Marketing haram – Konon ada diskaun jualan raya, tapi sebenarnya itu harga asal…
ISLAM sangat menggalakkan aktiviti perniagaan sehinggakan ia banyak termaktub di dalam ayat al-Quran dan hadis mengenai bab perniagaan ini.
Perniagaan juga dianggap sebagai punca rezeki yang paling banyak. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu hadis bermaksud: “9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” (Hadis Riwayat Tirmizi).
Bagi seorang peniaga, adab ketika berniaga semestinya inginkan keuntungan dan salah satu cara peniaga untuk menarik pembeli mereka adalah dengan menggunakan teknik ‘marketing’ atau pemasaran.
Secara umumnya, tujuan pemasaran adalah untuk memperkenalkan suatu perniagaan kepada masyarakat, melalui produk yang dibuat oleh perniagaan tersebut.
Maka di atas tujuan inilah, para peniaga melakukan aktiviti pemasaran untuk memperkenalkan produk atau barang jualan kepada masyarakat. Pemasaran juga dilakukan bagi melonjakkan hasil pendapatan daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan.
Islam menghalalkan segala urusan jual beli secara umumnya yang tidak berkait dengan riba. Firman ALLAH SWT: “Dan ALLAH telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (Surah al-Baqarah: 275)
Berdasarkan nas al-Quran di atas, hukum melakukan aktiviti marketing adalah harus berdasarkan kaedah fiqh: “Wasilah (medium untuk mencapai sesuatu tujuan)akan mengambil hukum maqasid (tujuan).
Namun hari ini, ada juga peniaga yang mengambil kesempatan atas teknik pemasaran ini. Tambahan pula di musim raya, ramai yang sanggup menggunakan taktik kotor ‘marketing’ semata kerana ingin lariskan jualan dan mengaut keuntungan lebih.
Seperti dikongsi oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dilihat ramai peniaga di luar sana terutama di musim perayaan ini menggunakan ‘marketing’ haram kononya harga asal barangan itu adalah harga diskaun.
Baca Juga Walaupun diisytihar bankrap, tetap wajib bayar zakat fitrah
Jelas PPIM, terdapat peniaga yang menggunakan taktik marketing acah-acah ada diskaun tapi sebenarnya adalah harga asal produk tersebut.
“Harga asal RM50. Bila raya dia naikkan harga jadi RM100. Lepas tu buat diskaun 50%, jadilah RM50 semula.
“Pembeli tertipu kononnya mereka dapat diskaun sedangkan itulah harga asal barang tersebut. Sebenarnya taktik perniagaan seperti ini diharamkan dalam Islam kerana tidak berlaku jujur dan menipu pembeli,” kongsi PPIM menerusi satu hantaran di laman media sosial Facebook sebagaimana dipetik hukumnya oleh Ustaz Azhar Idrus.
Kedudukan peniaga yang melakukan penipuan menurut Islam
Mufti Wilayah Persekutuan juga turut mengigatkan bahawa Islam sangat tegas dalam hal penipuan.
Jelas Mufti, hal ini boleh kita lihat dengan jelas bagaimana kemurkaan ALLAH hingga adanya sebuah surah khusus di dalam al-Quran yang mencela dan mencelakakan golongan melakukan penipuan.
Firman ALLAH SWT pada awal surah al-Mutaffifin ayat 1 “kecelakaan besar bagi orang-orang yang berlaku curang”.
Baca Juga Ketahui 4 perkara yang patut dielakkan ketika berniaga menurut Islam
“Kejujuran dalam perniagaan adalah satu perkara yang tinggi akhlaknya dalam Islam hingga disebutkan secara khusus kedudukan para peniaga di dalam syurga.
“Penipuan adalah satu perkara yang ditegah di sisi Islam dalam sebarang urusan khususnya perniagaan,” jelas Mufti di laman Irsyad Al-Fatwa Siri Ke 263: Hukum Menipu Untuk Tujuan Marketing.