KEMENTERIAN Wakaf Mesir telah mengumumkan untuk menyatukan ratusan masjid baharu dalam Projek Azan di seluruh ibu negara Kaherah.
Projek itu dilaksanakan untuk menyelaras semua seruan azan bertujuan bagi menghindari pencemaran bunyi yang disebabkan terlalu banyak masjid melaungkan azan pada waktu yang berbeza.
Ketua Jabatan Pengurusan Strategik Pusat di Kementerian Wakaf, Amr Shoukry, mengesahkan bahawa 426 masjid baharu dimasukkan pada fasa pertama tahun ini. Ini menjadikan jumlah masjid yang akan diselaraskan waktu azannya sebanyak 3,538 buah.
Kementerian Wakaf juga berusaha untuk melaksanakan penyelarasan seruan azan di wilayah-wilayah lain di Mesir dengan penekanan untuk memperincikan perbezaan waktu untuk setiap wilayah.
Bekas Menteri Wakaf Agama, Mahmoud Hamdi Zakzouk adalah yang pertama mula melaksanakan projek itu di masjid-masjid besar di Kaherah.
Pada akhir tahun 2009, Mahmoud Hamdi telah mengambil inisiatif untuk menyelaraskan panggilan azan di semua masjid bagi mengatasi masalah panggilan solat pada waktu yang berlainan.
Projek ini pada awalnya mensasarkan 4,000 masjid di wilayah besar Kaherah, yang merangkumi Kaherah, Giza dan Qaliubiya.
Bagaimanapun, revolusi 25 Januari 2011 telah menggagalkan projek Azan Bersatu kerana menghadapi krisis besar, termasuk kes kecurian alatan azan di masjid.
Menteri Wakaf Agama Mohamad Mukhtar Gomaa menghidupkan semula idea itu pada tahun 2014, tetapi menghadapi masalah teknikal.
Pada tahun 2019, Gomaa mengumumkan bahawa projek itu akhirnya akan dilaksanakan juga.
Tetapi disebabkan oleh masalah teknikal yang berterusan, dimulai di 115 masjid sebagai fasa percubaan, kemudian berkembang hingga merangkumi ratusan masjid.
Projek ini bergantung pada kesatuan suara daripada muazim, mengikut waktu tempatan untuk setiap wilayah secara berasingan, dan itu adalah melalui isyarat siaran bersama di masjid melalui saluran tanpa wayar.
Sistem siaran dalam azan yang disatukan bercirikan jumlah mikrofon yang serata. Ia dibuat agar tidak mengganggu penduduk di daerah ini dan penduduk sekitarnya. Ini telah ditetapkan oleh jurutera suara, sehingga tidak ada yang dapat memanipulasi siaran dan tahap kelantangan.
Pekerja masjid sangat penting untuk menguruskan projek ini, kerana mereka akan membuka penerima lima minit sebelum azan dan kemudian menutup penerima setelah selesai.
Penerima terdiri daripada dua kepingan elektronik, dan unit logam cekung untuk menerima siaran, yang dipasang di bahagian atas masjid.
Sumber: Egypt Independent