Browsing Tag

raya korban

Daging korban dijual
Hukum,

Bolehkah daging korban yang diterima dijual gara-gara terdesak?

RAMAI yang menerima agihan daging korban pada musim raya haji ini. Maklum sahajalah, boleh dikatakan setiap kariah masjid atau surau pasti akan menumbangkan haiwan korban.

Kepada golongan fakir miskin, sudah tentu mereka ialah insan paling utama untuk menerimanya. Begitu juga dengan golongan yang memerlukan.

Demikianlah yang sebaik-baiknya kerana ia merupakan matlamat utama ibadah tersebut dikerjakan.

Bagaimanapun, dek kerana kesukaran tertentu yang dialami, ada insan yang terpaksa menjual daging korban. Semuanya gara-gara memerlukan wang yang begitu mendesak.

Bolehkah daging korban yang diperoleh itu dijual? Apakah perspektif Islam tentangnya?

Baca juga Boleh ke buat kenduri kahwin dan jamu tetamu makan daging korban?  

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perbuatan menjual semula daging korban yang diperoleh adalah dilarang andai penerimanya terdiri daripada orang kaya.

Daging korban

DAGING korban dilarang dijual semula andai penerimanya terdiri daripada orang kaya. -Gambar hiasan/ Foto: Bernama

“Akan tetapi, jika penerimanya ialah golongan miskin, maka ia dibenarkan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad al-Fatwa Haji dan Korban Siri ke-41: Hukum Menjual Daging Korban.

Ia selari dengan pandangan Habib Abdul Rahman al-Ba’lawi yang menyatakan dalam kitabnya, al-Bughyah al-Mustarshidin bahawa: “Bagi golongan yang fakir, membelanjakan bahagian korban yang diterimanya walaupun seperti menjual barang diterima, kerana telah menjadi miliknya, berbeza dengan golongan yang kaya, tidak dibenarkannya untuk melakukan perkara seperti menjualnya, namun ia boleh menggunakan bahagian korban yang diberikan itu dengan cara dimakan, sedekah dan menjamu tetamu walaupun mereka kaya, ini kerana kedudukannya seperti orang yang melakukan korban.”

Ketahuilah bahawa kita dilarang sama sekali menjual apa-apa bahagian daripada haiwan korban kecuali dalam situasi penerima yang merupakan seorang fakir miskin sebagaimana dinyatakan di atas.

Baca juga Tak boleh simpan daging korban lebih 3 hari? Ini penjelasan agamawan…

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perkara itu ada dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab yang menyatakan, para ulama di sisi Mazhab Syafie melarang umat Islam daripada menjual apa-apa bahagian dalam binatang korban.

“Hal itu termasuklah sama ada ia melibatkan ibadah korban sunat atau nazar.

“Larangan tersebut bukan setakat melibatkan daging korban, tetapi juga lemak, kulit, tanduk dan lain,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.