‘Live’ jual barang kemas… teliti dahulu syarat sebelum beli, elak jatuh hukum haram
“MARI kakak adik, kita secara ‘live’ emas murah-murah… siapa cepat komen di bawah dia dapat…
Buka sahaja laman media sosial terutama aplikasi TikTok, itulah antara kata-kata dari penjual emas online untuk menarik minat pelanggannya ketika sesi siaran langsung diadakan.
Sebagai penonton, pasti kita akan tergoda melihat barang yang ditunjukkan sehingga akhirnya terbeli kerana harga ditawarkan ibarat durian runtuh berbanding kedai lain.
Proses transaksi jual beli juga mudah dilakukan kerana segalanya dilakukan secara dalam talian tanpa perlu bersesak-sesak ke kedai, pada masa sama menjimatkan masa dan tenaga.
Namun, adakah kaedah jual beli emas ini sah di sisi syariat dan muamalat Islam kerana pembeli sendiri tidak memegang atau menyentuh barang yang dibeli meskipun telah dimaklumkan tentang harga dan berat produk.
Malahan, pembeli perlu membayar harga penuh sebelum menerima barang yang dihantar melalui kaedah pengeposan.
Memandangkan ramai yang ragu-ragu dengan urusniaga seperti ini, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus tampil memberi penjelasan.
Menurut beliau, pada asalnya hukum jual beli emas secara online adalah haram.
“Asalnya haram… jual beli emas ini mesti tunai yang bermaksud kita bayar tunai dan hari itu juga diserahkan emas.
“Walau bagaimanapun, ulama moden atau mutaakhirin memberi keringanan yang mana terdapat kelonggaran secara hantar duit dan barang yang dibeli.
Tegas beliau, setiap pembelian yang dilakukan itu perlu berlandaskan tiga syarat.
1. Barang kemas yang diingini bukan dibeli dengan emas tetapi duit
2. Penjual boleh menghantar barang kemas yang dibeli pelanggannya pada bila-bila masa dikehendaki
3. Harga hendaklah seperti yang dipersetujui pembeli dan berat emas yang dinyatakan tidak ada kekurangan walaupun sedikit.
“Jika terdapat keraguan pada tiga syarat yang dinyatakan itu, maka jual beli yang dilakukan adalah tidak sah,” katanya.
BACA JUGA Solat tidak jejaskan urusan, prestasi seseorang – Mufti Pulau Pinang
Syarat jual beli emas atas talian
Memetik kenyataan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas, dan membuat keputusan, antara lain seperti berikut:
“Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:
1. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
2. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.”
Justeru, apabila emas tersebut sudah didepositkan ke dalam akaun pembeli dan direkodkan di dalam sistem dan resit, yang mana pembeli boleh bila-bila masa, mengeluarkan emas tersebut dengan kuantiti berdasarkan dalam majlis akad atau kontrak, maka penyerahan sudah dianggap sempurna.
Maka SAH akad jual beli emas secara atas talian jika meraikan syarat ini.