Browsing Tag

Membalas pemberian orang

Membalas pemberian orang
Gaya Hidup,

Orang memberi kita merasa, tapi wajib ke kita membalas pemberian orang?

Orang memberi kita merasa, tapi wajib ke kita membalas pemberian orang?

KATA peribahasa Melayu, ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’.

Berkongsi dan menghulur buah tangan berbentuk makanan kepada jiran atau kenalan sememangnya merupakan amalan mulia. Begitu juga dalam soal pemberian hadiah dan lain-lain.

Tidak dinafikan memang ada dalam kalangan tetangga mahupun handai taulan kita yang begitu kerap memberi itu dan ini.

Kadangkala naik segan juga dibuatnya kerana kita tidak pernah pun membalasnya. Sedangkan, pemberi tadi langsung tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Baca juga 7 adab yang diajar Islam saat terima hadiah

Cuma ada ketikanya, perkara itu menimbulkan salah faham kepada penerima sehingga dia menganggap pemberian tadi perlu dibalas semula.

Sebenarnya, wajibkah kita balas semula pemberian orang lain?

Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, memberi hadiah kepada jiran, rakan dan sanak saudara pada asasnya merupakan perkara yang sangat digalakkan dalam Islam.

DR SYED SHAHRIDZAN

Ini kerana katanya, ia boleh menjalin kasih sayang dan mengutuhkan silaturahim.

Baca juga Bolehkah menjual hadiah yang diterima? Ini penjelasannya

Rasulullah SAW ada memerihalkan perkara tersebut dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah agar kamu saling kasih mengasihi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Adab Mufrad)

“Bagaimanapun, biarlah setiap pemberian kepada seseorang hendaklah diniatkan ikhlas kerana ALLAH SWT tanpa mengharapkan balasan duniawi daripada penerima hadiah.

“Andai kata, penerima hadiah tersebut membalas kembali, maka ia tidaklah menjadi kesalahan untuk si pemberi tadi untuk menerima balasan tersebut. Malah, individu tersebut juga tidak digalakkan untuk menolaknya,” terangnya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

Ketahuilah bahawa perbuatan menerima dan membalas semula hadiah itu sebenarnya merupakan amalan Rasulullah SAW.

Pendakwah itu kemudian mengemukakan hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidah Rubayyi’ bintu Mu’awwidz RA yang berkata: “Aku datang menemui Rasulullah SAW dengan membawa sepinggan buah tamar yang basah dan timun kecil, lalu Baginda memberikan kepadaku perhiasan dan emas sepenuh tapak tangannya.” (Hadis Riwayat Ahmad & at-Tirmizi dalam Syamail)

Membalas pemberian orang

PERBUATAN menerima dan membalas semula pemberian orang atau hadiah merupakan amalan Rasulullah SAW. -Foto: Freepik

Dalam satu lagi riwayat lain, Sayyidah Aisyah RA berkata: “Nabi Muhammad SAW menerima hadiah dan membalas kembali hadiah itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & at-Tirmizi dalam Syamail)

Baca juga Tiga pemberian yang kita tidak boleh tolak, antaranya minyak wangi

Melihat dalil-dalil berkenaan, ujar Dr Syed Shahridzan, jelaslah bahawa tidak menjadi kesalahan andai kita membalas semula bingkisan yang dikirimkan kepada kita kerana ia juga merupakan sunnah Rasulullah SAW.

Kepada para pemberi hadiah, beliau mengingatkan, tidaklah menjadi suatu perkara wajib untuk mereka menyatakan atau memberi isyarat kepada penerima agar tidak membalas kiriman tersebut.

“Jika si penerima membalasnya, maka kita digalakkan untuk menerimanya.

“Dari satu segi, penerima hadiah perlu berbaik sangka kepada pemberi bahawa ia dilakukan ikhlas kerana ALLAH tanpa bermatlamatkan balasa setimpal pada masa akan datang,” titipnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Freepik