MENGHAMPIRI penghujung tahun musim tengkujuh pun tiba. Seperti kebiasaannya, hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari menyebabkan paras air di beberapa sungai utama di seluruh negara terus meningkat mengakibatkan banjir melanda.
Ustazah Asma’ Harun di laman Facebooknya berkongsi beberapa doa yang boleh diamalkan oleh Muslimin sebagai satu cara berkomunikasi dan pada masa sama memohon pertolongan ALLAH SWT.
Berikut merupakan beberapa doa khusus di musim banjir:
1) Doa Ketika Hujan
Daripada Aisyah RA berkata, ada pun Rasulullah SAW ketika melihat hujan, baginda berdoa:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Maksudnya: “Ya ALLAH, KAU jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat.” (Hadis Riwayat Bukhari)
2) Doa Untuk Alihkan Hujan
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Maksudnya: “Ya ALLAH! (Kami bermohon agar hujan hanya) mengelilingi kami dan bukannya menimpa ke atas kami. Ya ALLAH! (Alihkan ia) ke atas tempat-tempat tinggi, gunung ganang dan bukit bukau, perut-perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.” (Hadis Riwayat Bukhari)
3) Doa Memohon Pertolongan Daripada ALLAH SWT
Daripada Anas bin Malik, dia berkata, “Nabi Muhammad SAW ketika mendapat masalah yang berat, beliau membaca:
يَا حَىُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ
Maksudnya: ”Wahai RABB YANG MAHA HIDUP, wahai RABB YANG BERDIRI SENDIRI dan tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat-MU aku minta pertolongan).” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
4) Doa Saat Kesulitan
Ibnu Abbas RA berkata, ketika Rasulullah SAW mengalami kesulitan baginda membaca doa:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Maksudnya: “Tiada sembahan yang hak selain ALLAH Yang Maha Agung dan Maha Penyantun. Tiada Tuhan selain ALLAH, Tuhan Penguasa arasy yang agung. Tiada sembahan yang hak selain ALLAH, Tuhan langit dan bumi serta Tuhan arasy yang mulia.” (Hadis Riwayat Muslim)
5) Doa Mohon Banjir Tidak Berlarutan
Firman ALLAH Taala:
يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ
Maksudnya: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. (Surah Hud ayat 44)
Mudah-mudahan, setiap ujian dan musibah ini menjadi salah satu asbab ALLAH SWT menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu.
Dari Abu Sa’id Al Khudri dan dari Abu Hurairah dari Nabi SAW bersabda “Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan keletihan, kekhuatiran dan kesedihan, dan tidak juga gangguan dan kesusahan bahkan duri yang melukainya melainkan ALLAH akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Baca juga Fiqh banjir bantu lerai kemusykilan ibadah ketika bah
SUMBER FACEBOOK : Ustazah Asma’ Harun