OLEH ZAHARI MAHAD MUSA (Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
WARIS faraid ialah individu yang masih hidup dan bakal mewarisi harta pusaka. Mereka mempunyai salah satu sebab ikatan atau hubungan dengan si mati. Sebab utama yang masih wujud dan mengikat antara waris dan si mati ialah atas hubungan kerabat iaitu nasab dan perkahwinan.
Hal ini diperakui oleh Rasulullah SAW menerusi sabda baginda yang bermaksud: “Dan (ALLAH SWT) mewajibkan pewarisan sebagai satu hak kepada ahli waris selepas (kematian) kamu.“ (Hadis Riwayat Abu Dawud).
Setiap daripada kita seharusnya mengetahui status waris yang ada dalam keluarga masing-masing. Kefahaman yang jitu tentang waris faraid adalah sangat penting dalam mengurus sesuatu harta pusaka.
Penentuan waris dalam faraid adalah berbeza-beza kesan daripada perbezaan dalil dan sumber hukum. Mungkin selama ini kita hanya melihat keluarga yang terdekat untuk mendapat harta pusaka ialah ibu, bapa, suami, isteri, anak lelaki dan anak perempuan sahaja kerana mereka paling hampir dengan si mati.
Sedangkan ilmu faraid memperincikan setiap waris yang layak mahupun berhak. Mereka mempunyai status yang tersendiri untuk mendapat harta di dalam sesuatu kes kematian keluarga tersebut. Daripada sudut yang lain biasanya kita selalu mengatakan anak-anak kepada si mati sama ada lelaki atau perempuan adalah sama sahaja statusnya kerana mereka merupakan zuriat kepada si mati.
Namun dalam perbahasan faraid, anak lelaki dan anak perempuan mempunyai status atau kategori waris yang berbeza. Anak perempuan merupakan waris ashab al-furud (waris yang dapat bahagian tetap) dan boleh bertukar status sebagai waris ‘asabah (waris yang dapat lebihan pusaka). Sedangkan anak lelaki si mati hanya berstatus waris ‘asabah semata-mata dan tidak mungkin memperolehi faraid mengikut kadar-kadar yang tertentu.
Sandaran utama berkaitan agihan harta pusaka kepada setiap waris disebut oleh Rasulullah SAW melalui hadis baginda yang bermaksud: “Berilah kadar yang ditetapkan kepada waris yang berhak. Jika berbaki maka agihkan kepada waris lelaki yang utama.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Ilmuan fiqh berijtihad berdasarkan hadis tersebut tentang mereka yang berhak menerima pusaka mengikut susunan keutamaan. Penarafan waris dapat dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu: Waris ashab al-furud; ahli-ahli waris yang telah ditetapkan bahagian atau saham mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak.
Waris ‘asabah; ahli-ahli waris yang tidak dinyatakan bahagian mereka dalam harta pusaka sama ada melalui al-Quran atau as-Sunnah. Kadangkala mereka menerima semua harta pusaka, kadangkala baki dan kadangkala tidak memperolehi harta kerana harta pusaka telah dihabiskan oleh ahli waris ashab al-furud. Waris dhawi al-arham; ahli waris yang mempunyai hubungan kerabat atau darah dengan si mati selain daripada ahli waris ashab al-furud dan ‘asabah.
Dua kategori waris yang pertama iaitu waris ashab al-furud dan ‘asabah merupakan golongan yang disepakati untuk mendapat faraid apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga. Manakala kategori ketiga iaitu waris dhawi al-arham merupakan golongan yang diperselisihkan antara mazhab fiqh.
Amalan di Malaysia ketika ini berpihak kepada pendapat yang mengatakan bahawa waris dhawi al-arham tidak mendapat apa-apa daripada harta pusaka walaupun mereka sangat hampir dengan si mati, sebaliknya harta tersebut perlu diserahkan kepada Baitulmal.
Secara asasnya, waris yang disepakati untuk layak sebagai penerima harta pusaka iaitu mereka yang dalam kategori waris ashab al-furud dan ‘asabah ialah seramai 22 orang seperti dalam jadual (1).
Mereka terdiri daripada 14 waris lelaki dan lapan orang waris perempuan. Setiap satu daripada mereka mempunyai bahagian dan situasi tertentu dalam memperolehi habuan masing-masing. Peraturan yang ditetapkan dalam perundangan faraid ini menunjukkan tidak semestinya waris yang layak akan berhak untuk mendapat harta pusaka. Ada daripada mereka lebih utama berbanding yang lain. Kebiasaannya, mereka yang bersambung dengan si mati dengan susur galur paling hampir akan dijamin untuk mendapat faraid.