Nama Muhammad adalah nama paling banyak digunakan di seluruh dunia
RASULULLAH SAW dinamakan Muhammad oleh datuknya sendiri kerana mengharapkan baginda SAW akan dipuji oleh ALLAH SWT di langit dan juga dipuji oleh makhluk di bumi.
Laman Irsyad Al-Hadith Siri Ke-491: Kenapa Rasulullah Saw Dinamakan Muhammad, menjelaskan sesungguhnya ALLAH SWT telah menyebutkan di dalam al-Quran dua nama daripada nama-nama Nabi SAW iaitu Ahmad dan Muhammad.
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani pernah berkata, seolah-olah ia merupakan isyarat bahawa kedua-dua nama ini adalah yang paling masyhur antara nama-namanya yang lain dan nama Muhammad adalah yang paling masyhur antara kedua-dua nama ini.
Imam Ibn ‘Asakir pula merakamkan di dalam kitabnya daripada riwayat Ibn ‘Abbas RA bahawa: Apabila Nabi SAW dilahirkan, Abd al-Muttalib telah melakukan akikah ke atas Baginda dengan menyembelih kibasy dan menamakannya Muhammad. Ditanyakan kepadanya : “Wahai Abu al-Harith apakah yang menyebabkan engkau memberinya nama Muhammad dan bukan dengan nama nenek moyangnya?” Jawabnya : “Aku ingin agar ALLAH SWT memujinya di langit dan juga manusia memujinya di bumi.” (Lihat Tarikh Dimashq, 3/32)
Persoalan yang sering menjadi perhatian masyarakat Islam khususnya, adakah wajib bagi seseorang itu meletakkan nama Muhammad dan Nur pada setiap anak yang bakal dilahirkan.
Menjelaskan perkara tersebut, pendakwah, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany mengatakan tidak wajib dan hanya SUNAT kita berbuat demikian kerana mengharapkan barakah dengan meletakkan nama pertama anak dengan nama Rasululllah SAW (MUHAMMAD) atau gelaran baginda (NUR).
Bagaimana mungkin dikatakan wajib sedangkan dalam hadis Rasulullah SAW sendiri bersabda: “Sebaik-baik nama ialah ABDULLAH kemudian ABD RAHMAN.”
Jelas sekali pada kedua-dua nama ini tidak ada perkataan MUHAMMAD mahupun NUR.
Berikut tertib nama yang terbaik mengikut para ulama:
1- Nama yang disandarkan kepada ALLAH seperti Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Hakim dan sebagainya.
2- Nama yang berhubung kait dengan nama Rasulullah SAW atau sifat baginda seperti Muhammad, Ahmad, Nur, Mustofa dan sebagainya.
3- Nama-nama orang soleh seperti nama Nabi dan Rasul serta para sahabat.
Nama Muhammad ke-dua popular di Belanda
Muhammad menjadi nama kedua paling popular yang menjadi pilihan ibu bapa untuk bayi lelaki di Belanda pada 2022, lapor Agensi Anadolu.
Menurut data terkini Dutch Social Insurance Bank (SVB) pada Khamis, Noah pula nama paling popular di negara berkenaan dengan seramai 871 bayi manakala Emma pula menjadi pilihan untuk bayi perempuan seramai 677.
BACA JUGA Bolehkah menjual hadiah yang diterima? Ini penjelasannya
Menggabungkan pelbagai ejaan nama itu, Muhammad mendapat tempat kedua antara nama yang diberikan untuk bayi lelaki, iaitu seramai 671 orang.
Menurut BabyCentre, iaitu sebuah syarikat media dalam talian yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat, nama Muhammad mendahului nama-nama lain dalam top 100 nama popular pilihan ibu bapa bagi bayi lelaki.
Rekod ini kekal untuk dua tahun berturut-turut sejak tahun 2019.