Browsing Tag

tanggungjawab seorang anak

Ibu bapa
Gaya Hidup,

Lakukan 5 perkara ini untuk ibu bapa sebelum kita menyesal

BERUNTUNGLAH kepada yang masih punya ibu bapa. Ini kerana ‘syurga’ mereka berada di depan mata.

Peluang untuk berbakti kepada orang tua masih terbentang luas. Malah, titipan doa mereka yang sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita akan memberkati hari-hari sang anak di dunia ini.

Sebelum insan-insan kesayangan kita pergi dijemput Ilahi, ayuh sama-sama kita mengaudit diri terhadap layanan dan khidmat yang dicurahkan kepada ibu bapa.

Pendakwah Ustaz Muhamad Rizal Johari berkongsikan 5 perkara yang perlu kita lakukan terhadap orang tua kita sebagaimana disiarkan dalam hantaran laman sosial Facebook miliknya.

Ayuh sama-sama kita lakukan perkara ini sebelum menyesal pada kemudian hari;

1. Jangan sesekali tinggal doa untuk ibu bapa kita setiap hari.

Baca juga [VIDEO] Boleh doakan ibu bapa yang bukan Islam, tapi…

Tidak kiralah sama ada orang tua kita masih hidup atau sudah meninggal dunia, doakanlah untuk mereka setiap hari. Ia bagi menjadikan kehidupan kita berkah.

Ibu bapa

SAMA ada ibu bapa kita masih hidup atau sudah meninggal dunia, jangan tinggalkan doa buat mereka pada setiap hari. -Foto: Bernama

Doa yang dianjurkan: اَللّهُمَّ اغْفِرْلِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَاكَمَارَبَّيَانِيْ صَغِيْرَا (Allahummaghfirli wa liwaalidayya war hamhuma kama rabbayani saghira)

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampunilah daku dan kedua orang tuaku dan sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangiku di waktu aku kecil.”

2. Selalulah minta keredaan daripada ibu ayah kita.

Jangan lepaskan peluang itu selagi mereka masih berada bersama kita. Andai tidak dapat pulang ke kampung, setidak-tidaknya bertanyalah khabar mereka jika duduk jauh dari kita dan mohon kedua-dua orang tua mendoakan kita.

Ketahuilah, doa orang tua ini, masya-ALLAH sangat makbul.

3. Salam, peluk dan cium mereka.

Bagi mereka yang masih ada ibu bapa, jangan sampai kita tidak salam, peluk ataupun mencium ibu bapa masing-masing. Kita akan menjadi anak yang paling teruk jika tidak berbuat demikian.

Walaupun orang tua kita tidak seperti ibu ayah yang lain, tetaplah sayangi mereka. Tidak kiralah siapa pun mereka, jalankanlah tugas kita dalam menyantuni mereka.

Ibu bapa

SALAM, peluk dan ciumlah ibu bapa masing-masing selagi ‘syurga’ kita itu masih ada di dunia ini. -Foto: 123rf

Sekalipun mereka bukan Islam, ia bukan tiket untuk kita menderhaka. Sebaliknya sebagai anak, kita wajib berbuat baik kepada mereka.

4. Jangan kedekut bersedekah kepada ibu dan ayah kita.

Baca juga Menantu Wajib Beri Nafkah Pada Mertua? Ini Yang Perlu Kita Tahu

Setiap kali dapat gaji, sisihkan sedikit wang kita untuk mereka. Insya-ALLAH berkat rezeki kita nanti.

5. Bersabar andai terasa hati dengan mereka.

Adakalanya seorang anak terasa hati atau mungkin terguris dengan perbuatan ibu bapa masing-masing. Namun begitu, tahanlah hati kita dengan bersabar dan cepat-cepat tawan semula hati mereka.

Jangan dibiarkan berlarutan, apatah lagi memulaukan mereka. Satu lagi, usah pula kita yang merajuk. Ini sangat tidak betul!

Sedangkan jika kita berkata ‘ah!’ pada mereka pun, ALLAH SWT sudah haramkan syurga buat kita, inikan pula kita merajuk dengan ‘sumber’ jannah kita.

Ibu bapa

BERSABARLAH andai kita terasa hati atau terguris dengan perilaku orang tua kita. -Foto: 123rf

Baca juga Adakah dikira derhaka jika tegur ibu bapa lakukan kesalahan?

Maka berhati-hatilah dengan tone atau nada suara kita apabila bercakap dengan mak ayah kita.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustaz Muhamad Rizal yang juga penulis buku kerohanian menitipkan pesan bahawa reda kedua ibu bapa merupakan prasyarat untuk kita ke jannah.

“Jika ibadah kita baik sekalipun, tetapi hubungan kita dengan mak ayah tidak baik, maka kita tetap akan binasa,” titipnya.

***Foto: Canva