SABDA Nabi SAW, “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Begitu hebatnya nilai setiap ayat yang terbit dari kalam ALLAH yakni al-Quran. Jika membaca satu huruf pun akan diganjarkan sepuluh kebaikan, bayangkan betapa banyak amal baik yang kita peroleh sekiranya habis kitab suci itu dibaca.
Selain itu, ada pula anjuran untuk membaca ayat dan surah tertentu pada waktu yang lebih khusus seperti surah al-Kahfi setibanya hari Jumaat atau surah al-Mulk ketika malam hari.
Baca juga 6 waktu dianjurkan baca Surah al-Ikhlas
Turut disyorkan 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran
Bacalah walau semuka sehari
Walau apa pun surah yang dibaca, jangan biarkan hari anda berlalu tanpa menyelak kalamullah tersebut.
Tidak kira di mana anda berada, baik sedang menunggu lampu isyarat mahupun terperangkap dalam kesesatan jalanraya, ambillah peluang membaca sekurang-kurangnya satu muka surat al-Quran sehari.
Namun, jika tetap tidak berkesempatan, membaca dua ayat terakhir surah al-Baqarah pada setiap malam juga sudah memadai.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah SAW berkata orang yang membaca dua ayat ini pada malam hari, maka ia sudah mencukupi. Tetapi, apa yang dimaksudkan dengan ‘cukup’ di sini?
Fadilat membaca dua ayat terakhir surah al-Baqarah
Memetik portal Rumaysho, sebahagian ulama berpendapat kata ‘cukup’ itu bermaksud ayat berkenaan dapat menggantikan solat malam.
Manakala, ada ulama menyatakan makna cukup adalah dijauhkan daripada gangguan syaitan dan segala macam penyakit. (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 6:83-84)
Prof Dr Musthafa al-Bugha, ahli Fiqh Syafie menerusi Kitab Nuzhah Al-Muttaqin pula menyebutkan bahawa ada juga ulama menyatakan maksud cukup adalah pengganti kepada pelbagai zikir kerana dalam ayat surah Al-Baqarah ini sudah ada doa untuk meminta kebaikan di dunia dan akhirat.
Hakikatnya sudah ada pelbagai cara dibentangkan kepada kita untuk beramal dengan Al-Quran. Walau sibuk mana sekalipun kita, jangan lupa juga mengisi malam hari dengan amalan mudah ini.
Foto: Pexels & Unsplash
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus