SEBAGAI umat Islam, kita dituntut untuk sentiasa menuntut ilmu walaupun jaraknya jauh dan perlu berjauhan dengan keluarga. Kita juga tidak digalakkan untuk bermalas-malas dalam mencari ilmu dan dinasihatkan untuk tidak cepat berasa puas atau bangga dengan ilmu yang dimiliki.
Jika diperhatikan atau diselusuri sirah Islam sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW, kita akan mendapati bahawa golongan sahabat sangat mencintai ilmu lebih daripada diri sendiri.
Menerusi perkongsian oleh pendakwah bebas, Ustaz Elyas Ismail yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook page viralkuliahsuraukerjaraya, beliau berkata, orang-orang dahulu sangat teruja dalam mencari ilmu walaupun untuk mendapatkan sepotong hadis.
Menurut agamawan itu, sirah telah merekodkan seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Abu Ayyub Al-Ansari RA sanggup berjalan dengan merentas lautan sehingga 1,472 kilometer (KM) demi untuk mendapatkan sepotong hadis daripada baginda.
“Perjalanan dari Madinah ke Mesir ini jika dihitung sekarang adalah bersamaan 17 jam tanpa lampu isyarat. Betapa kuatnya semangat Abu Ayyub Al-Ansari RA, sungguh berkobar-kobar dalam menuntut ilmu.
“Hadis yang dituntut daripada Nabi Muhammad SAW itu bermaksud: “Sesiapa yang menutup aib sseeorang yang beriman maka ALLAH akan menutup aibnya di akhirat nanti,” katanya.
Ujar Ustaz Elyas, cara orang terdahulu dalam mencari ilmu sungguh berbeza dengan kaedah yang kita gunakan hari ini.
Justeru, beliau mengakui ilmu-ilmu orang terdahulu berkatnya sampai hari akhirat kerana perolehan ilmu itu diraih dengan penuh kesungguhan tanpa mengenal erti penat dan lelah.
“Sungguh! Perjuangan jihad mereka terhadap ilmu sungguh luar biasa. Kita yang perlu bermuhasabah dengan kegigihan mereka mendapatkan ilmu,” ujarnya lagi.