Browsing Tag

Zikir untuk orang sibuk

Zikir untuk orang sibuk
Gaya Hidup,

Ini zikir untuk orang sibuk, ringkas tapi berat dalam timbangan

SELALU sahaja ungkapan sibuk terluncur dari bibir setiap kali kita beralasan. Bukan sahaja dalam urusan rutin, tetapi juga ketika melunaskan suatu pekerjaan.

Bahkan, adakalanya alasan sibuk juga menjadi sebab-musabab kita tidak boleh melakukan ibadah sunat ringkas seperti berzikir.

Hakikatnya, semua orang dikurniakan masa selama 24 jam untuk menguruskan rutinnya untuk diri dan insan di sekelilingnya, di samping menunaikan hak ALLAH SWT.

Hanya cara memanfaatkan dan mengurus masa yang membezakan setiap orang dalam kalangan kita.

Ketahuilah, terdapat zikir untuk orang sibuk yang boleh kita amalkan saban hari.

Baca juga Kedudukan Zikir Sangat Tinggi Berbanding Amalan Lain, Tapi Ramai Yang Pandang Remeh

Ia dikongsikan oleh pendakwah Ustazah Hamidah Ab Razak atau lebih dikenali sebagai Da’i Hamidah menerusi perkongsian di Instagram miliknya.

DA’I HAMIDAH

Meskipun singkat, jelas beliau, namun pahalanya berganda-ganda.

Zikir yang dimaksudkan itu berbunyi سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ: عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ (Subhanallahi wa bihamdihi ‘adada kholqihi, wa ridha nafsihi, wa zinati ‘arshihi, wa midada kalimatih).

Maksudnya: MAHA SUCI ALLAH, aku memuji-NYA sebanyak bilangan makhluk-NYA, menurut keredaan-NYA, seberat timbangan Arasy-NYA dan sebanyak tulisan kalimah-NYA.

Ujar Dai Hamidah, ia juga dikenali sebagai ‘zikir Juwairiyah’ iaitu isteri Rasulullah SAW. Baginda yang mengajarkannya kepada ummul mukminin itu.

Sebenarnya, terdapat kisah menarik di sebaliknya tentang zikir berharga tersebut, ungkapnya.

Baca juga Zikir yang memenatkan 70 malaikat mencatatnya “Jazallahu Anna Sayyidina Muhammadan….”

Ketika Nabi Muhammad SAW ingin keluar untuk menunaikan solat Subuh, baginda melihat Juwairiyah sedang berada di tempat solatnya.

“Apabila pulang selepas waktu duha, Baginda melihat Juwairiyah masih di tempat yang sama. Bayangkan dalam tempoh waktu yang lama itu, Juwairiyah kekal di tempat solatnya tadi,” katanya.

Rasulullah SAW lantas bertanyakan kepada isteri Baginda: “Apakah kamu masih seperti ini ketika aku keluar tadi?”

Juwairiyah menjawab: “Ya.”

Lalu Baginda SAW bersabda: “Sungguh, aku mengucapkan setelahmu empat kalimah sebanyak tiga kali. Jika kalimah ini ditimbang dengan ucapan yang engkau ucapkan sejak tadi, pasti ia akan menyamai timbangannya. Ia adalah Subhanallahi wa bihamdihi ‘adada kholqihi, wa ridha nafsihi, wa zinati ‘arshihi, wa midada kalimatih.” (Hadis Riwayat Muslim, at-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah)

Zikir untuk orang sibuk

WALAUPUN kita tidak sibuk dan boleh membaca zikir-zikir yang lain, tetap amalkan ‘zikir untuk orang sibuk’ atau zikir Juwairiyah itu kerana kelebihan yang ada padanya. -Foto: 123rf

Melihat kepada hadis sahih yang direkodkan dalam kitab masyhur Riyadus Solihin itu, Da’i Hamidah menjelaskan, betapa ruginya andai kita tidak melazimkannya saban hari.

“Setidak-tidaknya, masukkan ia sebagai senarai azam kita. Setiap kali selepas menunaikan solat Subuh, kita istiqamah baca zikir ini kerana pahalanya yang berganda.

“Kepada wanita atau sesiapa sahaja yang selalu kata sibuk dan sibuk, ayuhlah kita hafal zikir ini. Barangkali ada hari-hari tertentu yang kita tidak sempat berzikir panjang,” katanya.

Baca juga Zikir ketika terjaga waktu malam yang dapat menghapuskan dosa 

Walaupun kita tidak sibuk dan boleh membaca zikir-zikir yang lain, namun pendakwah itu menyarankan agar kita tetap mengamalkannya tanpa jemu kerana kelebihan yang ada padanya.

“Mudah-mudahan orang yang berzikir tanpa lelah, maka hidupnya akan dilimpahkan barakah, rahmat dan pelbagai keistimewaan khusus asbab dia istiqamah mengingati Sang Pencipta,” ungkapnya.

Zikir untuk orang sibuk

TERLALU banyak manfaat dan imbalan apabila kita sering mengingati ALLAH SWT. -Foto: 123rf

Sementara itu, memetik artikel yang disiarkan laman web Indahnya Islam, al-Qastalani menjelaskan, zikir Juwairiyah mengandungi empat elemen utama yang meliputi hitungan jumlah makhluk, keluasa reda ALLAH, timbangan Arasy dan jumlah kalimah-NYA.

Bukan itu sahaja, menurut Mulla Ali al-Qari, mereka yang mengungkapkan zikrullah itu akan memperoleh pahala yang luas sepanjang hari (atau sepanjang pagi atau lebih).

“Kalimah zikir yang diajarkan Baginda SAW akan melampaui zikir-zikir yang dibaca oleh engkau (wahai Juwairiyah) bahkan lebih banyak pertambahan dari sudut ganjaran dan pahala.” (Mirqah al-Mafatih)

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.