ADAKAH tulang dan sisa daging korban perlu ditanam?
Hari Raya Aidiladha sudah beberapa hari berlalu. Pastinya ramai yang turut mengambil peluang untuk melaksanakan ibadah korban, aqiqah dan sebagainya pada hari yang mulia tersebut.
Bercakap tentang ibadah korban, sudah tentu ada yang tertanya, adakah tulang dan sisa daging korban yang telah disembelih perlu ditanam?
Persoalan ini terutamanya banyak ditanyakan oleh para ibu setelah selesai menyediakan juadah menggunakan daging korban dan mendapati adanya saki-baki daripada makanan tersebut.
Baca juga Kekeliruan kaum ibu, daging korban tidak boleh disimpan melebihi 3 hari? Ini penerangan agamawan
Memetik artikel daripada portal Tzkrh, jika diikutkan tiada dalil khusus yang menyebut bahawa tulang dan sisa korban perlu ditanam. Bahkan, ia mungkin hanya tradisi yang diamalkan masyarakat di Malaysia bagi memastikan kebersihan terjaga.
Pun begitu, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata bahawa hukum menanam tulang daging korban hanya sekadar sunat, bukannya wajib.
Pendapat ini turut dipersetujui personaliti agama, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre yang menasihatkan orang ramai untuk menanam sisa daging korban, terutamanya bahagian tulang.
Baca juga Daging korban dibawa keluar dari kawasan atau negeri, bolehkah? Ini penjelasan agamawan
Jelas beliau, tulang-belulang secara umumnya dan bukan sahaja ketika korban, termasuk salah satu makanan jin. Oleh itu, sebahagian ulama mengatakan berpendapat sisa berkenaan harus dikendalikan dengan baik.
“Sebahagian ulama mengatakan lebih baik untuk kita prosesnya (tulang daging) dengan cara yang baik. Makna bukan kita letakkan secara terbiar di atas tanah dan sebagainya.
“Sebagai menghormati tulang-belulang tersebut sebagai makanan, maka lebih baik untuk ditanam,” katanya menerusi sebuah video berkisarkan ibadah korban di YouTube.
Namun, dalam keadaan yang tidak membolehkan seseorang itu menanam tulang daging korban berkenaan seperti sudah bercampur dengan sampah yang lain atau tinggal di kawasan apartment, contohnya, maka tidak mengapa jika sisa tersebut dibuang sahaja.
“Dalam situasi kita sekarang ini (seperti) di tempat kita, mungkin agar sukar untuk tanam, (atau) kita dah proses sekali dengan sampah dan sisa-sisa makanan kita sekali, (jika) kita buang dalam tong sampah dan sebagainya, tidaklah menjadi satu masalah. Tidaklah menjadi haram dan sebagainya,” ujarnya.
Bagi mereka yang tidak mempunyai tempat untuk menanam sisa dan tulang daging korban, penceramah bebas, Ustaz Che Nordin Che Ibrahim mengingatkan agar makanan itu dibungkus dengan baik sebelum dibuang di tempat yang tidak akan diganggu haiwan liar seperti anjing.
Baca juga Tuan Korban Tak Boleh Makan Daging Korban Dalam Keadaan Ini – Azhar Idrus
Oleh itu, jika anda mempunyai sebarang sisa daging korban daripada sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu, sebaik-baiknya ia ditanam sekiranya anda berkebolehan berbuat demikian.
Namun, bergantung kepada situasi dan kesesuaian keadaan, tiada masalah jika sisa berkenaan terpaksa dibuang ke dalam tong sampah atau mana-mana tempat yang sesuai.
Foto: Aljoofre, Youtube & Unsplash