MENGAMALKAN diet sehingga zalimi diri sendiri. Perkara ini jelas dilarang dalam Islam kerana ia mendatangkan kemudaratan.
Seksa diri sehingga sanggup menahan lapar kerana ingin mendapatkan berat badan yang ideal tidaklah sesuai untuk dilakukan.
Niat untuk kurus itu bagus, cuma ia perlu dipimpin ke arah yang betul kerana Islam amat mementingkan kesederhanaan dalam segala perkara.
Memetik perkongsian Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi), penceramah bebas dan selebriti TV, berkongsi cara yang dianjurkan Islam untuk turun berat badan yang betul agar tidak menzalimi hak kepada diri sendiri.
Firman ALLAH SWT dalam surah Ar-Rum ayat 9 yang bermaksud: “Tuhan (ALLAH) tidak menzalimi mereka itu (maksudnya manusia), tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.”
Dalam konteks ini, terbukti bahawa manusia sentiasa membuat sesuatu untuk memenuhi kehendak nafsu mereka sehingga menyeksakan diri kepada keadaan yang tidak baik.
Ya benar, semua orang ingin kelihatan cantik dan kurus tetapi biarlah perkara itu dilakukan dengan cara yang sihat dan menyenangkan diri.
Dalam Islam, terdapat cara-cara yang boleh kita lakukan untuk kita sihat dan dalam masa yang sama, cantik luar dan dalamannya.
Kesihatan manusia sebenarnya amat berkait rapat dengan pemakanan seharian. Sebab itu, orang yang tidak menjaga pemakanannya mudah terdedah dengan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.
Islam menganjurkan kesihatan dan bentuk ideal untuk tubuh, namun Islam juga tidak membenarkan jika cara diet yang dilakukan terlalu berlebihan.
Oleh itu, kita boleh gunakan cara diet yang dianjurkan dan bersesuaian dalam Islam.
1. Berpuasa
Cara paling berkesan untuk menurunkan berat badan adalah dengan berpuasa. Dengan melakukan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Puasa sunat yang dilakukan secara rutin akan membuat tubuh badan kurus dan langsing.
Walaupun begitu, tidak boleh berniat puasa semata untuk kurus tetapi niatlah kerana ALLAH supaya badan sihat.
Puasa adalah cara efektif untuk mengatur cara makan dan sebagai rawatan untuk merehatkan organ pencernaan kita.
2. Menunaikan solat
Solat adalah cara beribadah seorang muslim kepada Pencipta (ALLAH). Langkah-langkah dan tatacara dalam melakukan solat dilakukan dengan gerakan seperti berdiri, rukuk, dan sujud yang memiliki khasiat tersendiri bagi kesihatan tubuh badan.
Baca juga Makan buah dulu sebelum ambil hidangan berat, ini anjuran Rasulullah SAW
Di antaranya adalah seperti melancarkan peredaran darah dan membuat seluruh tubuh ikut bergerak sehingga lemak-lemak yang ada pada tubuh dapat dikurangkan.
3. Makan makanan halal dan sihat
Kita digalakkan makan makanan seimbang untuk kesihatan tubuh badan supaya nilai zat yang terkandung dalam makanan beri kebaikan untuk tubuh badan.
Namun, penting untuk ambil berat tentang status halal makanan tersebut supaya lebih terjamin kebersihan dan keselamatannya. Banyakkan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan. Ikutlah cara pemakanan yang dilakukan oleh Rasulullah.
4. Tidak terus baring selepas makan
Tidur selepas makan, tabiat yang selalu dilakukan. Hal ini berkait semasa lapar, kita akan makan dengan jumlah yang lebih banyak. Akibatnya, perut menjadi terlalu kenyang dan mata berat atau mengantuk, seterusnya kita akan tidur.
Tubuh badan kita memerlukan sedikit masa untuk memproses serta menghadam makanan dan minuman yang diambil. Apabila kita tidur selepas makan, ia merencatkan proses ini seterusnya membuat tubuh badan tidak menyerap nutrisi yang sepatutnya.
5. Berhenti sebelum kenyang
Makan dengan yang terlalu banyak tentu akan membuat berat badan kita tidak stabil. Makanlah makanan secukupnya, jangan berlebihan kerana ajaran Islam tidak menyukai hal-hal yang berlebihan dalam sesuatu.
Bahkan dalam Islam sendiri menganjurkan untuk makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang.
“Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang yang berlebihan” (Surah Al-Araf ayat 31)