PASUKAN bola sepak Les Hijabeuses telah menghantar mesej ‘Hands off My Hijab’ (Lepaskan tudung saya) kepada Persekutuan Bola Sepak Perancis agar tidak menghalang minat mereka dalam sukan berkenaan.
Hawa Doucoure dan rakan sepasukannya menghantar mesej itu dengan mengharapkan dalam masa yang sama kerajaan Perancis turut peka tuntutan mereka.
“Kami kuat bersama dan kami akan berjuang hingga ke akhirnya. Kami akan memperjuangkan sehingga setiap wanita dapat kebebasan dan keselesaan terhadap sukan yang ingin setiap mereka mainkannya,” kata Doucouré, 19, kepada ABC News.
Les Hijabeuses adalah kumpulan bola sepak wanita Perancis yang telah ditubuhkan tahun lalu dan berjuang untuk dimasukkan ke dalam pertandingan rasmi.
Kata Doucoure, walaupun Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah membenarkan pemakaian tudung ketika pertandingan sejak 2014, namun Persekutuan Bola Sepak Perancis tetap melarangnya dalam pertandingan kelab mahupun peringkat antarabangsa.
“Ini adalah tuntutan untuk mempromosikan dan mempertahankan nilai-nilai sekularisme agar semua masyarakat dapat hidup bersama, tidak berkecuali dan memerangi semua bentuk diskriminasi,” tambahnya.
Permintaan kumpulan itu adalah untuk perubahan yang menjadi sebahagian daripada gerakan terhadap larangan negara yang melarang simbol, pemakaian, niqab dan burqa.
Terbaharu kerajaan Perancis ingin melakukan pindaan terhadap undang-undang dengan mencadangkan larangan kepada kanak-kanak di bawah umur tidak dibenarkan memakai tudung di khalayak ramai.
Perancis ketika ini juga melarang pekerja awam dan pelajar sekolah memakai simbol agama, kecuali di universiti. Cadangan itu juga dibahas termasuk larangan ibu Muslim yang memakai jilbab untuk menghantar anak ke sekolah dan wanita Muslim yang memakai burkini di kolam awam. Begitupun cadangan itu ditolak mengikut perundangan antarabangsa.
Rim-Sarah Alouane, seorang peguam dan penyelidik kebebasan beragama yang tinggal di Toulouse, menyatakan, ‘topik itu akan terus dimainkan’.
“Ketika Perancis mengadakan salah satu sambutan upacara pembukaan, sekumpulan wanita Perancis telah mengelilingi seorang wanita Muslim yang memakai tudung. Mereka memaksa wanita itu untuk menanggalkan tudungnya dengan paksaan, lalu mereka berkata, “sekarang anda diterima dalam masyarakat kita”, kata Alouane.
Pada masa ini tidak ada undang-undang di Perancis secara khusus melarang tudung dalam pertandingan sukan. Les Hijabeus mengatakan bahawa mereka belum mendapat maklum balas dari Persekutuan Bola Sepak Perancis mengenai mengapa ia melampaui peraturan undang-undang untuk menyekat pemakaian tudung dalam pertandingan sukan rasmi walaupun FIFA mengizinkannya.
Kerajaan Perancis mengatakan bahawa undang-undang itu atas faktor keselamatan dan sekularisme. Undang-undang tersebut memperkuat kemampuannya untuk mematuhi prinsip-prinsip berkecuali dalam institusi kerajaan.
Namun, pengkritik berpendapat bahawa undang-undang itu akan terus menimbulkan perkauman dan diskriminasi di Perancis yang merupakan ‘rumah’ bagi penduduk Muslim terbesar di Eropah Barat.
Negara itu telah menyaksikan kenaikan golongan Islamfobia yang membimbangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh serangan pengganas oleh pelampau Islam baru-baru ini dan pengukuhan politik sayap kanan.
Doucouré dan rakan sepasukannya adalah sebahagian daripada pergerakan atlet wanita di seluruh dunia yang mencabar norma patriarki untuk berpakaian dengan cara tertentu semasa pertandingan.
Pada Sukan Olimpik Tokyo, pasukan gimnastik wanita Jerman mengenakan seluar panjang dan bukannya pakaian ketat yang biasa digunakan sebelum ini. Sementara itu, pasukan bola baling wanita Norway memakai seluar pendek dan bukannya bikini di pertandingan Beach Handball EURO 2021.
Pasukan gimnastik wanita Jerman telah mematuhi peraturan yang ada di bawah Persekutuan Gimnastik Antarabangsa dan dengan itu tidak menghadapi akibatnya. Pasukan bola baling wanita Norway, bagaimanapun, didenda 1,500 euro (kira-kira USD 1,700) oleh Suruhanjaya Tatatertib Bola Baling Pantai EURO 2021 kerana ‘pakaian yang tidak sesuai’.
Sumber: ABC News