Hebatnya lelaki dukung bapa tunai umrah ibarat kisah Uwais al-Qarni
SABAN tahun umat Islam menunaikan ibadah umrah serta berziarah ke Mekah dan Madinah.
Tular minggu ini, apabila seorang lelaki menggendong bapa yang sudah tua di belakangnya untuk bersama-sama menyempurnakan ibadah di tanah suci.
Kisah ini sama seperti Uwais Al-Qarni, seorang pemuda yang telah mendukung ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya bagi memenuhi hasrat ibunya untuk mengerjakan haji.
Jasa bakti Uwais bukan sekadar itu, bahkan dia mengutamakan ibunya dalam segala hal sehingga namanya sangat terkenal dalam kalangan penduduk langit. Dari kisah ini membuktikan bahawa sungguh besar ganjaran kepada seseorang yang menjaga dan berbakti kepada kedua orang tuanya.
Amalan mulia Uwais terhadap ibunya menjadi sebab terkuat doanya mustajab di sisi ALLAH, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Uwais mempunyai seorang ibu yang sering dia lakukan kebaikan buat ibunya. Sekiranya dia berdoa, pasti ALLAH menerima doa Uwais.
Berbuat ihsan kepada ibu bapa adalah perintah ALLAH SWT kepada setiap insan yang bergelar anak. Malah, keredaan YANG MAHA ESA juga terletak pada keredaan kedua orang tuanya.
Firman ALLAH yang bermaksud : “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-NYA semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan kamu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun),” (Surah al-Isra ayat 23)
Apakah ibumu masih hidup?
Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, berkongsi di laman media sosial beliau mengenai satu kisah menarik berhubung adab dengan ibu bapa yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Seorang lelaki telah datang bertemu dengan Saidina Abdullah ibn Abbas mengadu tentang dosanya. Lelaki itu berkata: “aku telah melakukan dosa besar, apakah masih ada ruang untuk aku bertaubat?“
Reaksi Abdullah ibn Abbas sangat menarik. Soalan pertama yang ditanyakan kepada lelaki yang telah melakukan dosa besar itu ialah: “Apakah ibumu masih lagi hidup?” Lelaki tersebut menjawab: Tidak. Lalu Abdullah ibn Abbas berkata: Bertaubatlah kepada ALLAH dan bertakwalah kepada-NYA.
Setelah lelaki tersebut pulang, anak murid Abdullah ibn Abbas yang ada bersamanya tadi lantas bertanya: Mengapa engkau bertanyakan tentang ibunya sedangkan dia mengadukan kepadamu tentang dosanya? Abdullah ibn Abbas lantas menjawab:
“Tidak ada amalan yang paling dekat dengan ALLAH melainkan melakukan kebaikan terhadap ibu.”
Begitu tinggi pahala berbuat baik kepada ibu sehingga Abdullah ibn Abbas melihatnya sebagai boleh menghapuskan dosa besar. Malah al-Imam Ahmad pernah berkata: Berbuat baik kepada ibu bapa (menghasilkan pahala) yang boleh menghapuskan dosa besar,” (al-Adab al-Syariyyah Ibn Muflih).
Bahkan perlakuan baik Uwais al Qarni terhadap ibunya lah antara sebab yang menjadikan doanya mustajab. Sabda Rasulullah: “Uwais mempunyai seorang ibu yang sering dia lakukan kebaikan buat ibunya. Sekiranya dia berdoa, pasti ALLAH menerima doa Uwais.”
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus