Melahirkan di dunia, berpantang di syurga. Kisah ibu lahirkan anak dalam runtuhan bangunan meruntun jiwa
TULAR sejak semalam apabila satu video yang dikongsi oleh warganet menunjukkan seorang lelaki tempatan Turkiye mendukung bayi yang baru sahaja dilahirkan di celah-celah runtuhan bangunan.
Video tersebut dikongsi oleh seorang pempengaruh media sosial, Farah Lee.
Dilaporkan bayi tersebut selamat dan kini dirawat di hospital Turkiye. Bagaimanapun ibunya dilaporkan telah meninggal dunia.
Selepas mencatat lebih 7,000 kematian, Turkiye kini berkabung tujuh hari bagi menguruskan segala operasi mencari dan menyelamat.
Ganjaran hebat
Islam begitu memuliakan dan memandang tinggi kepada wanita hamil kerana pengorbanannya yang tidak ternilai. Antaranya terpaksa berdepan dengan pelbagai kesusahan saat awal kehamilan dan kesakitan sehingga melahirkan.
Ketika proses melahirkan pula, ia ibarat antara hidup dan mati seorang ibu. Ada yang tidak sempat menatap muka malaikat kecilnya selepas dilahirkan kerana takdir ajal seorang ibu telah tiba.
Memetik perkongsian Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menyatakan bahawa ibu yang meninggal dunia ketika melahirkan akan diberi ganjaran hebat di syurga kelak.
BACA JUGA Istana bersejarah Gaziantep berusia lebih 2000 tahun musnah akibat gegaran
Rasulullah menjelaskan bahawa wanita yang meninggal disebabkan melahirkan anak boleh dianggap sebagai mati syahid iaitu kategori syahid akhirat.
Sabda baginda SAW: ”Orang yang mati syahid dalam kalangan umatku hanyalah sedikit. (Mereka ialah) orang yang mati berjihad di jalan ALLAH lalu mereka memperoleh syahid, orang yang mati kerana taun, dia dianggap syahid. Orang yang mati tenggelam turut mendapat syahid. Orang yang mati kerana sakit perut turut dikira syahid. Dan wanita yang mati kerana nifas, dia akan ditarik oleh anaknya menuju syurga dengan tali pusarnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Dalam pada itu, beliau turut memperbetulkan tanggapan segelintir pihak yang menganggap bahawa wanita bersalin akan bersih daripada dosa seperti bayi yang baru dilahirkan.
“Walaupun terdapat sebuah hadis yang memerihalkan tentang pahala besar di sisi ALLAH kepada wanita mengandung dan bersalin, beliau menjelaskan, sebahagian ulama menyatakan bahawa ia adalah hadis daif, malah ada yang menghukumkannya sebagai palsu.
BACA JUGA Solat hajat, jenazah ghaib untuk mangsa gempa Turkiye dan Syria bermula Maghrib malam ini
“Oleh yang demikian, lebih baik andai kita menggunakan Hadis Sahih al-Bukhari yang menyatakan bahawa setiap kesukaran dan keperitan yang dilalui oleh seorang Muslim akan menghapuskan dosa-dosa kecilnya.
”Dosa-dosa yang dimaksudkan di sini adalah dosa kecil kerana perlakuan yang melibatkan dosa besar perlu kepada taubat dan penyesalan kepada ALLAH SWT,” jelasnya.