Dua bekas transgender berpeluang menjadi tetamu ALLAH
MENJADI tetamu ALLAH di tanah suci pasti menjadi impian sesiapa sahaja, khususnya yang bergelar umat Islam pasti akan berusaha dan menanam azam untuk mengerjakan haji mahupun umrah walaupun hanya sekali dalam hidup.
Memetik laman berita Al-Hijrah Online, tular baru-baru ini, apabila dua lelaki yang merupakan bekas transgender diberi rezeki dan peluang untuk menjadi tetamu ALLAH SWT ke tanah suci bagi menunaikan ibadah umrah.
Perjalanan kedua-dua lelaki itu menjadi dhuyufurrahman ditaja oleh Jabatan Psikiatri Kuliah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan bersama Persatuan Insaf Pahang.
Menurut hantaran di facebook Kuliah Perubatan UIAM Kuantan, salah seorang daripada mereka telah berkahwin dan dikurniakan dua orang anak sejak 2016.
“Kini lelaki itu memiliki perniagaan menjual nasi lemak di Kuantan dan seorang lagi berniaga menjual roti canai.
“Mereka berdua telah memulakan hidup baru. Kami doakan perjalanan mereka ke sana selamat.
“Semoga ALLAH SWT mengurniakan mereka umrah yang mabrur dan membantu mereka menjadi ikon buat rakan sekerja,” kata hantaran tersebut.
Tanda taubat diterima
Berdasarkan kisah di atas, cerita silam seseorang bukanlah penghalang kepada dirinya untuk kembali ke pangkal jalan dan mengenal Sang Pencipta. Sebagai manusia, janganlah mudah menghukum dari mata kasar sahaja kerana DIA yang berhak menentukan segalanya.
BACA JUGA Hebatnya lelaki dukung bapa tunai umrah ibarat kisah Uwais al-Qarni
Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah RA, Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya ALLAH SWT menerima taubatnya“. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Seperti yang diterbitkan oleh Jabatan kemajuan Islam Malaysia, tanda seseorang itu insaf dan menyesali segala dosa dan kesilapannya adalah dia sentiasa istiqamah dan berterusan dalam memohon taubat kepada ALLAH SWT sepanjang hayatnya dan berusaha memperbaiki amal ibadahnya ke arah yang sentiasa lebih baik sehingga pulang bertemu ALLAH SWT.
Di antara tanda-tanda taubat seseorang itu diterima ialah:
1. Jika dia sudah dapat mengawal lidahnya daripada berkata dusta, ghibah dan kata-kata yang tidak penting baginya.
2. Jika sudah tidak ada rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia.
3. Memutuskan hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.
4. Menghentikan semua jenis maksiat dan rajin melakukan ibadat.
5. Hilang rasa bersenang-senangan dengan dunia dalam hatinya, dan selalu mengingati kesusahan hari akhirat.
6. Percaya dan yakin dengan jaminan ALLAH SWT dalam soal rezeki, lalu dia menyibukkan dirinya dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh ALLAH SWT.
7. Sentiasa bersiap sedia menghadapi mati dan selalu beristighfar menyesali dosa-dosanya yang lalu serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah. (Lihat Tanbih al-Ghafilin)
BACA JUGA Ketahui kelebihan amalan tawaf di hadapan Baitullah ketika musim umrah atau haji