MUHARAM merupakan bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Asalnya Muharam bermaksud ‘diharamkan’ dimana ALLAH melarang umat Islam untuk melakukan peperangan atau pertumpahan darah.
Kemudian ia dimansuhkan selepas pembukaan Makkah. Bulan Muharam dipilih sebagai bulan pertama dalam kalendar hijriah kerana pada bulan ini kaum muslimin telah pulang daripada melaksanakan ibadah haji.
Menurut wikipedia, ensiklopedia bebas, sejarah mencatatkan kalender hijriah secara rasmi belum bermula ketika zaman Rasulullah SAW. Kalendar ini hanya bermula pada zaman Khalifah Arrasyidin kedua iaitu Saidina Umar al-Faruq RA.
Terdapat beberapa cadangan daripada para sahabat untuk penetapan tarikh bagi Madinah ketika itu, ada yang mencadangkan tahun Islam bermula ketika kelahiran Nabi Muhammad SAW, ada yang mencadangkan permulaan tarikh Islam ditetapkan pada hari Rasulullah dibangkitkan sebagai nabi dan rasul tetapi pandangan yang mencadangkan permulaan tarikh Islam pada tarikh hijrah Nabi SAW.
Penetapan ini untuk mengenangkan betapa pentingnya tarikh hijrah yang menjadi anjakan paradigma dalam sejarah agama Islam yang mana pertama kali dalam sejarah Islam seorang nabi dan rasul.
Terutama di dalam membentuk kerajaan dengan segala kesukaran dan berjaya membuat hubungan diplomatik dengan beberapa negara serta menyampaikan dakwah Islam secara global sehingga Islam tersebar ke merata dunia.
MUHARAM : DETIK PERMULAAN HIJRAH
Permulaan tahun baru Hijriah mengajak manusia untuk melakukan hijrah daripada semua segi. Meninggalkan, menjauhkan serta berpindah tempat kearah yang lebih baik. Walhal nabi sendiri berhijrah untuk mempertahan dan menyebarkan agama islam.
Hijrah mesti dilakukan dengan niat dan tujuan mengharap keredhaan serta keampunan dari ALLAH SWT. Pelaksanannya juga wajib disertai dengan pengorbanan harta, nafsu bahkan jiwa.
Hijrah boleh dimulakan dengan beberapa perkara seperti berikut;
-Berhenti mengulangi kesalahan yang sama.
-Mencari sahabat atau lingkungan yang baik untuk dinasihat kepada kebaikan.
-Sentiasa menuntut ilmu atau mencari guru supaya dapat menambahkan ilmu pengetahuan sekaligus menjauhkan kepada kejahilan.
-Berusaha mengamalkan perkara baik walaupun sedikit kerana dengan beramal, manusia akan sibuk daripada melakukan maksiat.
Awal Muharram adalah permulaan yang baik untuk melakukan hijrah, namun untuk berubah bukan sekadar menunggu maal hijrah ataupun awal Muharam sahaja. Tetapi perubahan untuk menjadi lebih baik perlu dilakukan setiap masa.
Tidak kira siapa atau berapa banyak salah yang telah dilakukan, sentiasa ada ruang untuk berubah kerana sebagai manusia, tidak mungkin dapat lari daripada melakukan kesilapan.
Rasulullah SAW bersabda “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat. (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Baca juga Doa zahril ghaib untuk yang tersayang
ALLAH SWT sangat luas pengampunan-NYA. Lebih besar berbanding dosa dan maksiat yang kita lakukan. Namun jangan sesekali kita mengambil kesempatan atas pengampunan ALLAH ini.
Ibnu Qayyim berkata : “Orang yang paling BODOH ialah orang yang tahu ALLAH itu MAHA PENGAMPUN, maka dia jadikan alasan itu alasan untuk terus melakukan DOSA”
Itulah penghijrahan sebenar di awal Muharam dan merupakan titik permulaan untuk manusia berubah ke satu tahap yang lebih baik.