TUGAS menjaga ibu bapa terutama yang sudah uzur bukan saja terletak di bahu anak lelaki bahkan juga anak perempuan.
Tanggapan anak perempuan terlepas daripada tanggungjawab menjaga ibu bapa selepas berkahwin tidak benar sama sekali. Setiap anak wajib berbuat baik kepada ibu bapa hingga ke akhir hayat mereka.
Setelah bernikah memang menjadi tanggungjawab seorang isteri untuk menumpahkan sepenuh ketaatan kepada suaminya. Namun pada masa yang sama mereka juga wajib berbakti kepada ibu bapa. Hal ini dinyatakan di dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“Keredaan ALLAH SWT itu terletak pada keredaan orang tua, dan murka ALLAH itu terletak pada murka orang tua” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Islam sendiri memberikan perintah kepada muslimah agar mentaati dan mematuhi suami selama mana perintah itu masih di dalam aturan atau syariat Islam.
Namun begitu, pada masa yang sama tentu sahaja ibu bapa yang telah meningkat usia tetap memerlukan perhatian dan pertolongan daripada anak mereka.
Di dalam artikel yang bertajuk ‘Kewajipan anak perempuan setelah menikah’ seperti yang di petik di laman sesawang Hukum Islam, mencatatkan beberapa tatacara yang perlu difahami oleh setiap Muslimah tentang adab terhadap ibu bapa meskipun telah bergelar isteri.
Baca juga Usah lupa enam perkara ini setelah ibu bapa meninggal dunia
1. Sentiasa mendoakan ibu bapa
Mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat orang tua juga merupakan satu kewajiban anak setelah berkahwin. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Bila seorang manusia sudah meninggalkan doa kepada kedua-dua orang tuanya maka rezekinya akan terputus.” (Hadis Riwayat Ad Dailami)
2. Tetap taat kepada orang tua
Seorang muslimah wajib taat dan berbakti kepada orang tuanya. Orang tua tentu saja menginginkan yang terbaik untuk anaknya walaupun sudah berkahwin. Untuk itu, anak perempuan wajib menghormati dan terus berbakti kepada mereka.
Ada anak yang melupakan orang tuanya setelah berkahwin. Padahal, orang tua wajib dihargai sebagaimana mereka telah memberikan kasih sayang dan perhatian yang tulus dari kecil hingga dewasa.
3. Berikan sokongan kewangan dan khidmat
Ketika orang tua semakin meningkat usia, kehidupan mereka akan semakin sukar dan pastinya memerlukan bantuan daripada anak-anak.
Salah satu bantuan yang boleh diberi adalah daripada segi kewangan. Apatah lagi kalau mereka sudah terlalu uzur, tentulah sangat memerlukan sokongan anak-anak untuk kelangsungan hidup.
4. Selalu bertanya khabar kedua ibu bapa
Kadang kala kita terlupa untuk sentiasa bertanya khabar ibu bapa di kampung. Jangan begitu. Sebaiknya telefonlah ibu bapa setiap hari walaupun hanya beberapa minit untuk berbual dengan mereka. Mungkin juga boleh berutus berita menerusi aplikasi WhatsApp atau Telegram.
Hal ini bertepatan dengan seruan pengukuhan silaturrahim seperti mana dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada ALLAH yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-NYA, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya ALLAH sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.” (Surah an-Nisaa’, ayat 1)
Baca juga ‘Ibu bapa jangan ‘sempitkan’ peranan dengan hanya besarkan anak dan beri kesenangan material’
5. Melayan kedua ibu bapa dengan penuh kasih sayang
Orang tua biasanya lebih sensitif dan mudah terasa. Itulah sebabnya kita sebagai anak wajib menjaga setiap kata-kata, perbuatan dan layanan terhadap ibu bapa agar tidak melukakan hati mereka. Layanan yang baik adalah satu cara untuk menujukkan rasa sayang dan hormat kepada ibu bapa.
Untuk mencari bekalan pahala yang banyak di akhirat nanti, jagalah ibu bapa, terutama ibu bapa yang sakit, kerana di situlah letaknya ladang pahala.
Semoga kebaikan yang anda berikan kepada orang tua akan beroleh ganjaran yang sangat besar buat anda sekeluarga, selain mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak.
Foto: Pexels & Twitter