KESALAHAN bergurau yang hanya dianggap perkara biasa, namun tanpa sedar boleh mendatangkan dosa.
Islam tidak menghalang untuk berhibur, ini kerana kehidupan kita di atas muka bumi bukanlah semata-mata untuk melakukan ibadah seperti hanya duduk di dalam masjid, zikir yang berterusan atau membaca Al-Quran sepanjang masa.
Tetapi kehidupan yang ALLAH SWT berikan kepada kita mestilah digunakan dengan sebaik mungkin dalam mentaati perintah-NYA.
Di dalam konteks dunia arus teknologi kini, media sosial merupakan salah satu bentuk hiburan yang menjadi kegemaran ramai. Pelbagai ‘content’ yang disiarkan sehingga ada kepada kebaikan dan ada juga yang membawa kepada kebaikan.
Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah berkongsi mengenai tiga kesalahan di media sosial yang dianggap biasa namun berdosa jika terus melakukanya.
Terdapat tiga kesalahan bergurau yang mengundang dosa jika dilakukan iaitu;
1. MENTERTAWAKAN ORANG LAIN
Perbuatan sebegini hanya ada pada mereka yang tidak ada akhlak dan penuh dengan kebencian.
Sabda Baginda Rasulullah SAW, “Cukuplah seseorang dikatakan telah berbuat jahat jika ia merendahkan saudaranya muslim“. [Hadis Riwayat Ibn Majah]
2. MENGAIBKAN ORANG
Bergurau untuk menjatuhkan maruah seseorang pada hari ini sudah menjadi kebiasaan tanpa memikirkan tentang hukum hakam. Memang menjadi satu kepuasan apabila kita boleh menjatuhkan maruah orang lain di hadapan khalayak ramai. Tetapi bagi seorang Muslim kita diajar untuk menjaga kehormatan saudara-saudara yang lain.
Rasulullah SAW bersabda “Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan Muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya”. [Hadis Riwayat Bukhari]
Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan.
3. MERENDAHKAN MARTABAT ORANG LAIN
Setiap kita tidak suka direndah-rendahkan oleh orang lain. Kita suka dipandang mulia dan disantuni. Oleh kerana itu, Islam tidak membenarkan seseorang merendahkan orang lain.
Firman ALLAH SWT di dalam Surah al-Hujurat ayat 1, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka”.
Baca juga Jangan pandang remeh perbuatan hina agama
Hanya kerana ingin mencari perhatian dan follower, sesetengah dari pengguna media sosial sanggup melakukan perkara yang diharamkan oleh Islam, sehingga mengundang dosa yang berpanjangan.
Terutama jika video yang dihasilkan disebarkan pula oleh orang lain dan mendapat like daripada mereka maka semuanya akan menjadi saham dosa.
Walaupun niat di hati hanya untuk menghiburkan orang lain akan tetapi Islam menggariskan niat tidak menghalalkan cara. Jika dilakukan dengan cara yang salah maka ia tetap salah.
Memetik ceramah pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid mengenai judul ‘Niat Tidak Menghalalkan Cara’, beliau menegaskan Islam tidak boleh menang atau tinggi dengan kebatilan dan kemungkaran, tetapi akan tinggi dengan perkara yang hak.