“KALAU tidak mampu buat kebaikan, jangan sesekali berbuat jahat.” Itulah ungkapan yang sering didengari daripada para asatizah untuk setiap lapisan masyarakat.
Setiap apa yang dilakukan di dunia pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Ditambah dengan media sosial sebagai ‘lauk’ setiap hari menjadikan manusia lebih cepat kenyang dalam setiap hidangan atau ‘content’ yang disajikan kini.
Apalah ertinya memiliki jutaan followers, puluhan ribu likes, ribuan subcribers, malahan setiap satu hantaran anda secara automatik akan mendapat respon followers dari seluruh dunia tetapi mereka juga akan jadi saksi kelakuan tidak senonoh tatkala hari perhitungan di Mahsyar.
Orang Islam gemar jadi pengikut
Menurut data yang dikeluarkan oleh PRB (Population References Bureau) populasi manusia di seluruh dunia pada tahun ini (2022) mencatatkan lapan bilion penduduk.
Manakala purata 1.9 bilion penduduk dunia memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media sosial dan pelbagai jenis ‘content’ yang dikongsi untuk tatapan umum.
Menerusi perkongsian daripada pendakwah terkenal, Ustaz Yaakub Yusra, katanya, bukan semua content di media sosial membawa kebaikan.
“Bahkan banyak kandungan media sosial yang membawa kepada kemungkaran dan perkara itulah yang lebih disukai ramai,”
“Setiap aliran atau ‘trend’ yang membawa kemungkaran pasti akan cepat tular di media sosial dan lebih menyedihkan apabila ia gemar diikuti oleh orang Islam sendiri.”
Namun masih ada pengguna media sosial yang menyebarkan kebaikan dengan mengajak kearah perkara makruf dan mentaati ALLAH SWT.
Mereka istiqamah berkongsi hantaran yang berunsur nilai positif kepada pengikut. Inilah yang sebaik-baiknya, sebagaimana dinyatakan di dalam surah Ali Imran, ayat 104 yang bermaksud, “Dan hendaklah ada dari antara kamu, satu golongan yang mengajak (manusia) kepada bakti, dan menyuruh (mereka berbuat) kebaikan, dan melarang (mereka) dari kejahatan, dan mereka itu ialah orang-orang yang dapat kejayaan”. (Surah Ali Imran, ayat 104)
Penyaksian perbuatan haram yang dilakukan
Carian di aplikasi TikTok pada hari ini lebih tinggi daripada di goggle menunjukkan orang ramai telah beralih ke aplikasi TikTok sejak ia diperkenalkan.
TikTok kini seakan menjadi aplikasi pertama yang wajib ada oleh semua orang. Bahkan, menurut kajian dari Sensor Tower, TikTok telah mengalahkan Facebook dan Instagram dengan mencatatkan hampir 700 juta pengguna.
Pelbagai ‘content’ yang disiarkan oleh pengguna TikTok. Jika perkara yang dikongsi itu membawa kepada kebaikan maka ia akan mendatangkan manfaat kepada sesiapan yang melihatnya.
Namun, yang dibimbangi apabila bahan yang disiarkan itu menjurus kepada perkara-perkara yang mungkar. Contohnya seperti menari, tidak menutup aurat, menayangkan aksi lucah dan tidak senonoh, lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya sehingga menjatuhkan maruah dan martabat Islam.
Walaupun hanya sekadar untuk ‘hiburan’ tetapi ia tetap haram di sisi Islam.
Tambahan pula, content tersebut viral dengan jumlah satu juta ‘view’ maka mereka akan menjadi saksi di Mahsyar kelak atas perbuatan haram itu.
Orang yang berjaya bukan pada harta dan nama tetapi mereka yang mampu mengajak kepada kebaikan dan melarang melakukan keburukan.
Jika seseorang tidak mampu untuk halang keburukan maka jadikanlah dirinya jauh daripada perkara mungkar tersebut.
Hawa nafsu merupakan musuh yang paling dekat dan sukar dikalahkan manusia. Oleh sebab itu, Islam memerintahkan umatnya untuk mengendalikan hawa nafsu dari awal sebelum terbit pelbagai keburukan.
ALLAH SWT berfirman di dalam Al-Quran “maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran”. (surah al-Ma‘idah, ayat 77).
Jika tidak mampu untuk melakukan kebaikan, maka jangan sesekali mendekati keburukan kerana setiap perbuatan yang dilakukan akan dihitung dan ada saksi di Padang Mahsyar kelak.