MAJLIS Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62 telah melabuhkan tirai dengan jayanya selepas berlangsung selama enam hari dari Kuala Lumpur Convention Center (KLCC).
Apa yang lebih mengujakan pada program kali ini apabila peserta Malaysia, Sofizah Mousin diumumkan sebagai johan bahagian qariah dengan memperoleh markah 89.66% sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai dan piala.
Bahagian qari pula dimenangi oleh Mohamed Sameer Mohamed Magahed dari Bahrain dengan keputusan markah tertinggi iaitu 93.33% manakala tempat kedua dinobat kepada Aiman Ridhwan Mohamad yang mewakili Malaysia (88.83%) dan seterusnya Muhammad Rizqon dari negara jiran, Indonesia (88.34%).
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Penutup dan Pengurniaan Hadiah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa.
Johan qariah berlatih dalam kereta
Meskipun terpaksa melakukan latihan suara sambil memandu berikutan kekangan masa, ia tidak menghalang Sofizah Mousin muncul johan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan antarabangsa, malam tadi.
Sofizah, 33, dari Selangor berkata “Biasanya saya buat latihan dalam kereta, semasa memandu. Saya memang akan buat latihan suara sendiri setiap hari”.
Apabila ditanya akan tips dalam taranum ni, Sofizah memberitahu, “Cintai al-Quran, sentiasa jadikan al-Quran itu sebagai kitab panduan utama. Percaya bahawa setiap huruf yang kita baca itu, ALLAH kurniakan pahala. ALLAH juga akan kurniakan ketenangan dalam kehidupan“
Walapun bergelar guru geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor namun kecintaan pada al-Quran ini menebal sejak di usia remaja lagi.
Sejak sekolah menengah, beliau mempelajari taranum dalam kelas kemahiran al-Quran. Keluarganya juga turut memberi dorongan yang kuat kepada Sofizah untuk terus belajar.
Baca juga Solat jamak ketika banjir, adakah dibolehkan? Berikut perinciannya.
Baca juga Tok Selehor, ulama sufi yang kental jiwa Melayu
Selain latihan insentif kendiri di dalam kenderaan, Sofizah juga berguru dengan Ustaz Anwar Ghazali dan Ustaz Yahya Haji Daud. Kedua-duanya sering menjadi tempat rujukan buat qari dan qariah daripada seluruh negara dalam permasalahan berkaitan susunan lagu dan harakat musabaqah tilawah al-Quran.
FOTO : JAKIM