PENGURUSAN jenazah termasuk dalam perkara fardhu kifayah. Ia melibatkan memandikan dan mengkafankan badan orang Islam yang telah meninggal dunia sebelum solat jenazah dilakukan dan jenazah dikebumikan.
Bagi komuniti Islam di United Kingdom, sebelum melandanya Covid-19, tanggungjawab ini dipikul oleh generasi yang lebih berusia. Namun, kini ramai yang sedang berkurung di rumah untuk mengelakkan jangkitan Covid-19.
Berikutan itu, sebuah badan amal khusus dalam kematian, Supporting Humanity telah menganjurkan sebuah bengkel bagi melatih sukarelawan muda untuk menguruskan jenazah cara Islam.
Ketua Operasinya, Tahreem Noor, memberitahu BBC Asian Network bahawa inisiatif tersebut diambil apabila kadar kematian mula meningkat setelah terjadinya pandemik.
“Kami memerlukan lebih ramai sukarelawan untuk membantu menguruskan jenazah. Bahkan beberapa bengkel yang serupa juga ada dijalankan di kawasan lain di seluruh negara.”
Sementara itu pelatih dan pengurus jenazah dari Supporting Humanity, Salma Patel menjelaskan, mereka memerlukan sekitar enam sukarelawan untuk satu pengurusan jenazah.
“Sekatan Covid menyebabkan kebanyakan ahli keluarga tidak dibenarkan mengebumikan jenazah orang tersayang. Lantas, tanggungjawab menguruskan jenazah diberikan kepada sukarelawan seperti kami.
Jumlah jenazah yang diuruskan boleh mencapai tiga jenazah dalam satu hari ketika kemuncak pandemik. Kami juga kerap kali menerima panggilan untuk membantu menguruskan pengkebumian dalam masa yang singkat,” tambah Patel.
Pada awalnya, tidak banyak maklumat yang ada tentang Covid-19 dan risiko dijangkiti virus tersebut daripada jenazah. Banyak organisasi Islam, termasuk Majlis Muslim Britain (Muslim Council of Britain), telah mengeluarkan garis panduan tatacara pengurusan jenazah yang disyaki dan disahkan positif Covid.
Jabatan Kesihatan Awam England juga membenarkan pengurusan jenazah mengikut agama dengan syarat petugas memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan penjarakan sosial dilaksanakan.
Komuniti Asia Selatan adalah antara yang paling terkesan dengan wabak tersebut di Britain dengan beribu nyawa telah diragut oleh Covid-19.
Salah seorang peserta, Saffiyah mengambil keputusan menyertai bengkel pengurusan jenazah di kawasan East London itu.setelah beberapa orang ahli keluarganya maut akibat Covid.
Seorang lagi peserta, Khadijah, 23, berpendapat bahawa pengurusan jenazah penting untuk dipelajari demi generasi akan datang.
“Jika kita tidak pelajarinya, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menguruskan jenazah?”
Sekitar 90 wanita menghadiri bengkel yang diadakan khusus untuk muslimah di Pusat Komuniti Belgrave di East London. Mereka diajar cara memandikan dan mengkafankan jenazah menggunakan sebuah patung.
“Apabila seseorang itu meninggal dunia, mereka hanya dirujuk sebagai jenazah. Nama dan pangkat semuanya hilang,” ujar Farzana yang turut menganggap penyertaanya sebagai suatu pengalaman yang penting untuk meningkatkan keimanan diri.
Supporting Humanity berpendapat bahawa warga tua yang tidak lagi dapat menguruskan jenazah seperti biasa disebabkan pandemik memberikan kesedaran diri serta melihat skim ini sebagai cara orang muda boleh menyumbang kepada komuniti mereka.