Percaya syurga bukan hanya untuk orang Islam? Ustaz Kamilin tegur kenyataan tidak berasas itu..
HAL berkaitan syurga dan neraka sememanganya antara perkara yang wajib diimani oleh umat Islam. Kehidupan selepas kematian adalah perkara benar dan tidak boleh sewenangnya menjadi bahan gurauan.
Namun, terdapat juga segelinitir orang yang menjadikan perkara itu sebagai mainan sehingga boleh menimbulkan ‘syubhah’ (ragu-ragu) dalam hal berkaitan akidah dan agama.
Baru-baru ini, satu hantaran telah dimuatnaik oleh seorang wanita Islam, dikenali sebagai Asiah Abd Jalil yang selalu memperlihatkan diri sebagai berfahaman liberal dan anti-poligami mengenai kepercayaanya bahawa orang bukan Islam juga akan masuk syurga.
Tulisnya …‘sebagai seorang Liberal, saya percaya syurga bukan hanya untuk orang Islam sahaja’. Orang Islam yang tak percaya sebagaimana kepercayaan saya, diorang boleh hantar semua orang kafir ke neraka. Terpulang…
Kenyataan yang tidak berasas itu telah disangkal dengan tegas oleh Pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kamilin Jamilin kerana ia melibatkan hal akidah umat Islam.
Beliau telah mengemukakan tiga persoalan berserta jawapan untuk sama-sama difahami masyarakat Islam khususnya.
1.Adakah orang kafir boleh masuk syurga?
Jelas beliau, tidak, kerana kafir itu bermaksud mereka yang ingkar dan menolak tauhid Islam setelah seruan sampai kepada mereka. Renungi tafsir surah al-Kafirun.
“Ini bukan kata peguam undang-undang atau manusia ciptaan, tapi kalam ALLAH, Tuhan pencipta syurga dan neraka. “Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam Neraka Jahanam, KEKAL mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk”. (Surah al-Bayyinah ayat 6)
“Nabi SAW sendiri juga pernah menegaskan “Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada dalam genggaman-NYA, tiada seorang pun yang telah mendengar tentang diriku daripada umat ini, baik dia Yahudi mahupun Nasrani, lalu dia mati sebelum beriman dengan risalahku, kecuali dia akan menjadi penghuni neraka”. (Hadis Riwayat Muslim)
Baca Juga Memberi salam kepada non-muslim, apakah hukumnya?
2. Adakah non-Muslim boleh masuk syurga?
“Boleh, kerana maksud non-Muslim itu lebih luas, termasuk kanak-kanak yang belum mukallaf dan mereka yang belum pernah mengetahui tentang Islam. Mereka ini boleh terselamat daripada azab akhirat dan boleh masuk syurga melalui rahmat dan keadilan ALLAH.
“Firman-NYA “Seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja) dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)” (Surah al-Isra’ ayat 15).
3. Orang kafir yang baik di dunia pun tak boleh masuk syurga?
“Akhlak yang baik sememangnya merupakan antara kriteria utama meraih syurga ALLAH. Namun penentu terasnya adalah iman dan tauhid, kerana akhlak itu ada dua jenis:
1. Akhlak dengan ALLAH.
2. Akhlak dengan makhluk.
“Petanda kita berakhlak dengan ALLAH adalah dengan memelihara rukun Iman, rukun Islam dan syariat perintah-NYA.
Baca Juga Kisah menantu dari syurga ini meruntun jiwa ramai
“Tidak sempurna akhlak orang yang hanya menjaga akhlak dengan makhluk, tapi mengabaikan akhlak dengan Tuhan yang telah mencipta kita, menganugerahkan akal, pancaindera dan segala macam nikmat kurniaan?
“Kita bukan ingin menjadi “pemegang kunci” syurga, cuma sekadar menyampaikan apa yang ALLAH dan Rasul-NYA telah jelaskan kepada kita.
“Hal syurga neraka dan perkara ghaib bukan urusan yang kita boleh cakap ikut suka kepala kita, tapi wajib berlandaskan wahyu dari Pencipta-NYA,” kongsi beliau menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadi miliknya.