SUAMI mengaku bujang, nampak hanya sebagai gurauan namun usah memandang enteng perkara ini kerana tanpa sedar ia sebenarnya melibatkan hukum hakam dalam agama Islam.
Terutama perkara yang melibatkan perkahwinan kerana ia merupakan sunah Rasulullah SAW yang dianjurkan berdasarkan nas al-Quran dan hadis.
Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya daripada orang beriman yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan yang paling mesra melayan ahli keluarganya” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Perkahwinan merupakan satu amanah dan tanggungjawab, oleh itu sebagai suami terutamanya, pelajarilah setiap segenap ilmu agama yang merupakan kunci kepada sesebuah keluarga agar setiap tindakan yang dilakukan dipandu oleh ALLAH SWT.
Berbalik kepada apa yang diutarakan oleh seorang isteri, mengenai orang lelaki atau suami gemar bergurau senda dengan mengaku bujang padahal statusnya sudah berkahwin sehingga menimbulkan persoalan adakah jatuh talaknya.
Menerusi podcast Refleksi di Suria, Pengurus Unit Syariah dan Penerangan Khas PPZ – MAIWP, Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman berkongsi mengenai hukum sebenar apabila seorang suami mengaku bujang atau duda dan bagaimana status isteri tersebut.
Husni menjelaskan perlu faham konsep yang paling utama, meskipun bergurau namun ia disifatkan sebagai kata-kata berbentuk dusta. Nabi SAW bersabda “Sesunguhnya seseorang hamba itu tatkala dia mengucapkan satu kalimah yang tidak difikirkan kesannya akan menyebabkan dia terperosok dalam neraka sejauh lamanya jarak antara timur dan barat” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baca juga Suami dayus benarkan isteri bersalin dengan doktor lelaki? Fahami hukum sebenar
“Ada satu lagi Nabi berpesan “Mahukah kamu aku sampaikan apakah dosa besar paling utama, itulah ucapan paling dusta dalam riwayat yang lain pensaksian dusta”.
“Berdasarkan hadis di atas, apabila seorang suami sengaja dan bergurau mengaku bujang maka hukumnya jatuh kepada dusta atau penipuan,” katanya.
Status seorang isteri
Ujar Husni lagi, jika sudah mempunyai isteri adakah jatuh talak atau tidak, para fuqaha dan ulama menyebut perkara ini dalam kitab, apabila ditanya kepada seorang lelaki apakah anda mempunyai isteri? Maka dia menjawab tidak ataupun dia bergurau mengatakan saya bujang maka yang pertama harus dilihat daripada niat percakapannya itu.
Baca juga Berhijrah tetapi gambar tidak menutup aurat masih tersebar
“Kerana dalam hukum talak, kalimah sebegini adalah merupakan kiasan bersifat kinayah iaitu tidak jelas ataupun samar-samar. Memerlukan kepada penjelasan yang jelas, jika suami meniatkan talak maka ketika itu boleh dihukumkan jatuh talak akan tetapi hukum ini perlu dirujuk kepada hakim mahkamah syariah”
“Kedua, jika suami tersebut tidak berniat talak dan hanya bermaksud guraun maka talak tidak berlaku dan tidaklah berlaku perceraian dengan dia mengatakan bujang secara gurauan”
“Meskipun tidak jatuh talak, namun guraun ini janganlah dipandang ringan kerana ia dikaitkan dengan berdusta,” ungkapnya.
Husni menasihatkan terutama kepada ketua keluarga atau suami di luar sana, bergurau senda ini ada batas dan hadnya terutama soal keluarga, isteri dan perkahwinan.
“ALLAH izinkan untuk berpoligami, maka perkara itu janganlah dijadikan gurauan kerana perkahwinan itu merupakan tanda kebesaran daripada ALLAH SWT”
“Hentikanlah gurauan sebegini kerana apabila isteri mendengarnya, pasti terasa hati. Seolah-olah kewujudannya selama ini dinafikan sedangkan dia sudah berkongsi hidup dengan kita sejak sekian lama,” katanya.
SUMBER FOTO: PEXELS