KITA masih lagi dalam mood tahun baharu Islam. Barangkali ada yang menyimpan azam untuk membanyakkan berpuasa sunat pada tahun ini.
Alhamdulillah, semoga niat suci itu dapat dilaksanakan dengan penuh istiqamah untuk proses transisi diri menjadi insan yang lebih baik di sisi-NYA.
Bercakap tentang puasa sunat, ketahuilah bahawa Muharam merupakan bulan Islam yang digalakkan untuk berpuasa.
Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas daripada puasa di bulan Ramadan adalah puasa di bulan Muharam.” (Riwayat Muslim)
Menghuraikan hadis berkenaan, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menukilkan pandangan al-Hafiz Ibn Rajab yang menjelaskan bagaimana baginda SAW menyandarkan bulan Muharam dengan panggilan bulan ALLAH SWT.
“Ia menggambarkan kelebihan yang ada padanya termasuklah kelebihan apabila kita berpuasa.
“Menurut al-Hafiz Ibn Hajar lagi, bulan Muharam ialah bulan yang terbaik untuk membanyakkan puasa sunat.
“Kata beliau; ‘Dan berkata Ibn Hajar: Para imam kami menjelaskan bahawa bulan yang terbaik untuk menunaikan puasa sunat adalah puasa pada bulan Muharam’,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada hari ini.
Meskipun kita digalakkan berpuasa sepanjang bulan Muharam, namun Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, terdapat nas khusus yang menceritakan kelebihan berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam).
Baca juga Berpuasa, Tetapi Tak Solat
Ujar beliau, Mulla Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih menjelaskan bahawa hadis riwayat Muslim tadi seakan-akan merujuk kepada puasa hari Asyura nanti.
“Namun secara zahirnya, teks (matan) hadis itu merujuk secara umum kepada keseluruhan masa dalam bulan Muharam.
“Justeru, perbanyakkan amalan berpuasa pada bulan Muharam seperti yang disebutkan oleh baginda SAW,” katanya.
Memetik laporan disiarkan liputan6.com, pada 10 Muharam, terdapat banyak peristiwa penting yang berlaku dalam Islam.
Ketika itulah manusia pertama iaitu Nabi Adam AS diciptakan. Begitu juga dengan kelahiran Nabi Ibrahim, selain Nabi Ayub AS disembuhkan daripada penyakit ditanggungnya.
Begitupun, persoalan yang sering menghantui ramai berkaitan puasa hari Asyura adalah sama ada ia boleh ditunaikan secara tunggal mahupun perlu ada ‘kawan’?
Ini kerana golongan Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharam secara tunggal.
Menjawab persoalan itu, memetik artikel Irsyad al-Fatwa ke-135: Adakah Puasa 10 Muharam Perlu Disertai Dengan Hari Selepasnya yang disiarkan oleh laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, umat Islam disunatkan untuk berpuasa sama ada pada 9 Muharam atau 11 Muharam berserta dengan puasa hari Asyura (10 Muharam).
“Ia dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi,” jelasnya.
Kepada mereka yang berhajat untuk berpuasa pada hari Asyura yang jatuh pada hari Khamis ini, jangan lupa juga untuk berpuasa sama ada pada sehari sebelum (hari Tasu’a) atau sehari selepasnya.
Foto: Freepik