SABDA Nabi SAW, “Fitrah itu ada lima – atau lima perkara yang menjadi fitrah – adalah berkhatan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memotong misai.
Hadis berkenaan menjelaskan bahawa umat Islam perlu memotong atau mencukur tiga jenis bulu di badan, iaitu bulu kemaluan, bulu ketiak dan juga misai.
Apa sahaja kaedah boleh digunakan termasuk memotong, mencukur atau mencabut bulu-bulu tersebut. Bahkan bagi sesiapa yang ingin menggunakan teknik ‘waxing’ atau laser, itu juga dibolehkan.
Namun, diingatkan bulu yang makruh dipotong adalah janggut, manakala bulu kening pula haram dicabut.
Selain itu, bagi rambut halus lain seperti bulu dada, bulu betis, bulu paha, bulu hidung, bulu yang terdapat di lengan dan sebagainya, tidak ada arahan untuk memotong mahupun larangan menyimpannya. Justeru, boleh sahaja memotong bulu atau menyimpannya jika mahu.
Kerap mana perlu bercukur?
Berbalik kepada tiga jenis bulu yang perlu dipotong, sekerap manakah ia harus dilakukan?
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Ditetapkan waktu buat kami pada memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencabut bulu kemaluan, agar kami tidak membiarkannya lebih dari empat puluh malam.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hadis di atas menjadi panduan buat umat Islam agar memotong bulu yang telah disebutkan, dan tidak membiarkannya melebihi 40 hari. Manakala pihak Mufti Wilayah Persekutuan menyebutkan hukumnya makruh jika membiarkan bulu kemaluan dan bulu ketiak dalam tempoh masa yang terlalu lama melebihi 40 hari.
Bulu-bulu tersebut mestilah dipotong apabila telah panjang dan terdapat keperluan melakukannya. Hal ini kerana, kebersihan dan penjagaan diri sangat dituntut dalam kehidupan seorang Muslim.
Haram potong bulu dalam keadaan ini
Dalam hal ini, yang dimaksudkan adalah bulu kemaluan yang berada di kawasan aurat.
Oleh itu, hukumnya haram bagi seorang perempuan mencukur bulu kemaluannya di depan perempuan lain dan haram juga bagi lelaki bercukur di depan perempuan lain.
Manakala, baik lelaki mahupun perempuan dilarang membenarkan orang lain untuk mencukur kemaluannya.