CONTENT ‘Mukbang’ dilihat semakin menjadi kegemaran warganet, terutama kepada golongan milenia. Fenomena ini mula terkenal serata Korea Selatan pada tahun 2010.
Namun perlu diketahui hukumnya sebagai seorang Muslim, apakah Islam membenarkanya. Mufti Wilayah ada menyebut di halaman Irsyad Al-Fatwa siri ke-693 : Hukum mukbang dalam Islam.
Mukbang merupakan gabungan daripada dua perkataan bahasa Korea iaitu 먹는; meongneun yang bermaksud makan dan 방송 bangsong bermaksud penyiaran.
Secara istilahnya pula, ia merupakan suatu siaran langsung dalam talian di mana pengacara memakan makanan pelbagai jenis sambil berinteraksi dengan para penonton.
Jika dilihat, secara kebiasaannya, video-video mukbang ini dihasilkan bagi tujuan meraih keuntungan dan populariti, malah ada juga sesetengah individu yang menjadikannya sebagai lubuk kerjaya.
Mereka menjana pendapatan daripadanya melalui upah pengiklanan, mendapat tajaan daripada pihak luar, membuat perakuan dan pengesyoran terhadap sesuatu produk makanan di samping adanya sokongan dan dukungan daripada kalangan penonton sama ada dalam bentuk wang tunai mahupun jumlah tontonan.
Pada dasarnya, tidak ada larangan khusus terhadap perbuatan tontonan aktiviti makan atau yang dikenali sebagai mukbang ini di dalam Islam. Hal ini kerana, kaedah Fiqh menyebut: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus”.
Al-Sa‘di menyebut setiap sesuatu perkara itu adalah harus selagi mana tiada sebarang dalil atau sesuatu yang menunjukkan pengharamannya.
Maka, aktiviti mukbang ini pada dasarnya adalah harus selagi mana tidak ada apa-apa yang membuatkan ia berubah menjadi haram.
Namun, sekiranya diperhatikan, terdapat segelintir masyarakat yang dilihat melakukan aktiviti ini dengan cara yang bertentangan dengan adab makan dan minum dalam Islam.
Antara yang dapat dinyatakan di sini adalah seperti berikut:
Pertama: Memakan makanan yang kotor dan tidak bersih.
Sekiranya diperhatikan, terdapat beberapa individu yang mengadakan siaran mukbang dengan mengambil makanan-makanan yang tidak bersih dan suci demi menaikkan rating videonya.
ALLAH SWT berfirman “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.” (Surah Al-Baqarah, ayat 168)
Imam Ibn Kathir menyebut di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan toyyiba pada ayat ini ialah apa yang baik untuk diri sendiri dan tidak pula memudaratkan tubuh badan mahupun akal fikiran.
Justeru, dapat difahami bahawa menjadi satu kewajipan ke atas seorang muslim itu untuk memakan makanan yang halal lagi baik sepanjang kehidupannya di atas muka bumi ini.
Kedua: Kenyang yang berlebihan
Terdapat juga sebahagian pelaku video mukbang mengambil jumlah makanan atau minuman dengan kuantiti yang sangat banyak, sehinggakan melebihi kadar keperluan dirinya, bahkan terkadang sehingga membawa kepada rasa sakit dan muntah akibat ingin menyelesaikan cabaran yang diminta oleh penonton misalnya.
Rasulullah SAW bersabda “Tiada ruang yang manusia isi yang lebih buruk daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan tulang sulbinya. Namun, jika dia tidak dapat mengelaknya, maka hendaklah dia membahagikan sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Ketiga: Berlakunya pembaziran.
“Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al-Isra’ ayat 26-27)
Dr Wahbah az-Zuhaili menyebut di dalam tafsirnya berkenaan ayat ini yang secara jelas menekankan larangan dan keburukan melakukan pembaziran sehingga ALLAH SWT menisbahkannya kepada perbuatan syaitan.
Perbuatan makan dengan cepat atau gelojoh ini seringkali dilihat dilakukan oleh kebanyakan pelaku video mukbang atas sebab mengejar masa atau menyahut cabaran yang diberi oleh para penonton.
Walhal, perbuatan ini amatlah tidak baik dan mesti dihindari oleh kerana boleh mendatangkan pelbagai risiko pada tubuh badan seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan bermacam lagi.
Imam al-Nawawi ada menyebut di dalam kitabnya apabila ditanya berkenaan kesahihan hadis Nabi SAW menyuruh agar mengunyah makanan sehingga 40 kali, beliau menjawab:
“Tidak ada langsung hadis yang sahih dalam perkara ini. Akan tetapi, ia adalah satu perkara yang baik kerana itu lebih sesuai (sopan) ketika makan bersama orang lain dan ia juga bertujuan untuk mengajar, ataupun boleh jadi makanan itu sukar untuk dikunyah disebabkan dia seorang yang dhaif (lemah) ataupun disebabkan seseorang itu sudah kenyang dan dikhuatiri jika dia mengangkat tangannya (berhenti daripada makan) akan menyebabkan orang lain yang sedang makan akan turut sama berhenti sedangkan mereka itu masih berhajat kepada makanan tersebut (lapar) atau seumpama dengannya yang melibatkan tujuan-tujuan yang baik”.
Baca juga Empat perkara yang lebih berharga daripada isi dunia
Kelima: Makan menggunakan tangan kiri
Kadangkala berlaku juga beberapa pelaku mukbang yang tampil dan makan dengan menggunakan tangan kiri, walhal Islam mengajar umatnya agar makan dengan tangan kanan.
Dapat dirangkumkan, hukum mukbang adalah harus selagi mana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya, namun perlulah dilakukan dengan cara mengikuti adab makan dan minum yang digariskan dalam Islam.