Pelancong dari pelbagai negara yang telah divaksinasi sepenuhnya dibenarkan untuk memasuki Arab Saudi tanpa perlu dikuarantin.
Mereka hanya perlu menunjukkan sijil vaksinasi yang lengkap ketika tiba di pintu masuk negara itu kepada pihak berkuasa sempadan berkuatkuasa mulai 1 Ogos ini (Ahad)
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi, mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya adalah mereka yang telah menerima dua dos vaksin yang dipersetujui buat masa ini oleh kerajaan iaitu Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson & Johnson.
Pelancong diminta untuk mengisi data berkaitan dengan dos vaksinasi di portal elektronik. Data itu akan disimpan melalui aplikasi ‘Tawakkalna’ dan harus ditunjukkan untuk memasuki tempat awam.
“Kami mengalu-alukan kedatangan pelancong dan kami sangat gembira menerima tetamu kerajaan setelah dihalang seketika akibat wabak coronavirus,” kata Menteri Pelancongan, Ahmed Al-Khatib.
“Kami mahu fokus semula pada usaha kami sebelum ini yang terhenti kembali bekerjasama dengan rakan dalam semua sektor. Ia bagi memastikan tetamu kerajaan berasa selamat dan selesa menikmati percutian mereka ke negara ini.
“Pelancongan umpama ‘harta karun’ nikmatilah penjelajahan ke pelbagai destinasi penting yang ada di negara ini seperti mercu tanda, pengalaman pelancongan yang unik dan belajar tentang budaya kemurahan hati serta keramahan yang menjadi ciri masyarakat Saudi, ”tambahnya.
Riyadh telah menghabiskan berbilion-bilion dana untuk membangun industri pelancongan dari awal, sebagai usaha untuk mempelbagaikan ekonomi yang selama ini hanya bergantung kepada sektor minyak.
Kerajaan Arab Saudi mula mengeluarkan visa pelancong untuk pertama kalinya pada tahun 2019, sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki imej globalnya dan menarik pengunjung.
Pandemik Covid-19 juga telah mengganggu urusan haji dan umrah yang biasanya menyumbang pendapatan utama kerajaan melebihi USD12 bilion dolar setiap tahun.
Pada ketika ini hanya pengunjung yang sudah divaksinasi sepenuhnya dan tinggal di Arab Saudi sahaja dibenarkan melaksanakan ibadah umrah.
Kerajaan telah mempercepatkan proses vaksinasi ke seluruh negara untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan dan berhasrat untuk menjadi tuan rumah untuk pelbagai acara seperti sukan dan hiburan.
Sumber: Arab News