Bolehkah haiwan peliharaan mendoakan kita ke syurga?
SESIAPA yang mempunyai haiwan peliharaan pasti pernah merasai kehilangan makhluk kesayangan mereka.
Kesedihan yang harus dilalui akibat kehilangan itu sukar digambarkan dengan kata-kata. Namun begitulah lumrah kehidupan kerana setiap yang bernyawa pasti akan mati.
Dalam pada itu, ada segelintir masyarakat kita percaya bahawa manusia berpeluang berjumpa semula dengan haiwan peliharaan mereka di akhirat nanti.
Malah, dikatakan juga binatang yang dijaga dengan baik mampu mendoakan kita untuk dimasukkan ke syurga. Namun, benarkah begitu?
Turut disyorkan Kucing bukan haiwan kesayangan Nabi SAW? Ini sebabnya
Keadaan haiwan di akhirat
Berdasarkan penjelasan daripada pihak Mufti Wilayah Persekutuan, di akhirat kelak, binatang-binatang akan dibangkitkan untuk memenuhi tuntutan dan hak sesama makhluk sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah SAW.
Sabda Nabi, “Semua hak itu pasti akan dipenuhi pada hari kiamat kelak, hingga kambing bertanduk pun akan dituntut untuk dibalas oleh kambing yang tidak bertanduk.” (Hadis Riwayat Muslim)
Pun begitu, keadaan makhluk itu tidak akan sama dengan manusia. Berbeza dengan kita, haiwan tidak akan dihitung dari sudut amal kebaikan, apatah lagi dimasukkan ke dalam syurga-syurga ALLAH.
Sebaliknya, haiwan akan menjadi debu tanah pada hari akhirat kelak.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Siang ikan hidup-hidup, di mana keihsanan sebagai manusia? Ini hukumnya yang wajib diketahui
- Perburuan dibenarkan Islam tetapi ada syaratnya, ini perincian haiwan buruan boleh dimakan umat Islam
- Bela ular atau binatang liar, apakah hukumnya?
Haiwan boleh mendoakan kita?
Portal itu turut memberitahu, tidak ada nas dan dalil yang khusus tentang kedudukan haiwan seperti kucing di hari akhirat kelak terutama sekali dalam membantu manusia yang menolongnya semasa di dunia.
Dalam erti kata lain, tidak ada sumber sahih yang menyatakan binatang peliharaan mampu mendoakan kita untuk dimasukkan ke syurga.
Baca juga Binatang pelik, boleh bercakap ini akan keluar dari perut bumi pada Hari Kiamat nanti
Berbuat baik kunci ke syurga
Namun, umat Islam sememangnya dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk. Kata pihak Mufti, setiap kebaikan yang dikerjakan di atas dunia ini akan dijanjikan dengan ganjaran pahala.
Justeru, laman web tersebut menerangkan, sifat ihsan terhadap haiwan yang sebenarnya boleh membantu kita ke syurga ALLAH dan bukannya doa daripada binatang peliharaan itu sendiri.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Foto: 123RF & Pexels