BERBEZA dengan dua tahun sebelumnya, suasana di masjid dan surau pada Ramadan kali ini lebih gamat daripada biasa.
Ramadan hanya menjengah sekali setahun. Justeru umat Islam berlumba-lumba mengambil peluang menggandakan pahala di bulan suci ini. Kesibukan menguruskan urusan dunia ditinggalkan seketika. Tumpuan dialihkan kepada aktiviti ibadah.
Sering berlaku, kadangkala gara-gara terperangkap di jalan raya atau sedikit kekalutan tatkala mencari tapak parkir, menyebabkan mungkin terlewat tiba ke dalam saf, sehingga imam sudah pun mengangkat takbiratul ihram.
Dalam keadaan sebegini, ada yang tertanya, perlukah ‘mengejar’ imam? Bukan sahaja untuk solat fardu lima waktu, situasi ini terpakai juga untuk solat tarawih.
Bagi menjawab persoalan ini, seseorang makmum perlu mengetahui keadaan dirinya sama ada berada dalam keadaan makmum masbuk atau muafik terlebih dahulu.
Sempat habiskan al-Fatihah
Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, makmum muafik adalah mereka yang berjemaah bersama imam dan sempat menghabiskan bacaan surah al-Fatihah di dalam qiam imamnya.
Kadar bacaan al-Fatihah makmum itu tidak diukur berdasarkan bacaan dirinya atau imam, namun berdasarkan kadar bacaan bagi kebanyakan orang ramai iaitu tidak terlalu cepat atau lambat.
Menerusi video bertajuk Makmum Baca Lambat yang disiarkan di media sosial, Ustaz Wadi Annuar turut mengupas isu makmum muafik yang mengangkat takbiratul ihram bersama imam namun tidak sempat menyelesaikan bacaan surah al-Fatihah sedangkan imam sudah rukuk.
Berpandukan kitab al-Minhaj, Ustaz Wadi menjelaskan terdapat dua keadaan bagi senario ini:
1. Makmum yang mampu menghabiskan bacaan al-Fatihah sebelum imam rukuk namun sengaja memperlahankan bacaan atas tujuan tartil.
2. Makmum yang membaca lambat secara semulajadi.
Dalam kedua-dua keadaan ini, makmum tersebut perlu menghabiskan bacaan al-Fatihah.
“Dan apabila selesai ia (makmum) daripada membaca al- Fatihah, hendaklah ia rukuk dengan sendirinya dan iktidal dan sujud hingga ia mendapat imam di mana sahaja ada ia (imam).” (Kitab al-Minhaj)
Mengulas tentang petikan ini, Ustaz Wadi Annuar berkata makmum berkenaan dibenarkan melambatkan rukunnya untuk menghabiskan bacaan al-Fatihah sehingga dapat ‘mengejar’ semula imam.
Penting untuk makmum muafik mengetahui, dia dimaafkan sekiranya ketinggalan di belakang imam sehingga lima rukun yang panjang iaitu rukuk, sujud dan berdiri ketika al-Fatihah dibaca.
Manakala, iktidal serta duduk di antara dua sujud dikira rukun pendek.
Lewat berjemaah
Lain pula hukumnya bagi makmum masbuk, seseorang yang lewat berjemaah dan tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah bersama imam.
Contohnya, seorang makmum lewat berjemaah sedangkan imam sudah hampir selesai membaca surah al-Ikhlas dan makmum berkenaan tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah, maka itu dinamakan makmum masbuk.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, terdapat dua keadaan yang boleh dilakukan jika situasi ini berlaku:
1. Sekiranya imam sedang rukuk, makmum hendaklah terus bertakbir serta niat dan setelah berdiri sebentar (lamanya dalam kadar bacaan Subhanallah), terus rukuk bersama imam.
Jika dia rukuk bersama imam pada kadar tamakninah di dalam rukuknya, maka dia dikira mendapat rakaat berkenaan walaupun tidak membaca surah Al-Fatihah kerana bacaan Al-Fatihahnya ditanggung oleh imam.
2. Jika berkesempatan berdiri bersama imam dalam masa yang singkat, makmum hendaklah membaca surah Al-Fatihah sekadar mana yang dapat dan teruskan mengikut imam dalam rukuk dengan syarat dapat berhenti bersama dalam rukuk itu.
Oleh itu, pastikan anda tahu anda berada dalam keadaan makmum yang mana sebelum mengambil keputusan untuk ‘mengejar imam’.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Foto: Pexels & Unsplash