi,” katanya.

tanam bangkai haiwan
Berita Semasa,

Jangan terpedaya kononnya pakej Islamik pengebumian haiwan peliharaan, ini cara sebenar Islam ajarkan

BARU-BARU ini tular menerusi satu ciapan di laman Twitter mengenai operasi sebuah syarikat yang menawarkan khidmat pengebumian haiwan peliharaan.

Dikhabarkan, mereka turut menawarkan pakej kebumi mengikut kaedah Islam. Antaranya seperti menyediakan tapak kubur seluar 60×90 (2×3 kaki), servis menanam, batu nisan dan sijil mati.

Caj itu turut lengkap dengan kafan, doa dan tapak kubur untuk haiwan peliharaan. Pakej premium pula ada tambahan servis iaitu bacaan doa, majlis pengebumian, mandi jenazah, botol untuk bulu, gambar kenangan, patung tanah 3D dan video kenangan.

Melihat senarai harga mereka, perkhidmatan menguruskan bangkai haiwan ini bermula RM2,100 hingga RM3,800 untuk pakej premium.

Bagaimanapun, syarikat ini telah menerima kecaman ramai kerana dituduh cuba menunggang agama.

Difahamkan lagi, pemiliknya bukanlah orang Muslim, jadi tidak mustahillah mereka kurang faham dengan perkara ini.

 

Cara tanam bangkai haiwan

Melihat situasi di atas, sebagai umat Islam, janganlah sesekali terjebak dengan perkara mengarut ini.

Sebagaimana yang digariskan oleh agama yang syumul ini, Islam telah meletakkan panduan kepada umatnya dalam setiap perkara termasuk hal berkaitan haiwan peliharaan.

Menurut sumber dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menanam bangkai haiwan seperti kucing, anjing dan sebagainya adalah wajib jika mengganggu manusia atau boleh memudaratkan kehidupan sekeliling namun tidak wajib jika tidak memberi apa-apa kesan kepada kehidupan lain.

Artikel Berkaitan 

Namun, cara yang paling selamat adalah dengan menanam bangkai haiwan tersebut.

Terdapat empat cara tanam bangkai haiwan supaya tidak terbiar, berbau atau dimakan oleh haiwan lain.

1.Pilih lokasi sesuai

Jika haiwan peliharaan mati, tanam sahaja di kawasan rumah. Tidak kisah depan atau belakang rumah.

Cuma pastikan ia tidak berbau dan tidak mengganggu kejiranan. Jika ada haiwan yang mati dilanggar, seeloknya tanam di kawasan berdekatan kejadian.

KETIKA sudah selesai menanam bangkai haiwan yang mati, kambuskan dengan tanah sehingga padat agar tidak digali oleh haiwan lain.

2.Tanam di dalam lubang

Buat lubang atau ‘kubur’. Ukuran lubang sebaiknya dua kali panjang dan sedalam 30cm.

Lebih dalam, lebih bagus untuk mengelakkan bau atau dikesan oleh haiwan lain dan digali. Kelebaran lubang bergantung pada saiz haiwan peliharaan. Paling penting pastikan lubang tersebut kering.

3. Sediakan alas

Alaskan haiwan peliharaan dengan daun segar. Lebih baik jika daun yang besar dan lebar seperti daun pisang. Dengan berlapikkan daun segar, ia membantu mengurangkan bau bangkai.

4.Tutup lubang

Selesai masukkan haiwan yang ditanam, kambuskan tanah dalam lubang sehingga padat. Banyakkan tanah supaya tidak digali oleh haiwan lain.