MUSIM tengkujuh kian tiba. Seperti yang diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini sehingga membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu mengundang risiko berlaku hujan lebat berterusan dan peratusan banjir berskala besar adalah tinggi.
Namun sebagai Muslim, dalam suasana getir sambil mengemas tempat yang dilanda banjir, sudah pasti terdetik di hati untuk mendirikan solat.
Menjadi persoalan, adakah solat boleh dijamakkan ketika berlakunya banjir?
Kebiasaanya solat qasar dan jamak merupakan rukhsah yang diberikan oleh ALLAH SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada.
Perkara ini dinyatakan oleh ALLAH SWT di dalam firmannya “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.” (Surah al-Nisa’ ayat 101)
Merujuk penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pihaknya lebih cenderung kepada pendapat mengatakan tidak boleh untuk melakukan solat jamak semasa banjir.
Ini kerana, mangsa banjir pada kebiasaannya ditempatkan di dalam penempatan sementara seperti dewan orang ramai, sekolah-sekolah, dan sebagainya.
Berkumpulnya mereka di situ sahaja sudah membolehkan untuk mereka solat berjamaah pada setiap solat fardu.
Baca juga Fiqh banjir bantu lerai kemusykilan ibadah ketika bah
Adapun solat jamak ketika hujan, ia memang benar warid dari Nabi SAW dan dibolehkan disisi mazhab Syafie (Al-Umm, 1/95; Al-Majmu’, 4/378). Akan tetapi ia hendaklah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para fuqaha’ iaitu:
1. Jamak yang dilakukan mestilah jamak taqdim, dan tidak jamak ta’khir. Ia mesti dilakukan mengikut syarat jamak taqdim iaitu dimulakan dengan solat yang awal (Zohor atau Maghrib) dan mesti berniat untuk jamak di dalam solat yang pertama, selewat-lewatnya sebelum memberi salam bagi solat pertama.
2. Solat yang kedua (Asar atau Isya’) mestilah dilakukan secara berjemaah di masjid. Tidak disyaratkan untuk solat berjemaah pada solat yang pertama dan dibolehkan untuk solat bersendirian pada solat pertama.
Apabila imam mengisytiharkan dijamakkan solat, maka harus seluruh ahli jemaah menjamakkan solat, walaupun ada yang tinggal berdekatan dengan masjid kerana dalam peristiwa solat jamak disebabkan hujan pada zaman Nabi SAW, baginda sendiri mengimamkan solat sedangkan rumah baginda bersebelahan dengan masjid.
3. Ia mestilah dilakukan di masjid, bukannya di rumah. Masjid atau surau itu mestilah jauh jaraknya sehingga hujan itu memberi kesan kepada orang yang hendak menunaikan solat. Sekiranya rumah berdekatan masjid, tidak dibolehkan jamak.
4. Tidak boleh jamak melainkan hujan yang membasahi pakaian. Hujan yang tidak membasahkan pakaian, tidak boleh jamak kerana ia tidak memberi kesan mudarat pada pakaian. Begitu juga salji, hukumnya adalah sama seperti hujan.