Browsing Tag

Berkira

Terlalu berkira
Gaya Hidup,

Kalau terlalu berkira, jangan pelik rezeki akan makin sempit

SEGELINTIR orang terlalu berkira dengan harta yang ada. Walhal, mereka sendiri sudah maklum bahawa semua itu kurniaan daripada ALLAH SWT.

Takut, bimbang dan terasa seolah-olah tidak cukup jika berkongsi dengan orang lain. Semua perasaan negatif itu bersemayam dalam diri.

Apabila dikatakan tamak, mereka menafikannya. Andai dilabel kedekut ‘tahi hidung masin’, marah pula. Tidak pastilah apa istilah sesuai terhadap kelompok berkenaan.

Hakikatnya, segala apa yang dikecapi sepanjang hayat, semuanya merupakan pemberian ALLAH SWT yang tidak terhitung jumlahnya. Bahkan, DIA tidak pernah meminta kita untuk ‘membayarnya’ semula.

Ia bukan hanya berkait soal wang sahaja, tetapi turut melibatkan hal lain.

Baca juga Jangan terlalu berkira dengan isteri, suami kedekut jauh dari syurga

Pendakwah Ustazah Asmak Husin mengingatkan, andai kita berkira dengan ALLAH, ia sebenarnya menjadi punca rezeki sempit.

USTAZAH ASMAK

Malah, ia antara satu perkara yang menyebabkan apa yang diperoleh tidak berkat dan tidak pernah cukup, ungkapnya.

“Ramai di antara kita yang berkira-kira dengan ALLAH SWT. Contohnya, kalau ALLAH beri sedikit, kita banyak bersoal jawab. Begitu juga dalam hal berkaitan ibadah kepada-NYA untuk menyelesaikan tanggungjawab kepada agama.

“Kita banyak berkira sehinggakan terbit rasa rugi untuk membantu dalam membuat kerja-kerja kebaikan termasuklah menolong orang lain,” katanya sebagaimana dinyatakan dalam video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

Penceramah tersohor itu kemudian mengemukakan pandangan dalam Kitab Kurnia Rabbani Limpahan Rahmani yang jelas menyatakan, rezeki akan hilang jika berkira dengan ALLAH.

“Bahkan, ALLAH juga akan berkira-kira dengan kelompok berkenaan.

“Sedikit pun DIA tidak kisah dengan kekayaan, kesihatan, kehebatan, kepandaian dan kecantikan milik kita. Hatta andai kita tidak beribadah kepada-NYA, DIA juga tidak hairan.

“Bukannya ALLAH rugi, tetapi kitalah yang tidak untung kerana kita hidup terlalu banyak bergantung kepada-NYA,” katanya.

Terlalu berkira

SETIAP daripada kita sudah ditentukan rezeki masing-masing oleh ALLAH SWT dan janganlah terlalu berkira dengan kurniaan-NYA itu. -Foto: 123rf

Ketahuilah bahawa setiap daripada manusia sudah ditetapkan oleh Sang Pencipta akan rezeki masing-masing.

Baca juga Rezeki pasti hadir bila utamakan suruhan agama

Bezanya, jelas Ustazah Asmak, hanya banyak atau sedikit sahaja.

Malangnya, kita kadangkala tidak percaya dengan takdir-NYA itu sehingga merasakan rezeki kurniaan-NYA sempit dan membuatkan diri dalam kerungsingan.

“Khuatir jika kita habiskan masa untuk beribadah kepada ALLAH, membangunkan keluarga, menafkahi keluarga, membantu ummah dan orang lain, kita akan rasa rugi dan bahagian diri tidak cukup.

“Mengertilah, semua itu sebenarnya termasuk dalam bab berkira-kira dengan rezeki ALLAH,” ungkapnya.

Lantaran itu, menerusi tip yang dikongsikan dalam kitab berkenaan, pendakwah tersebut mengingatkan supaya kita lebih banyak mengutamakan diri dengan ALLAH, diikuti dengan manusia dan lain-lain.

“Andai seseorang itu mengutamakan ALLAH, ke mana pun dia dan apa jua yang dilakukan, tatkala tibanya waktu solat, dia akan kerjakan dalam jadual sehariannya.

“Apabila seseorang itu tidak mementingkan ibadah, dia akan laksanakan kerjanya dahulu. Jika dirasakan tugasnya okey dan dia senang, maka barulah dia melakukan ibadah.

Terlalu berkira

USAH pernah sesekali merasakan rugi untuk membuat pelaburan akhirat atau semata-mata kerana ALLAH SWT kerana DIA pasti akan menggantikan apa yang kita beri itu. -Foto: Freepik 

“Begitu jugalah dalam soal menunaikan zakat. Malah, ada yang berpandangan rugi berbuat demikian kerana harta semakin berkurangan,” katanya.

Dalam harta kita, ujarnya, ada juga milik orang lain.

“Jangan rasa sukar untuk pergi umrah dan haji, buat korban dan sebagainya. Semuanya berkira-kira.

Baca juga Hidup di dunia jangan kedekut sangat, malaikat doakan kecelakaan pada golongan ini…ingat tu

“Namun, jika beli tanah, tidak kisah pula tanpa berfikir banyak kali,” tegurnya.

Selain itu, Ustazah Asmak berpesan agar kita membelakangi dunia dan jangan sampai meletakkannya pada kedudukan pertama.

“Jangan sampai dunia diletakkan nombor satu untuk menyelamatkan kerja dan pendapatan sehinggakan kita sanggup berbuat apa sahaja biarpun melanggar hukum.

“Ingatlah, rezeki itu milik ALLAH SWT. Kalau kita tak buat perkara yang haram, DIA tetap akan kurniakan rezeki kepada kita. Cuma cepat atau lambat.

“Seperkara lagi, peliharalah pertalian yang baik dengan ALLAH. Mengertilah, rezeki yang datang akan menjadi wasilah untuk kebaikan akhirat kita,” titipnya.

***Foto: Freepik

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Berkira
Isu,

Jangan terlalu berkira dengan isteri, suami kedekut jauh dari syurga

SIKAP terlalu berkira kadangkala begitu menjengkelkan insan di sekeliling. Lebih-lebih lagi jika seorang suami bersifat kedekut terhadap isteri dan anak-anak mereka.

Kadangkala sukar untuk akal mencerna perilaku tersebut. Masakan tidak, mereka bukanlah orang asing dalam kehidupan kita. Sebaliknya individu-individu berkenaan menjadi watak penting yang wajar kita hargai selagi hayat dikandung badan. 

Namun begitu, entah mengapa kemahuan dan adakalanya keperluan mereka diabaikan begitu sahaja.

Lebih menjelikkan apabila lelaki tersebut tidak kisah untuk membelanja rakan-rakannya makan, tetapi sifat itu menjadi sebaliknya apabila bersama keluarganya.

Demikianlah lumrah kehidupan yang dilalui oleh segelintir orang. Barangkali plot ceritanya lebih kurang sama, cuma berbeza dari segi naratifnya.

Mengulas sifat suami suka berkira dengan isteri, pendakwah Ustaz Elyas Ismail mengingatkan agar ketua keluarga tersebut tidak bersikap sedemikian.

USTAZ ELYAS

Sebaliknya beliau menyarankan agar mereka menjadi suami yang suka berbelanja untuk keluarga, selain berbaik-baik dengan isteri dan anak-anak.

“Ketahuilah, ALLAH SWT akan melimpahkan rezeki yang lagi banyak dan tidak putus-putus dalam hidup orang yang pemurah dan suka bersedekah. Lebih-lebih lagi dengan keluarga sendiri,” katanya sebagaimana yang dikongsikan menerusi video di laman sosial Facebook miliknya.

Dalam hal itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus mengajak umat Islam merenung semula sebuah hadis masyhur berkaitan dengan suami yang baik.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada isterinya, dan aku (Nabi Muhammad SAW) adalah orang yang paling baik di antara kalian kepada isteriku.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Baca juga Kepada para suami, teladani layanan ‘tip-top’ Rasulullah SAW terhadap isteri-isteri baginda

Jelas beliau, maksud baik terhadap isteri itu termasuklah suami mudah memberikan hartanya.

Berkira

SUAMI perlu memberi layanan baik terhadap isterinya termasuk mudah memberikan hartanya. -Foto: Freepik

“Sebagai contoh, apabila kita ke pasar dan isteri telefon meminta tolong belikan selipar berharga RM30 misalnya. Sebagai suami yang baik, sudah tentulah kita belikan selipar yang berharga lebih daripada itu.

“Ini kerana isteri sudah melahirkan anak-anak kita, menyediakan makanan, mencuci pakaian kita dan sebagainya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video YouTube miliknya.

Menurut agamawan itu, semua perbuatan tersebut sebenarnya dikira sebagai satu bentuk sedekah.

“Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, sedekah itu dapat pahala walaupun hanya kepada binantang kecil. Memang haiwan itu kecil, tetapi ia ada perut seperti anak kucing dan ayam. Apabila kita bersedekah padanya, dapat pahala.

“Inikan pula isteri sendiri yang juga rakan kita satu ‘syarikat’ dalam rumah tangga,” katanya.

Justeru, Ustaz Azhar Idrus menasihatkan agar para suami tidak berkira terhadap isteri dan anak masing-masing.

USTAZ AZHAR IDRUS

Ketahuilah bahawa suami yang kedekut jauh dari syurga, ungkapnya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang pemurah dekat dengan ALLAH, dekat dengan syurga, dekat dengan manusia, jauh dari neraka, orang yang kedekut jauh dari ALLAH, jauh dari syurga, jauh dari manusia, dekat dengan neraka, orang yang jahil yang pemurah lebih ALLAH sukai daripada seorang yang rajin beribadah namun kedekut.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Hidup di dunia jangan kedekut sangat, malaikat doakan kecelakaan pada golongan ini…ingat tu

Meskipun ada pandangan yang menyatakan hadis itu berstatus sangat lemah, tetapi ia boleh dijadikan pedoman dan sebagai motivasi kepada diri agar tidak bersifat kedekut terutamanya terhadap ahli keluarga sendiri.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.