Ratah seafood dan daging mentah, halal ke?
JIKA dahulu, ‘mukbang’ menjadi sesuatu yang aneh di mata masyarakat namun hari ini ‘content’ berkaitan makanan tersebut mendapat tontonan tinggi di media sosial.
Sebagai seorang Muslim kita tidak boleh mengikut sahaja semua trend, sebaliknya setiap satunya perlu diperhalusi mengikut landasan dan panduan agama.
Ini kerana Islam menuntut penganutnya bukan sekadar makan makanan daripada sumber halal, tetapi juga yang baik dan bersih.
Menurut syarak, makanan halal adalah suci dari segi zat, sumber yang bersih, tidak memudaratkan tubuh serta memberi manfaat kepada kesihatan dan akal fikiran.
Hal ini sebagaimana firman ALLAH SWT dalam al-Quran bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu,” (Surah al-Baqarah, ayat 168)
Seperti yang dikongsi oleh penceramah bebas dan selebriti agama, Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi), terdapat beberapa perbahasan yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada penganut agama Islam yang ingin turut sama mencuba trend-trend baharu yang muncul.
1. Makan makanan laut hidup
Haiwan laut halal dimakan secara umumnya kecuali yang memberi mudarat kepada manusia meskipun telah menjadi bangkai seperti yang difirmankan oleh ALLAH dalam al-Quran.
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut,” (Surah al-Maidah, ayat 96)
Hal tersebut juga disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya,” (Hadis Riwayat Ahmad)
Manakala makan makanan laut yang masih hidup seperti tiram, sotong kurita dan lain-lain adalah makruh.
Rasulullah SAW menyarankan umatnya supaya berlaku ihsan kepada semua perkara termasuk kepada binatang. Sekiranya haiwan tersebut memberi kemudaratan kepada mereka yang memakannya dalam keadaan hidup, maka haram untuk makan.
Baca Juga ‘Rare’ atau ‘medium well’, bolehkah umat Islam makan daging yang masih ada darah?
Sabda baginda bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya,” (Hadis Riwayat Muslim)
2. Makan daging mentah
Makan daging haiwan daratan perlulah memenuhi kriteria pertama haiwan yang halal dimakan dan yang kedua haiwan disembelih mengikut kaedah syarak.
Bagi penggemar daging, istilah stik mentah dan separa mentah menjadi pilihan utama bagi mendapatkan tekstur daging yang lembut dan lazat.
Baca Juga Makanan digigit kucing, boleh dimakan atau perlu dibuang?
Imam Nawawi yang merupakan tokoh terkenal dalam mazhab Syafi’i menyebutkan hukum makan daging mentah adalah harus. Pandangan ini juga disepakati oleh Mazhab Maliki dan Hambali. Sekalipun begitu, perkara ini juga perlu ditimbal balik dengan manfaat kesihatan.
Kebanyakan pakar perubatan juga menyarankan agar makanan mentah dimasak bagi mengelakkan keracunan makanan. Hal ini berikutan zat bagi daging mentah itu sendiri mengandungi bakteria seperti Ecoli, Listeria monocytogenes dan Campylobacter yang memudaratkan kesihatan seseorang.
Tuntasnya, menjamah haiwan laut secara hidup seperti sotong atau tiram adalah makruh selagi ia tidak memudaratkan kesihatan.
Bahkan sebaiknya, utamakan kebersihan dalam pemilihan makanan kerana haiwan yang telah dimasak dan dibersihkan adalah lebih terjamin kualitinya dan pilihlah makanan yang bukan sekadar halal tetapi juga bersih, suci dan memberi khasiat pada tubuh.