KISAH mengenai anjing milik pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang sama-sama ditidurkan selama ratusan tahun telah dirakamkan di dalam al-Quran menerusi firman ALLAH SWT: “Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan KAMI balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri, sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka. (Surah al-Kahfi ayat 18)
Melalui artikel maktabahalbakri, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi mengenai beberapa nama dan warna anjing dalam kisah yang sangat terkenal iaitu ashab al-Kahfi.
Menurutnya, Ibn Abbas RA menyebutkan bahawa ia adalah seekor anjing yang berwarna kelabu terang. Diriwayatkan mengenainya bahawa ia lebih besar daripada anjing jenis baka poodle dan lebih kecil daripada anjing jenis baka Kangal Kurdish.
Terdapat beberapa pendapat mengenai warna anjing ini. Di antaranya ialah: Ibn Abbas menyebutkan bahawa warnanya ialah kelabu terang. Dikatakan juga bahawa Ibn Abbas berpendapat warnanya ialah merah terang.
Manakala menurut Muqatil pula bulunya berwarna kekuningan. Al-Qurtubi menambah lagi dengan menyatakan, warna kuningnya kemerah-merahan.
Al-Kalbi menyebutkan, warnanya antara merah dan kuning. Dikatanya juga warnanya seperti warna langit (kemungkinan putih kebiru-biruan atau kelabu kehitaman seperti langit mendung).
Dikatakan juga warnanya seperti warna batu (kemungkinan hitam). Dikatakan juga warnanya putih kehitam-hitaman serta kemerahan. Adapun namanya pula, para ulama berbeza pendapat mengenainya.
Di antaranya ialah:
1. Menurut Ibn Abbas RA, namanya ialah Qitmir.
2. Manakala Ali RA berpendapat, namanya ialah Rayyan.
3. Al-Auza‘i pula berpendapat namanya ialah Yathur. Disebutkan juga bahawa al-Auza‘i berpendapat namanya ialah Musyir.
4. Al-Suddi pula berpendapat namanya ialah Yur. Disebutkan juga bahawa al-Suddi berpendapat nama anjing itu ialah Tun.
5. Ka‘ab pula berpendapat namanya ialah Sahban. Disebutkan juga bahawa juga bahawa Ka‘ab berpendapat namanya ialah Sabhan.
6. Sa‘id al-Hammal berpendapat namanya ialah Harr.
7. Abdullah bin Kathir menyebutkan nama anjing mereka yakni ashab al-Kahfi ialah Qatmur.
8. Abdullah bin Salam menyebutkan bahawa namanya ialah Basit.
9. Wahb pula berpendapat namanya ialah Naqiyya.
10. Dikatakan juga namanya ialah Qatfir. Selain itu, ada juga yang berpendapat namanya ialah Qutaifir.
Khilaf ulama mengenai nama dan kisah anjing ini
Jelas Dr Zulkifli lagi, mengenai hal ini Ibn Kathir ada menjelaskan bahawa ramai tukang-tukang cerita dan ahli-ahli tafsir menyebutkan tentang anjing ini dengan berita dan cerita yang panjang lebar.
“Kebanyakkannya diambil daripada kisah Israiliyyat. Banyak daripadanya adalah palsu dan tidak ada apa-apa faedah seperti khilaf mereka mengenai nama dan warna anjing tersebut.
“Justeru, jelaslah di sini bahawa terdapat dua pendapat dalam berinteraksi dengan kisah anjing ashab al-Kahfi. Sebahagian dalam kalangan mereka membahaskannya dengan kupasan yang terperinci manakala sebahagiannya lagi hanya berhenti kepada apa yang disebutkan dalam al-Quran semata-mata.
“Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti ada menyebutkan bahawa pandangan-pandangan yang disebutkan oleh para ahli tafsir berkenaan nama anjing Ashab al-Kahfi seperti sebahagian mereka berpendapat namanya ialah Qitmir.
“Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat namanya ialah Humran dan lain-lain. Dalam al-Quran, terdapat banyak perkara yang tidak diperincikan oleh ALLAH SWT kepada kita.
Justeru, perbahasan mengenainya tidak perlu dipanjangkan dan ia tidak memberi apa-apa faedah,” ungkap beliau di laman berkenaan.
Adakah Qitmir Akan Berada di Syurga?
Sebuah riwayat daripada Abu Hurairah RA bahawa beliau berkata: Maksudnya: Sesungguhnya ALLAH akan menghimpunkan makhluk kesemuanya (pada hari akhirat kelak). (Iaitu) setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu ALLAH berkata kepada haiwan-haiwan dan juga burung: ‘’Jadilah kamu tanah.’’
Ini menunjukkan bahawa haiwan-haiwan di dunia kelak akan menjadi tanah di Hari Akhirat.
Berhubung Qitmir, Dr Zulkifli menjelaskan tiada hadis sahih yang menyatakan Qitmir itu adalah anjing yang berada di dalam syurga.
Pada masa yang sama, sebarang kenyataan berhubung alam ghaib wajib disertai dengan hujah yang sahih bagi menyokongnya. Apa yang dijelaskan dalam athar di atas, segala haiwan akan menjadi tanah pada hari kiamat.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus