Browsing Tag

Mengejek dosa orang lain

Mengejek dosa orang lain
Gaya Hidup,

Jangan mengejek dosa orang lain, hati-hatilah kerana ejekan itu boleh berbalik kepada kita

Jangan mengejek dosa orang lain, hati-hatilah kerana ejekan itu boleh berbalik kepada kita

MULUT kadangkala begitu lancang dalam berbicara. Apatah lagi melihat dosa dilakukan oleh orang lain secara terbuka.

Sedar atau tidak, bibir mula menuturkan sesuatu yang kurang enak termasuk mengejek pelakunya. Perbuatan itu juga sebenarnya boleh menjebakkan kita ke lubuk dosa.

Mengata orang lain meskipun individu berkenaan sememangnya berbuat kesalahan. Tidak perlulah kita mengejeknya apalagi mengeji mereka, sebaliknya tegurlah secara berhemah sebagaimana diajar oleh agama Islam.

Baca juga Tegur kesalahan secara terang-terangan dikira mengaibkan orang lain?

Ketahuilah bahawa ejekan yang dilemparkan tersebut boleh kembali atau terpalit semula pada kita.

Dalam hadis Riwayat Imam at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengejek saudara seagamanya atas dosa yang dilakukannya, maka dia tidak akan meninggal dunia kecuali dia diuji melakukan dosa tersebut.”

Menurut Imam Ahmad, para ulama menyatakan, ia merupakan dosa orang lain yang telah bertaubat daripadanya.

Mengejek dosa orang lain

JAUHI sikap suka mencela, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya. -Foto: 123rf

Demikian menurut artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-721: Benarkah Orang yang Mengejek Dosa Orang Lain Akan Diuji dengan Dosa yang Sama Sebelum Meninggal Dunia, yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menerusi artikel tersebut, pejabat mufti berkenaan menjelaskan, selain hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi itu, para ulama juga ada yang mensyarahkan maksud yang sama dengan hadis tersebut.

“Ini kerana perbuatan tersebut disertai dengan perasaan ‘ujub terhadap diri sendiri, mendakwa dirinya suci daripada dosa berkenaan dan tidak akan melakukan selama-lamanya.

“Oleh itu, hendaklah kita menjauhi diri daripada perbuatan mengejek dan mencela dosa orang lain agar tidak termasuk dalam ancaman hadis tersebut,” katanya.

Baca juga Sesuka hati ‘body shaming’ ibarat menghina ciptaan ALLAH

Seperkara lagi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perbuatan mengejek salah orang lain dengan menganggap diri sendiri suci daripada dosa berkenaan sebenarnya adalah lebih besar dosanya berbanding dosa orang tersebut.

Ibn Qayyim menukilkan: “Sesungguhnya dosa perbuatan kamu mengejek saudaramu atas dosa yang dilakukannya adalah lebih besar daripada dosanya dan lebih teruk daripada maksiatnya tersebut. Ini kerana ia terkandung sifat menganggap diri sendiri sentiasa akan berada dalam ketaatan, suci daripada maksiat, mensyukuri dosa itu tidak berlaku ke atasnya serta mendakwa dirinya tidak akan melakukan dosa tersebut.” (Madarij al-Salikin)

Mengejek dosa orang lain

PELIHARALAH tutur kata ketika berbicara. -Foto: Pexels

Justeru, berhati-hatilah dengan ejekan mahupun celaan kita. Boleh jadi dosa perbuatan kita lebih besar daripada individu yang diumpatnya tadi.

Baca juga Hati-hati bila berbicara, ini 3 jenis kaki sembang dibenci Rasulullah SAW

Siapalah kita untuk menilai mereka. Sedangkan kita sama-sama merupakan seorang hamba kepada Sang Pencipta yang akan dijemput menemui-NYA pada bila-bila masa sahaja.

Hargailah kesempatan yang ada di dunia ini untuk terus melakukan amal soleh dan kebaikan semata-mata kerana ALLAH SWT. Moga ia menjadi tuaian yang berguna pada hari akhirat kelak.