31 Ogos 1957, suatu tarikh bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia apabila Tanah Melayu akhirnya terlepas dari cengkaman kuasa asing dan berjaya muncul sebagai sebuah negara berdaulat.
Namun, apa yang jarang diperkatakan adalah tarikh bersejarah tersebut telah ditetapkan oleh seorang ulama dari Pulau Pinang yang terkenal dengan sifat berpandangan jauh serta semangat kemerdekaannya. Beliau juga dikenali sebagai datuk kepada Perdana Menteri kelima negara, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tokoh agama yang dimaksudkan adalah Syeikh Abdullah Fahim. Pemilik nama penuh Abdullah bin Ibrahim ini dilahirkan di Kampung Sha’ab Ali, Makkah al-Mukarramah pada tahun 1869 (1286 H). Bapanya, Syeikh Ibrahim bin Tahir adalah seorang guru al-Quran di Masjidil Haram yang berasal dari Kedah.
Dengan keistimewaan sebagai seorang anak ulama di Mekah, beliau telah mengambil kesempatan mempelajari pelbagai ilmu agama di sana sehinggakan jumlah ulama yang pernah menjadi gurunya dikatakan mencecah hampir 50 orang.
Ternyata Syeikh Abdullah Fahim seorang yang sangat beristiqamah dalam menuntut ilmu kerana beliau mempunyai kelulusan dalam lebih daripada 15 bidang ilmu Islam termasuk fiqh dan usuluddin. Beliau, terutamanya, sangat mahir dalam bidang ilmu falak dan kesusasteraan Arab.
Sekembali di Tanah Melayu pada tahun 1916, Syeikh Abdullah Fahim mengajar ilmu tauhid di rumahnya di Kepala Batas dan di Pondok Tuan Haji Wan Sulaiman Wan Sidik di Alor Setar.
Ketinggian ilmu beliau bukan sahaja mendapat tempat di hati masyarakat umum, malah mendapat perhatian pihak istana apabila beliau diundang menjadi guru agama di Istana Besar Kedah selama empat tahun. Sultan Perak pula menjemput Syeikh Abdullah Fahim menjadi pengetua Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada tahun 1931.
Baca juga Tok Kenali, Bapa Serambi Mekah
Jasa Syeikh Abdullah Fahim tidak terhenti di bidang keilmuan Islam sahaja. Memetik penulisan Bernama, semangat nasionalisme Melayu mula meningkat sekitar tahun 1940. Menentang pembentukan Malayan Union, Syeikh Abdullah Fahim telah menubuhkan Persatuan Melayu Seberang Prai.
Beliau juga turut menggabungkan persatuan yang diterajuinya di bawah satu lambang perjuangan politik nasional iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Ramai orang Melayu di Kepala Batas, Butterworth dan Bukit Mertajam pada waktu itu sertai UMNO untuk perjuangkan kemerdekaan.
Pemilihan tarikh merdeka
Syeikh Abdullah Fahim terkenal dengan kepakaran beliau dalam bidang ilmu falak. Beliau juga dikatakan memiliki keistimewaan karamah iaitu mempunyai firasat yang tinggi dalam meramalkan sesuatu.
Suatu artikel dari Bernama mengatakan Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah beberapa kali mencari Syeikh Abdullah Fahim di rumah beliau untuk mendapatkan nasihat dalam isu politik.
Atas saranan Syeikh Abdullah Fahim, Tunku Abdul Rahman telah mengadakan pakatan bersama orang India dan Cina untuk mendapatkan kemerdekaan dari pihak British.
Ulama terkemuka itu juga menasihatkan Tunku berlepas ke London dengan menaiki kapal laut supaya wakil raja-raja Melayu mempunyai masa untuk berunding dan mencapai kata sepakat namun segera pulang dengan kapal terbang supaya tiada siapa sempat untuk mengubah fikiran terhadap keputusan yang telah dipersetujui.
Apabila Tunku meminta pendapat Syeikh Abdullah Fahim tentang tarikh kemerdekaan, tokoh ilmu falak itu memberikan tarikh 31 Ogos 1957 setelah membuat kiraan berdasarkan kalendar Islam. Tambah beliau, jika pihak British bersetuju dengan tarikh tersebut, nama bagi Persekutuan Tanah Melayu akan diubah dalam masa tujuh tahun.
Firasat Syeikh Abdullah Fahim terbukti benar apabila Persekutuan Melayu menjadi Malaysia pada 16 September 1963 setelah bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura.
Syeikh Abdullah Fahim meninggal dunia pada 27 April 1961 (1380 H) pada usia 92 tahun. Semangat mempelajari pelbagai ilmu serta jasa beliau dalam kemajuan sosial dan politik di negara membuktikan Syeikh Abdullah Fahim sebagai seorang ulama yang dinamik.
Moga-moga sumbangan dan dedikasi beliau dapat menjadi inspirasi kepada golongan pemimpin dan rakyat Muslim zaman kini.
Sumber: Bernama & Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2019 ke-3
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Foto: The Star, Konevi & Lucas Pezeta/Pexels