Sejak pandemik melanda dunia bermula 2019, banyak sektor yang mula terjejas. Ia termasuklah memperlihatkan kelemahan sistem pembelajaran.
Ketika sekolah terpaksa ditutup bagi menyekat penularan wabak Covid-19, golongan pendidik terpaksa berhempas pulas mencari jalan penyelesaian bagi sistem pembelajaran berasaskan digital di rumah.
Tiada siapa menyangka, dari seorang anak migran berketurunan India-Bangladesh yang menetap di Amerika Syarikat, Salman Khan sebenarnya sudah lama membangunkan solusi pembelajaran digital ini. Ketika sekolah-sekolah di seluruh dunia terpaksa ditutup, ramai yang mula mencari beliau untuk mendapatkan solusi digital percuma untuk membawa pendidkan ke rumah.
Salman dilahir dan dibesarkan di New Orleans, Amerika Syarikat, ibunya berasal dari India manakala bapanya dari Bangladesh.
Kisah kejayaannya bermula apabila Salman yang selesa dipanggil Sal cuba membuat video untuk menerangkan kepada sepupunya mengenai masalah Algebra di YouTube.
Terangsang dengan komentar yang positif diterimanya dalam YouTube, minatnya mula berkembang dalam dunia pendidikan.
Berikutan itu, Sal pada 2005 membangunkan sistem pembelajaran video berasaskan web di Amerika Syarikat. Ia didikenali dengan nama Khan Academy, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan.
Berikutan usahanya itu, Sal yang mempunyai tiga Ijazah dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) and Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Harvard, beliau turut dicalonkan antara 100 orang berpengaruh dunia 2012 oleh majalah Time.
Bagi mempopularkan program pendidikan itu, Sal menerbitkan buku bertajuk The One World School House, pada Oktober 2012.
Laman web pembelajaran secara online Khan Academy menyediakan lebih 6,500 mini kuliah secara percuma yang mendapat penajaan terbesar dari Gates Foundation dan Google.
Ketika ini, Khan Academy mempunyai lebih 6.4 juta pelanggan di platfom Youtube dan videonya telah diterjemah kepada lebih 60 bahasa, manakala video yang disediakan telah ditonton melebihi 1.8 bilion kali.
Semua video pembelajaran Khan Academy disediakan di platfom youtube dan pelbagai jenis mata pelajaran ditawarkan seperti matematik, sejarah, penjagaan kesihatan, kewangan, fizik, kimia, biologi, astronomi, ekonomi, kosmologi, sejarah seni visual, dan sains komputer.
Dalam satu temu ramah theverge.com baru-baru ini, Sal berkata beliau menerima surat dari seorang pendidik di Korea Selatan yang menyatakan sekolahnya menggunakan program Khan Academy bagi meneruskan pembelajaran di rumah ketika pandemik.
Ia satu perkembangan yang membanggakan, malah katanya penggunaan program pembelajaran online Khan Academy melonjak 250 hingga 300 peratus sejak pandemik.
“Kita harus terus mencari jalan untuk menggunakan teknologi di sekolah. Bukan kerana kita mahu melihat moden tetapi hakikatnya ada masalah pedagogi yang kita perlu atasi,” kata Sal dalam satu temuramah oleh Quartz.
Pandemik ini telah memburukkan lagi jurang pembelajaran di kalangan pelajar dan satu dunia kini menyedari betapa buruknya kesan perkembangan itu, kata Sal.
Pembelajaran secara online pada masa ini tidak sempurna, ramai pelajar akan ketiggalan kerana kekurangan interaksi dan sistem pemantauan pencapaian pelajar secara online yang kurang mantap.
Dari sudut ini, Khan Academy menawarkan solusi kerana di bawah programnya seseorang pelajar tidak akan dibenarkan maju dalam silibusnya selagi tidak mahir silibus sebelumnya. Selain itu, solusi Khan Academy menawarkan solusi pemantauan pencapaian pelajar secara masa sebenar atau real-time kepada guru dan ibu-bapa.
Siapa sangka ada Salman Khan yang lain daripada hero filem Bollywood, berjaya mencipta nama sebagai hero pendidik berjiwa besar yang banyak mengubah sistem pembelajaran dengan teknologi terkini.