TULAR baru-baru ini apabila seorang pendakwah bebas kerap dikecam warganet kerana selalu berkongsi video menari bersama isterinya di media sosial.
Walaupun selalu menjadi bahan kecaman, pendakwah itu seolah mengendahkan segala kritikan warga maya. Bukanlah apa yang dilakukan itu salah, namun sebagai seorang yang sering berbicara mengenai agama pasti setiap tindak-tanduknya akan menjadi perhatian orang ramai.
Menjengah ruangan komen juga, rata-rata netizen mengatakan “kalau faham agama tidak akan biarkan isteri buat maksiat”.
Ada juga yang memberikan teguran secara terbuka bahawa memaparkan video romantis di media sosial bukanlah budaya Islam, apatah lagi ia juga merosakkan imejnya sebagai pendakwah dan watak Islamik.
Bahkan menggelarnya sebagai seorang suami dayus kerana dengan rela membiarkan isteri melakukan maksiat dan tidak menegur tindakan tersebut.
Apa pula pandangan Islam mengenai perkara ini kerana ia seolah maksiat yang terang-terangan dilakukan oleh pasangan itu.
Bangga dengan dosa sendiri
Memetik perkongsian agamawan terkemuka Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, perbuatan mendedahkan maksiat sendiri secara terang-terangan adalah di antara dosa besar.
“Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda “Setiap umatku diberikan keampunan melainkan golongan yang melakukan maksiat secara terang-terangan. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan ALLAH telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan ALLAH menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang ALLAH tutupkan dari dirinya”, (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Baca Juga Kisah menantu dari syurga ini meruntun jiwa ramai
“Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani hadis di atas adalah merujuk kepada individu yang meuar-uarkan maksiatnya sendiri, menyingkap apa yang telah ditutup oleh ALLAH SWT. Dia bercakap-cakap tentangnya.
“Beliau juga menjelaskan “Barangsiapa yang berniat untuk menzahirkan maksiat yang dilakukan oleh dirinya sendiri, atau menceritakan dosanya kepada orang lain, ALLAH murka kepadanya dan tidak akan menutup keaibannya. Barangsiapa yang berniat untuk menutup maksiatnya kerana malu kepada Tuhan dan manusia, ALLAH SWT kurniakannya dengan menutupnya.”
Terdapat dua kategori individu yang dikira sebagai al-mujahir:
1. Seseorang itu melakukan maksiat dan dia melakukannya secara terbuka. Maksiat tersebut dilakukan secara terang-terangan di hadapan orang ramai. Dia dianggap melakukan kezaliman ke atas dirinya sendiri atas maksiat yang dilakukan. Dia juga telah melakukan dosa ke atas orang lain kerana menjadi faktor orang lain turut mengikut maksiat yang dia lakukan.
2. Seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi, kemudian diceritakannya dosa kepada orang lain.
Seorang Muslim yang beriman, tidak sewajarnya merasa bangga dengan menyebarkan atau menayangkan dosa dan maksiatnya di khalayak ramai.
“Daripada Nawwas bin Sam’an RA, Nabi SAW bersabda “Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadis di atas ialah menggelisahkan hati, berasa ragu-ragu, tidak membukakan hati, terhasil perasaan syak di dalam hati, serta takut dan khuatir bahawa keadaan dirinya berdosa,” ujar beliau di laman Maktabah Albakri.