RESAM rumah tangga sememangnya tidak selalunya tenang. Ada ketikanya pasangan diulit bahagia, namun adakalanya dilanda gelora juga.
Percayalah setiap apa yang berlaku itu akan mematangkan diri. Masakan tidak, pengalaman berupaya mendewasakan kita.
Dari situ kita sebenarnya kenal dengan lebih dekat siapa pasangan kita, apa kesukaannya dan perkara yang dibencinya. Begitupun, sepertimana kehidupan, iman juga ada pasang surutnya.
Kadang-kadang tindak-tanduk yang dilakukan mengguris perasaan pasangan tanpa disedari. Lama-kelamaan rasa kasih dan sayang yang bersemayam dalam diri terhakis sedikit demi sedikit.
Perkara itu tidak bagus untuk kehidupan suami isteri kerana boleh mengakibatkan hubungan mereka semakin dingin dan berantakan.
Menerusi laman sosial Facebook miliknya, peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah yang biasa mengendalikan kes-kes perceraian berkongsikan tiga perkara yang dianggap remeh, tetapi boleh merosakkan rumah tangga.
Perinciannya seperti berikut:
1. Sentiasa menghadap telefon bimbit, gajet, iPad dan game.
Barangkali ramai tidak sedar gajet sebenarnya boleh menyebabkan ketagihan. Lebih-lebih lagi mereka yang suka menonton video menerusi telefon pintar masing-masing.
Baca juga Perkasakan peranan ibu bapa, usah biarkan gajet kuasai anak-anak
Selepas habis satu video, terus tonton lagi satu dan semakin bertambah. Memang ‘melekat’ mata dengan telefon sampai mengabaikan insan di sekeliling.
2. Tidak menjaga waktu solat.
Ia suatu perkara yang tidak patut berlaku kepada umat Islam kerana ia merupakan tiang agama. Ya, memang bagus tunaikan solat pada awal waktu kerana melatih diri berdisiplin, selain menzahirkan kebergantungan kita kepada Sang Khalik.
Andai kita mahu cepat, segerakanlah buat perkara yang disukai oleh ALLAH SWT supaya DIA juga sentiasa memelihara hidup kita.
Cuba perhatikan jika hidup keluarga kita porak-peranda, barangkali ada perkaitannya dengan sikap lalai dalam solat, sudah lama tidak menyentuh apalagi membaca al-Quran, kurang mendengar tazkirah dan mengadakan sesi taklim dalam keluarga dan seumpamanya.
Baca juga ‘Masa yang berkat hanya datang bila mendirikan solat lima waktu’
Dalam hal ini, suami selaku ketua keluarga perlu memastikan seluruh ahlinya dekat dengan ALLAH SWT. Ketahuilah, hati yang sering kali mengingati Tuhan adalah jiwa yang lembut dan lunak. Kalbu yang jauh daripada-NYA akan selalu keras, degil dan memberontak.
3. Tidak menjaga waktu tidur.
Sekali imbas, memang kelihatan remeh masalah tersebut. Namun, itulah realitinya. Jika dibandingkan dengan orang zaman dahulu, hidup mereka tidak banyak gangguan. Jadi banyak masa dihabiskan dengan keluarga termasuklah tidur bersama.
Zaman sekarang penuh dengan ‘gangguan’ seperti telefon, game, kedai mamak dan sebagainya. Benar, ramai yang kononnya beralasan duduk bersama keluarga, tetapi hanya jasadnya sahaja di situ, tetapi matanya terus tertancap pada telefon bagaikan digam.
Contoh paling mudah, isteri tidur jam 9.30 malam, tetapi suami pula sibuk menghadap game sampai jam 4 pagi. Dalam situasi ain pula, walaupun pasangan masing-masing sama-sama berbaring di atas katil, tetapi suami isteri sibuk dengan telefon sendiri berjam-jam lamanya sehingga terlelap tanpa sedar.
Bahkan ada pula yang suami tidur jam 10 malam, tetapi si isteri pula melakukan semak imbas platform e-dagang atau beli-belah online sampai jam 2 pagi!
Bukan itu sahaja, satu lagi olah yang kerap berlaku di mana isteri tidur bersama bayi dalam satu bilik, manakala suami tidur di sofa ruang tamu. Alasannya tidak mahu diganggu tangisan anak sebab perlu bekerja esok, jadi kena cukup tidur. Tindakan sebegini sebenarnya menyebabkan akan ada hati yang terasa dan wujudnya kerosakan komunikasi.
Baca juga Terpaksa kongsi bilik tidur dengan anak? Ini yang perlu dilakukan ibu bapa
Padahal waktu sebelum tidurlah detik untuk suami isteri saling berkongsi cerita, meluah rasa jika ada tidak berpuas hati, bermaafan dan sebagainya. Itulah waktu pillow talk, kata orang.
Demikianlah antara perkara yang acap kali dilakukan oleh pasangan suami isteri tidak kiralah yang baru berkahwin atau sudah senior.
Justeru, Nurain Akmal Khairunnisa mengingatkan agar pasangan tidak terus dibuai perasaan lalai dan terleka sehingga langsung tidak ambil berat tentang hal itu. Akhirnya, ia boleh memakan diri.
“Jadi, mana-mana perkara yang berlaku dalam rumah tangga itu, boleh perbaiki diri untuk melahirkan rumah tangga bahagia,” nasihat beliau.