BIARPUN bukanlah suatu kewajipan, namun program rumah terbuka sebenarnya merupakan sunah Rasulullah SAW. Ini kerana, menjamu orang makan adalah hadiah dan amalan yang paling bernilai.
Disebabkan itu, pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, kita digalakkan untuk mengadakan majlis sebegitu sempena Hari Raya Aidilfitri.
Jelas beliau, terlalu banyak kelebihan jika kita menganjurkannya. Antaranya ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim.
“Apabila kita mengadakan rumah terbuka, ramai yang akan berkunjung seperti adik-beradik, sanak saudara, sahabat handai, jiran tetangga dan sebagainya.
“Paling penting, niat kita mengadakan majlis sedemikian adalah semata-mata kerana ALLAH SWT, bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk. Itu yang dikatakan ibadah,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Baca juga Syawal pengikat mahabbah sesama insan, tetapi usah terlampau seronok sangat
Dalam pada itu, Ustaz Wan Akashah menitipkan pesan agar tuan rumah menyediakan hidangan terbaik mengikut kemampuan masing-masing.
“Usahlah terlalu bermewah-mewah sehinggakan terpaksa berhutang dan berlaku pembaziran. Kelak, amalan yang sepatutnya menjadi ibadah akhirnya mengikuti jejak syaitan.
“Pada masa sama, jangan pula mengadakan ‘jamuan terlarang’ baik dari segi makanan mahupun minuman. Kemudian, biarlah majlis yang bakal dianjurkan itu mempunyai ruangan mencukupi untuk kaum lelaki dan perempuan,” pesannya sambil mengingatkan supaya kita tidak bertanyakan perkara sensitif dan hal peribadi semasa bertemu.
Baca juga Jangan Curi-Curi Pandang Keadaan Rumah Tuan Rumah Ketika Datang Ziarah
Seperkara lagi, pendakwah itu mengingatkan supaya tuan rumah memilih waktu yang sesuai untuk menganjurkan rumah terbuka supaya mereka ada kesempatan untuk menunaikan solat dan sebagainya.
“Bukan apa, bimbang jika tuan rumah solat entah ke mana. Begitu juga dengan tetamu.
“Kalau boleh, biarlah majlis yang kita mahu adakan itu tidak mengganggu tetangga kita. Jangan lupa pula untuk menjemput mereka sekali,” titipnya.
Kepada satu soalan, Ustaz Wan Akashah menjawab: “Andai kita ingin majlis rumah terbuka yang diadakan itu diberkati, mulakanlah dengan bacaan doa selamat terlebih dahulu.
“Di samping itu, jangan mengudang jemputan berdasarkan pangkat. Sebaliknya, jemputlah semua tetamu tanpa mengira status ekonominya. Ingatlah, majlis tidak akan diberkati oleh ALLAH SWT seandainya kita memilih untuk menjemput kelompok yang kaya-raya saja.”
Foto: Freepik