ISTILAH pengorbanan tidak boleh disempitkan hanya ketika musim korban sahaja.
Pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, pengertiannya begitu meluas sekali. Boleh jadi pengorbanan itu datang dalam bentuk wang ringgit, masa, tenaga, harta benda dan sebagainya.
“Dalam kita melayari kehidupan seharian, sudah pasti menuntut pengorbanan di mana-mana.
“Ia sebagaimana kita melihat pengorbanan dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan isterinya, Siti Hajar untuk menjalankan perintah ALLAH SWT agar ‘mengorbankan’ anak mereka, Nabi Ismail. “Demikianlah dedikasi pengabdian seorang bapa, ibu dan anak yang taat kepada perintah Pencipta-NYA,” katanya.
Baca juga Jadikan kisah keluarga Nabi Ibrahim sebagai pemangkin kekuatan diri untuk mencari keredaan ALLAH SWT
Menyambung hujahnya, Ustaz Wan Akashah menambah, pengorbanan sebenarnya merupakan sejenis ujian ALLAH SWT untuk menakar sejauh mana hamba-NYA bersyukur dan berterima kasih kepada-NYA.
“Ya, ia satu bentuk ujian untuk menilai hingga mana kita mengaku diri beriman kepada-NYA,” katanya.
Ia selari dengan firman ALLAH dalam al-Quran: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedangkan mereka tidak diuji (dengan suatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya KAMI telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui ALLAH tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman…” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)
Jika diteliti semula, pendakwah itu menjelaskan, insan-insan yang hidup sebelum kita pernah diuji ALLAH SWT sehingga mereka terpaksa melepaskan pelbagai perkara.
Baca juga Ujian bukan untuk merendahkan martabat manusia, tapi mempersiapkan kita dengan kejayaan
“Ada yang terpaksa meninggalkan rumah, harta bahkan nyawa mereka semata-mata untuk mempertahankan Islam.
“Melalui ujian itulah tahap keimanan kita diukur. Kalau kita sayang kepada harta, sudah tentu kita tidak akan sanggup berkorban. Individu yang berkorban ialah orang yang hatinya ada kasih sayang dan jiwa pemurah.
“Sama jugalah halnya dalam ibadah korban dan mereka yang mengerjakan ibadah haji. Ada yang berduit, tetapi tetap enggan ‘mengorbankannya’ untuk tujuan ibadah. Dalam dirinya masih ada penyakit kedekut dan bakhil,” ungkapnya.
Baca juga Niat sahaja sudah beroleh pahala, apatah lagi jika buat korban
Azam lakukan ibadah korban setiap tahun
Sekalipun ibadah korban tahunan yang sangat dituntut kepada semua umat Islam, namun Ustaz Wan Akashah menyarankan supaya kita melakukannya setiap tahun andai ada kesempatan.
“Sekiranya tidak mampu dilakukan dalam masa terdekat, kita kumpulkan duit untuk berkorban pada tahun berikutnya. Itu juga dikira sebagai satu bentuk pengorbanan mengumpul wang demi melakukan ibadah penyembelihan.
“Barangkali kita tidak mampu buat seorang diri, tiada salahnya jika ia dikongsi bersama suami dan isteri. Jika tak cukup juga, bolehlah kongsi bersama anak-anak.
“Alangkah indahnya andai setiap tahun, ada ahli keluarga kita yang menjadi wakil untuk melakukan ibadah korban,” ungkapnya.
Kepada mereka yang ada daya melaksanakan ibadah korban, Ustaz Wan Akashah berpesan supaya ia tidak dilakukan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk. Sebaliknya, biarlah semuanya dibuat kerana keikhlasan seorang hamba kepada Pencipta-NYA, ungkapnya.
Baca juga Riak, menunjuk-nunjuk semata-mata mahu meraih pujian manusia boleh membinasakan iman kita
“Ketahuilah, penilaian ALLAH SWT bukan terletak kepada korban kita itu, tetapi ketakwaan dan keikhlasan kita kepada-NYA.
“Kemudian, lakukanlah ibadah itu dengan mencari haiwan korban terbaik, tetapi jika tidak mampu, maka lihatlah harga berdasarkan kemampuan masing-masing,” titipnya.
Sesungguhnya, pengorbanan dalam melakukan perintah ALLAH SWT berada dalam kedudukan istimewa dan tinggi di sisi-NYA.
Perkara itu turut diakui oleh Ustaz Wan Akashah.
Malah, ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga…” (Surah at-Taubah, ayat 11)
Melihat kalamullah itu, ujar beliau, jelaslah ALLAH SWT memberikan tawaran yang begitu istimewa. Segala pengorbanan yang dilakukan sama ada berbentuk harta ataupun nyawa, balasannya adalah syurga yang sangat tinggi di sisi-NYA.
“Ia termasuk juga pengorbanan melakukan sembelihan binatang korban sempena sambutan hari raya haji,” ungkapnya.
Namun begitu, andai seseorang tiada rezeki asbab ketidakupayaannya, Ustaz Wan Akashah menyarankan agar mereka membantu individu yang melakukan ibadah korban pada hari penyembelihan.
Baca juga Diuji hingga jatuh berkali-kali, kembali kepada ALLAH, pasti ada solusi menanti
“Paling tidak pun, bantulah memasak makanan untuk dimakan orang ramai ketika hari berkenaan.
“Ingatlah, apa jua pahala yang diperoleh terletak kepada niat masing-masing. Andai kita berniat ikhlas kerana ALLAH, pasti ganjaran besar akan menanti.
“Walaupun tidak sama seperti pahala yang diraih orang yang melakukan ibadah penyembelihan, setidak-tidaknya kita masih ada syer dalam melakukan pengorbanan kepada ALLAH. Sesungguhnya, DIA MAHA MENGETAHUI kemampuan kita. Paling penting, keikhlasan dan kejujuran diri,” ungkapnya.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus.