Browsing Tag

ALLAH Maha Kasih

Syawal
Gaya Hidup,

Besarnya kasih ALLAH SWT kepada orang yang menziarahi saudaranya semata-mata kerana DIA

ISLAM agama yang prihatin dengan hubungan sesama manusia. Apatah lagi ia melibatkan hak sesama Muslim. Nilai murni yang diadaptasi melalui dasar perlembagaan ALLAH SWT, menjadikan umat Islam terarah mendapatkan reda ILAHI dan kemakmuran manusia.

Antara nilai yang sangat ditekankan seperti ziarah-menziarahi, mengeratkan silaturahim, bermaaf-maafan, bertukar-tukar fikiran, melayani serta menjamu tetamu yang tergambar dalam konsep rumah terbuka di hari kemenangan umat Islam iaitu Aidilfitri.

Pengerusi Pertubuhan al-Khairiah Mersing, Dr Haji Hidris Sahri berkata, amalan melayani tetamu serta menjamu dengan juadah terbaik telah dirakamkan oleh ALLAH dalam al-Quran melalui teladan para nabi dengan kemuliaan hati menerima, menyambut dan melayan tetamu.

DR HAJI HIDRIS

Berziarah menzahirkan kasih sesama saudara

Beliau memetik sirah yang merakamkan kisah Nabi Ibrahim Alahissalam dalam surah Al-Dzariyat, ayat 24-27 yang bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!“ Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.

Berasaskan hujah ini jelasnya, para ulama mengistinbatkan hukum bahawa wajib melayan tetamu yang datang bertandang walaupun tidak dikenali.

“Apatah lagi tetamu itu adalah kalangan keluarga, sahabat dan jiran tetangga. Ini dikuatkan lagi dengan hadis dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW:

“Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di kampung lain. Kemudian ALLAH mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu di tengah perjalanannya ke kampung yang dituju, malaikat tersebut bertanya: ‘Hendak pergi ke mana kamu? ‘Orang itu menjawab: ‘Saya ingin menjenguk saudara saya yang berada di kampung lain.‘ Malaikat itu bertanya lagi; ‘Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya? ‘ Laki-laki itu menjawab; ‘Tidak, saya hanya mencintainya kerana ALLAH.‘ Akhirnya malaikat itu berkata; ‘Sesungguhnya aku ini malaikat yang diutus untuk memberitahumu bahawasanya ALLAH akan sentiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana ALLAH”, (Hadis Riwayat Muslim).

 

Para ulama mengistinbatkan hukum bahawa ‘wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah‘ walaupun tidak dikenali, apatah lagi tetamu itu dari keluarga, sahabat dan jiran tetangga.

 

Ujar Dr Hidris, tuntutan mengasihi orang lain dengan sifat rahmah sama ada kerabat ataupun sesama Muslim dengan cara menziarahi mereka menyebabkan ALLAH mengasihi seseorang yang menziarahi saudaranya semata-mata kerana ALLAH.

Ia sebagaimana dinyatakan dalam kitab Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab , karangan Imam an-Nawawi: “Melayan tetamu adalah sunnah. Jika seseorang bertandang ke rumahnya dan tidak ada mudarat baginya, sunat baginya untuk melayan tetamu tersebut.”

Wajib dibugar selalu

Selanjutnya beliau menjelaskan, konsep rumah terbuka adalah lambang nilai Islam yang tinggi dan wajib dibugarkan dengan kaedah yang lebih harmoni dan sesuai mengikut kaedah Islam sebenar.

Dr Hidris menyenaraikan adab selaku tuan rumah seperti yang dikatakan oleh Sheikh Amin Al-Syanqiti dalam kitabnya Adhwa‘ Al-Bayan Fi Idhoh Al-Quran Bi Al-Quran, antaranya:

  1. Segera menghidangkan makanan dan minuman untuk tetamu.
  2. Hidangkan apa yang terbaik yang ada di dalam rumah.
  3. Mendekatkan makanan kepada tetamu.
  4. Bercakap dengan lemah-lembut.

Adab tetamu pula antaranya:

  1. Segera makan apabila hidangan disajikan.
  2. Tidak meminta hidangan atau perkara yang boleh menyusahkan tuan rumah.
  3. Jika dijemput, beritahu tuan rumah terlebih dahulu jumlah kehadiran.
  4. Jauhi perbuatan yang boleh menyakiti tuan rumah.
  5. Sunat bagi tetamu mendoakan kebaikan buat tuan rumah. Hal ini berdasarkan amalan Nabi Muhammad ketika Baginda bertandang rumah Ubadah bin Somit. Lalu Ubadah menghidangkan sepotong roti dan minyak zaitun. Lantas Baginda membaca doa yang bermaksud: “Orang yang berpuasa berbuka puasa di tempat kalian, orang-orang yang baik makan makanan kalian dan para malaikat akan mendoakan kalian.”